Sep 24, 2007

Status Hadis Ramadhan : Keampunan,

Rahmat & Bebas Neraka

Ada seorang ustadz yang mengatakan bahwa hadits tentang pembagian Ramadhan menjadi tiga itu dhaif. Padahal hadits itu populer sekali di tengah bulan Ramadhan. Kalau tidak salah bunyinya seperti ini:

Ramadhan itu awalnya adalah rahmat, tengahnya adalah maghfirah (ampunan) dan akhirnya adalah pembebasan dari api neraka.

Pertanyaan saya adalah: Benarkah klaim ustadz tersebut? Dan kalau benar, apa status hadits itu? Bagaimana kita mensikapinya.

Demikian terima kasih banyak ustadz

Misyal नासिफ

Penjelasannya : Klik disini (link kepada www.zaharuddin.net)

Sep 23, 2007

Penghayatan Ramadhan : Masih tidak terlambat...

Penghayatan Ramadhan : Masih tidak terlambat...

Alhamdulillah, bertemu kita sekali lagi dalam sidang redaksi Ihya’ Ramadhan yang ke-3 kalinya. Dalam kesempatan yang diizinkan Allah ini, marilah kita sama-sama merafa’kan rasa syukur kita kepada Allah S.W.T kerana dipanjangkan umur kita dengan memberi peluang dan kesempatan pada kita dalam kita beribadah kepada Allah SWT di bulan Ramadhan yang penuh dengan rahmat dan ma’firah ini.

Mudah-mudahan kita digolongkan oleh Allah S.W.T di dalam golongan hamba yang dikasihiNYA dan mudah-mudahan setiap langkah hidup kita ini, diredhai Allah S.W.T.Allahumma Ya Amin.

Sahabat-sahabat dikasihi Allah,

Bersyukur kita kepada Allah Azawajalah, kerana kita telah menyempurnakan ibadah puasa dan ibadah qiam ramadhan kita selama seminggu lebih.Dalam kesempatan yang ada ini marilah kita sama-sama bertanya dan menilai ke dalam diri kita masing-masing, Apakah ramadhan yang telah kita tempoh selama seminggu lebih ini benar-benar menjadikan kita sebagai manusia baru dimana berbeza dan sudah tentunya tidak sama dengan kita sebelum daripada kita memulakan ibadah puasa tahun ini.

Sahabat-sahabat diredhai Allah,

Adakah berpuasanya kita pada hari ini, kita dengan penuh sedar bahawa kita adalah manusia yang jauh lebih baik dan lebih komited dalam mentaati perintah Allah SWT ataupun kita sebelum dan semasa Ramadhan tidak ada perbezaan yang ketara dan ini adalah satu yang amat merugikan kita.

Sahabat-sahabat sekalian,

Kita masih belum terlambat, Ramadhan masih belum meninggalkan kita.Marilah kita bersungguh-sungguh merebut peluang baki bilangan hari yang tinggal ini untuk kita beribadah kepada Allah SWT.Sesungguh banyak ganjaran yang disediakan oleh Allah S.W.T kepada hambanya di bulan Ramadahan ini.Seperti mana disebutkan didalam satu hadith qudsi yang sahih:

"Setiap amalan anak Adam adalah digandakan pahalanya kepada sepuluh hingga 700 kali ganda, maka berkata Allah SWT : Kecuali puasa, sesungguhnya ia adalah khas untukKu dan Akulah yang akan membalas kebaikannya, mereka meninggalkan makanan, minuman dan syahwat mereka (di siang hari) hanya keranaKu"

(Riwayat Al-Bukhari & Muslim)

Jadi peluang yang ada ini marilah kita memperbanyakan istighfar, membaca al-Quran, solat, zikir, sedakah dan segala amalan baik yang lain yang mengikut sunnah Nabi SAW.Ambillah manfaat daripada jiwa yang luhur kerana berpuasa dan heningan malam Ramadhan yang syahdu untuk berqiamulail dengan memohon keampunan dan berdoa pada Allah SWT.Seperti mana dalam hadith yang sahih daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah bersabda yang maksudnya:

"Sesiapa yang berpuasa ramadhan dengan penuh keimanan dan dengan penuh harapan balasan pahala maka diampuni baginya segala dosa yang telah lepas".
(Riwayat Al-Bukhari & Muslim)

Sep 15, 2007

Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadhan

Alhamdulillah bersyukur pada Allah SWT dipanjang umur kita lagi untuk kita berjumpa sekali lagi dengan satu bulan yang penuh dengan rahmat dan ma’firah iaitu bulan Ramadhan al Mubarak।Ingatkah kita dengan Ramadhan yang lepas, mungkin banyak kekurangannya, jadi marilah kita merebut peluang ini।Didalam satu hadith yang sahih, daripada Abu Hurairah, Nabi SAW telah bersabda bermaksud :


“Apabila tibanya Ramadhan dibuka pintu-pintu syurga, ditutup segala pintu neraka dan dibelenggu segala syaitan.”


(Riwayat Bukhari dan Muslim)


Sahabat-sahabat sekalian, lihatlah betapa tingginya bulan Ramadhan digambarkan oleh Rasulullah SAW. Ramadhan merupakan satu madrasah yang dikurniakan oleh Allah SWT untuk membimbing dan mentarbiyah diri kita dalam kita menghadapi 11 bulan yang akan datang।Jika Ramadhan tidak disi dengan sebaiknya,maka rugilah kita.Seperti mana sabda Rasulullah SAW di dalam satu hadith yang sahih yang bermaksud:


"Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan buruk dan perbuatannya tatkala puasa, maka tiada hajat Allah baginya (kerana pahala akan terhapus) walaupun meninggalkan makanan dan minumannya" (Riwayat Bukhari)


Sahabat sahabat sekalian, Ramadhan merupakan satu-satunya bulan yang diberikan oleh Allah SWT kepada kita dalam membimbing dan mentarbiyah diri kita dalam proses menjadi seorang muslim yang soleh dan mukmin yang bertaqwa, iaitu takut kepada Allah SWT SWT dengan meninggalkan segala laranganNya dan melaksanakan segala perintahNya, jika tidak sia-sialah kehidupan kita ini।Itulah yang telah diceritakan oleh Rasulullah SAW di dalam hadith di atas.


Sahabat-sahabat sekalian, rebutlah peluang dibulan Ramadhan ini dengan memaksimumkan amal kita mengikut sunnah Nabi SAW yang sebenar।Ini kerana di dalam satu hadith Qudsi :


"Setiap amalan anak Adam adalah digandakan pahalanya kepada sepuluh hingga 700 kali ganda, maka berkata Allah SWT : Kecuali puasa, sesungguhnya ia adalah khas untukKu dan Akulah yang akan membalas kebaikannya, mereka meninggalkan makanan, minuman dan syahwat mereka (di siang hari) hanya keranaKu"

(Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)


Lihatlah betapa besarnya ganjaran yang diberikan oleh Allah SWT kepada kita dibulan Ramadhan ini..Maka rebutlahlah peluang keemasan ini dengan melibatkan gandakan amal kita. dengan melakukan setiap ibadah sahih berlandaskan Al-qur’an dan Sunnah semata-mata untuk mencapai redha Allah SWT. Di dalam satu hadith yang sahih telah berkata Abu Hurairah dimana dia telah mendengar Rasulullah S।A।W bersabda yang bermaksud :


Sesiapa yang mendirikannya (Ramadhan) penuh keimanan dan keikhlasan diampunkan baginya apa dosanya yang telah lalu।”

(Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Sep 2, 2007

Merdeka: Antara Penghayatan dan Acara Tahunan


Merdeka: Antara Penghayatan dan Acara Tahunan

Oleh:SS Dr Mohd Asri Zainul Abidin

"KEMERDEKAAN yang sebenar adalah apabila insan dapat membebaskan diri dari menjadi
hamba sesama makhluk kepada perhambaan diri hanya kepada Tuhan segala makhluk"


Tidak ada kemerdekaan mutlak dalam kehidupan insan. Jika insan berjiwa hamba atau menghina diri sesama mereka, maka dia tidak akan lagi menjadi hamba yang sebenar kepada Allah, Tuhan segala ciptaan yang wujud. Jika insan benar-benar menjadi hamba yang penuh ikhlas akidahnya kepada Allah, maka dia akan berjaya membebaskan diri dari cengkaman perhambaan sesama makhluk. Dalam erti kata lain, jika insan benar-benar tulus akidahnya, maka merdekalah dirinya dari kerendahan perasaan dan penghinaan jiwa terhadap selain Allah. Begitulah sebaliknya. Tiada insan yang merdeka mutlak dalam hidupnya. Hingga mereka yang mendakwa tidak mempercayai Tuhan dan bebas dari sebarang peraturan manusia pun, mereka tetap menjadi hamba nafsu dan pemikiran sesat yang akhirnya merobohkan nilai keinsanan mereka yang sebenar. Lihatlah apa yang berlaku kepada penganut ajaran dan blok komunis. Akhirnya Lenin dan Karl Mark menjadi tuhan baru dalam kehidupan mereka. Firman Allah dalam surah al- Jathiyyah ayat 23 (maksudnya): Maka tidakkah kamu lihat orang yang menjadikan hawa nafsunya tuhan (yang dipatuhinya), dan dia pula disesatkan oleh Allah kerana diketahui (bahawa ia tetap kufur ingkar), dan ditutupi pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan dia berkeadaan demikian)? Oleh itu, mengapa kamu (Wahai orang-orang yang ingkar) tidak insaf?


Sebab itulah, apabila tentera Islam memasuki sesebuah negara maka itu tidak dinamakan dengan penaklukan atau penjajahan. Sebaliknya dipanggil al-Fath iaitu pembukaan seperti Fath al-Makkah yang bermaksud Pembukaan Mekah. Maka gerakan umat Islam pada zaman kegemilangannya apabila memasuki sesebuah wilayah dinamakan al-Futuhat al-Islamiyyah iaitu pembukaan-pembukaan Islami. Ini bermaksud kedatangan umat Islam kepada sesuatu wilayah atau negara bertujuan memberikan kemerdekaan jiwa dari penindasan, kehinaan, kekejaman kepada satu sistem yang adil, yang berteraskan akidah yang benar. Jika hal itu tidak berlaku, maka bererti penaklukan atau penjajahan telah dilakukan. Ini menafikan tabiat Islam yang tulen, kerana Islam bukan agama yang diutuskan untuk menjajah orang lain, sebaliknya peranan umat ini adalah membebaskan kehidupan manusia keseluruhannya dari perhambaan sesama mereka, kepada mendaulatkan sistem Allah yang adil untuk semua. Inilah yang ditegaskan oleh Rib’i bin ‘Amir di hadapan angkatan tentera Parsi: “Allah yang membangkitkan kami agar kami mengeluarkan sesiapa yang dikehendaki-Nya dari pengabdian sesama hamba menuju pengabdian kepada Allah, dari kekejaman agama-agama kepada keadilan Islam, dari dunia yang sempit kepada keluasan dunia dan akhirat.” (lihat: Ibn al-Athir, al-Kamil fi al-Tarikh, 1/413).

Misi inilah yang cuba dilaksanakan oleh umat Islam pada zaman kegemilangannya. Maka apabila umat Islam menguasai dunia pada zaman tersebut mereka membina jiwa yang merdeka dan pembangunan tamadun untuk dikongsi oleh semua. Di bawah panji-panji Islam kaum Muslimin Arab telah berjaya membawa obor gemilang kepada manusia sejagat. Empayar Islam berkembang, bernaung di bawahnya manusia tanpa mengira bangsa dan agama, keadilan untuk semua. Tanyalah orang-orang Yahudi, bilakah penulisan ilmu mereka berkembang? Tidak lain hanyalah pada zaman mereka hidup di bawah kerajaan Islam di Baghdad. Padahal sebelum itu mereka sentiasa ditindas oleh berbagai-bagai puak dan agama. Namun mereka bangsa yang melupai jasa. Tanyalah kepada agama-agama lain, pernahkah mereka diburu dan dibunuh secara kejam di bawah pentadbiran yang menjadikan Islam sebagai terasnya? Malangnya, umat Islam sentiasa mempunyai pengalaman diburu dan dibunuh secara rakus di bawah sistem kuasa yang mengambil agama selain Islam sebagai pegangan.

Adapun umat Islam sesama mereka, tanpa mengira bangsa yang penting al-ukhuwah al-Islamiyyah iaitu persaudaraan Islam, mereka berkongsi ketamadunan yang agung. Sehinggakan lahirnya tokoh-tokoh besar yang bukan Arab ketika pemerintahan umat Islam berada di tangan yang berbangsa Arab. Di dalam bidang hadis yang merupakan sumber agung Islam umpamanya; al-Imam al-Bukhari iaitu Abu Abdillah Muhammad bin Ismail (wafat 256H), pengarang Sahih al-Bukhari bukan seorang Arab. Beliau berasal dari Bukhara, Ukzbek. Al-Imam Abu Isa, Muhammad bin Saurah al-Tirmizi (wafat 297H), pengarang Sunan al-Tirmizi juga bukan seorang Arab. Beliau berasal dari Tirmiz. Pengarang Sunan Abi Daud, Sulaiman bin al-Asy‘ath al- Sajistan (wafat 275H) juga bukan seorang Arab. Berasal dari Sajastan. Demikian pengarang Sunan al-Nasai Ahmad bin ‘Ali bin Syu‘aib al-Nasai (wafat 303H) juga bukan Arab. Berasal dari Nasa, salah satu negeri di Khurasan. Begitu juga pengarang Sunan Ibn Majah, Muhammad bin Yazid al-Qazwaini (wafat 279H), bukan Arab, berasal dari Qazwain. Adapun al-Imam Muslim bin al-Hajjaj (wafat 261H), pengarang Sahih Muslim, para pengkaji berbeza pendapat sama ada beliau seorang Arab atau tidak. Ramai yang menyatakan beliau juga bukan seorang Arab. Walaupun mereka semua bukan Arab tetapi Islam menjadikan mereka tokoh-tokoh hadis umat, kedudukan yang begitu tinggi yang diiktiraf oleh Arab dan bukan Arab. Dalam politik, Salahuddin al-Ayubi (wafat 589H) juga bukan seorang Arab. Dia berbangsa Kurdi. Namun dia berjaya menjadi sultan yang disayangi Arab dan bukan Arab. Dia berjaya mentadbir kerajaan Islam pada zamannya sehingga berjaya mengembalikan al-Masjid al-Aqsa.

Namun apabila umat Islam gagal menunaikan misi ini, mereka menjadi umat yang amat hina. Bayangkan, bagaimana mungkin Belanda yang kecil boleh menyeberangi lautan yang luas lalu menjajah Indonesia yang besar? Begitu juga Portugis yang datang begitu jauh dengan beberapa kapal mampu menjajah Melaka. Demikian tentu lebih dahsyat halnya di negara-negara Arab. Satu umat yang pernah membina tamadun gemilang akhirnya bertukar menjadi bangsa yang dijajah dan melutut hina di hadapan penjajahan. Aduhai, benarlah dikau Wahai Amirul Mukminin Umar ibn al-Khattab, ungkapan keramatmu ketika pembukaan Masjid al-Aqsa: “Kita dahulunya adalah kaum yang hina, Allah telah memuliakan kita dengan Islam, andainya kita mencari kemuliaan selain dari apa yang telah Allah muliakan kita dengannya maka kita akan dihina oleh Allah.” (Riwayat ini sanadnya dinilai sahih oleh al-Hakim dan disokong oleh al-Zahabi, lihat: Al-Mustadrak, 1/237, Beirut: Dar al-Ma’rifah).

Namun dengan kurniaan Allah, penjajah kebanyakannya telah keluar dari bumi umat Islam. Itu pun setelah mereka merampas hasilnya dan memerah keringat dan darah umat ini. Mungkin kesan ajaran Islam, menyebabkan umat ini tidak dapat menerima kelangsungan penjajahan. Firman Allah dalam surah al-Nisa’ ayat: 75 (maksudnya): Dan apakah yang menghalang kamu (maka kamu) tidak mahu berperang pada jalan Allah dan (untuk menyelamatkan) orang-orang yang tertindas dari kaum lelaki, perempuan dan kanak- kanak, iaitu mereka yang selalu (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! Keluarkanlah kami dari negeri ini, yang penduduknya yang zalim, dan jadikanlah bagi kami dari pihak-Mu seorang pemimpin yang mengawal (keselamatan agama kami), dan jadikanlah bagi kami dari pihak-Mu seorang pemimpin yang membela kami (dari ancaman musuh. Kata al-Qurtubiy (wafat 671H): “Allah menggesa untuk berjihad bertujuan menyelamatkan golongan yang ditindas (Muslimin) oleh kuffar musyrikin yang menyeksa mereka dengan seburuk-buruk seksaan dan memfitnah agama mereka. Maka Allah Taala mewajibkan jihad untuk menegakkan kalimah-Nya, memenangkan agama-Nya dan menyelamatkan hamba-hamba-Nya yang lemah.” (al- Qurtubiy, al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 5/279, Beirut: Dar al-Fikr).

Sama ada disebabkan kesedaran agama atau politik, kebangkitan menentang penjajahan berlaku hampir seluruh negara-negara yang dijajah. Namun, keluarnya penjajah dari sesebuah wilayah tidaklah bererti berakhirnya penjajahan dalam segenap aspek. Bangsa yang dijajah, jika gagal menegakkan identiti murni sendiri, mereka akan sangat terkesan dengan bangsa yang pernah menjajah mereka. Penjajah keluar meninggalkan tanah air, namun bangsa yang lemah selalu memandang tinggi dan ingin bersama bangsa yang lebih gagah dan hebat. Atau, manusia apabila tertindas, ada yang hanya memikirkan kepentingan diri, bukan umatnya. Maka tidak hairan jika kita melihat ramai yang sanggup menjadi talibarut bagi setiap penjajah. Merekalah yang membawa misi dan polisi penjajahan. Sebab itu jika kita berjaya mempertahan identiti diri, kita akan merdeka sekalipun bumi terjajah. Dalam sejarah Islam, bangsa Mongol yang menjajah umat Islam bertukar menjadi Muslim. Walaupun ada kekurangannya, namun ia adalah lambang tidak tumpasnya umat yang dijajah sekalipun kekuatan ketenteraan gugur dan hancur.

Bercakap soal kerendahan harga diri, umpamanya kita temui sesetengah orang Melayu yang hanya beberapa tahun berada di negeri ‘orang putih’ mendakwa kononnya dia sudah kurang mampu bercakap Melayu. Bahkan saya pernah menemui pensyarah di universiti saya bertugas yang menyatakan beliau sukar bercakap Melayu kerana setahun setengah berada di England dan bapa angkatnya ‘orang putih’. Dia kononnya lupa bahasa yang dia hidup lebih 20 tahun dengannya dan bahasa bapa sebenarnya yang menjaganya sejak kecil. Namun demikianlah contoh kehinaan jiwa. Isu sebenarnya, bangsa yang lemah berasa bangga jika mereka berjaya menjadi sebahagian dari bangsa yang kuat. Jika ‘mamat Bangla’ yang datang beberapa bulan boleh bercakap Melayu, adakah kerana beberapa potongan keju lidah Melayu menjadi kaku?

Jelas, bukan soal bahasa sebenarnya, tapi soal kerendahan jiwa dan kegagalan memerdekakan perasaan. Justeru dalam dunia tanpa sempadan, penjajahan tidak semestinya memerlukan tentera dan peralatan perang, sebaliknya kekuatan identiti dan propaganda. Demikian pemikiran Hollywood berjaya menjajah anak-anak muda kita. Dunia ini sebenarnya dalam banyak hal terus dijajah oleh propaganda Barat melalui media, kuasa ekonomi dan ketidak- merdekaan jiwa bangsa-bangsa lain.

Justeru bagi umat Islam, membina identiti Muslim dan jiwa yang merdeka adalah amat mustahak sebagai lambang kemerdekaan. Bukan kita tidak boleh mengambil manfaat dari Barat, namun identiti Islam mesti dipelihara. S aya amat bergembira apabila Tun Ahmad Fairuz mencadangkan supaya undang-undang Inggeris Common Law diganti dengan undang-undang yang berasal dari tanah air di sini serta yang sesuai dengan syariah. Hal ini disokong pula oleh Peguam Negara dan pimpinan kerajaan.Ini adalah perlambangan jiwa yang merdeka dan kembali kepada identiti asal. Namun hasrat itu mesti terus berkobar, bukan sekadar berita akhbar sahaja.

Makna kemerdekaan yang seperti ini perlulah sentiasa diterapkan. Sambutan kemerdekaan memang baik. Namun ciri-ciri sambutan itu bagi seorang Muslim hendaklah beridentitikan Islam. Sebab itu saya amat tidak bergembira dengan sebuah iklan televisyen yang menampilkan tabik hormat kepada Tugu Negara. Walaupun itu bukan satu penyembahan, namun ajaran Islam amat sensitif kepada sebarang unsur seumpama itu dan budaya berkenaan pun bukan dari kita, bahkan warisan penjajahan.

Bergembira menyambut kemerdekaan agar kita tahu bersyukur, tidaklah salah. Demikian juga kita boleh berhibur dengan aturan yang diizinkan syarak. Namun sambutan kemerdekaan hendaklah tidak menenggelamkan makna kemerdekaan. Janganlah anak-anak muda berkumpul dan melaung kemerdekaan bukan kerana jiwa yang merdeka, tetapi sekadar acara tanpa menghayati makna. Gaya dan cara mereka hendaklah melambangkan jiwa yang merdeka dari cengkaman penjajahan manusia kepada tauhid yang luhur. Kita amat tidak dapat menerima pelaksanaan perkara-perkara agama tanpa memahami dalil dan maknanya. Tentu sekali kita juga tidak dapat menerima mereka yang menyambut kemerdekaan tapi kontang dari penghayatan sebagai umat yang merdeka. Perhimpunan anak muda semperna kemerdekaan jika hanya untuk melihat hiburan di atas pentas semata, tentu tidak mencapai matlamatnya. Sebaliknya, mereka hendaklah berhimpun bagi menggambar kecintaan yang jujur kepada negara yang telah memberikan perlindungan kepada rakyat, agama dan kehormatan diri. Bukan sekadar acara tahunan. Setelah memahami hakikat ini, maka laungkanlah Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Sep 1, 2007

Jangan lelong agama untuk keuntungan perniagaan


Oleh: DR. MOHD. ASRI ZAINUL ABIDIN

OLEH kerana agama mempunyai fungsinya yang besar dalam masyarakat
manusia, maka pelbagai pihak cuba menggunakan nama agama atas berbagai-bagai tujuan. Ada yang ikhlas, ada pula yang mengambil kesempatan atas nama agama untuk mengaut harta atau pengaruh. Maka penyalahgunaan nama agama bukan perkara baru dalam sejarah manusia. Bukan sahaja Islam yang menerima bahana tersebut, agama-agama lain juga demikian. Namun bagi Islam, ia lebih perih, kerana Islam agama wahyu. Seorang muslim yang sebenar tentu akan merasai penyalahgunaan nama Islam adalah satu dosa yang amat serius kerana ianya adalah pemalsuan wahyu. Dalam erti kata lain, menyalahgunakan nama Allah dengan membuat dakwaan palsu kononnya Allah memerintah atau melarang itu dan ini, padahal tiada sebarang nas dari Allah ataupun rasul-Nya adalah satu jenayah besar.

Firman Allah dalam surah al-A’raf ayat 33 (maksudnya) Katakanlah: Sesungguhnya Tuhanku hanya mengharamkan perbuatan-perbuatan yang keji, sama ada yang nyata atau yang tersembunyi; dan perbuatan dosa; dan perbuatan menceroboh dengan tidak ada alasan yang benar; dan (diharamkan) kamu mempersekutukan sesuatu dengan Allah sedang Allah tidak menurunkan sebarang bukti (yang membenarkannya); dan (diharamkan) kamu memperkatakan terhadap Allah sesuatu yang kamu tidak mengetahuinya.

Baginda s.a.w.: Juga menegaskan hal yang sama dalam banyak hadis baginda, antaranya daripada Aisyah, katanya: sabda Nabi: Sesiapa yang membuat perkara baru dalam urusan kami ini (Islam) apa yang bukan daripadanya maka ia tertolak (Riwayat Muslim).

Maka setiap insan Muslim hendaklah berhati-hati tentang kesempatan yang diambil oleh banyak pihak untuk menjadikan agama saluran keuntungan atau menempatkan pemikiran peribadi yang akhirnya diberikan cop agama. Jika hal ini dibiarkan, maka ajaran-ajaran palsu akan muncul atas nama agama dan Islam yang tulen akan hilang dari sesetengah masyarakat.

Justeru itu saya amat menentang seorang ‘warga seberang’ yang menggelarkan diri al- Banjari dengan kononnya memiliki beberapa kelebihan mendakwa bahawa sesiapa yang berjabat tangan dengannya, seakan berjabat tangan dengan Rasulullah lantas sesiapa berjabat tangan dengannya juga akan masuk syurga. Demikianlah murahnya harga syurga dilelong olehnya. Dakwaan palsu ini dibuat olehnya dengan menggunakan hadis palsu kononnya Nabi bersabda: Sesiapa yang berjabat tangan denganku, atau dengan orang yang berjabat tangan denganku maka dia masuk syurga. Maka setiap mereka akan berjabat tangan dengan guru mereka dengan dakwaan kononnya tangan tersebut telah berjabat dengan tangan sebelumnya secara berangkaian sehingga kepada Nabi.

Maka apabila warga seberang tersebut datang ke negara kita, dia bagai mengiklankan dirinya sebagai jalan untuk sampai ke syurga. Maka orang ramai pun di beberapa masjid di sebelah utara tanah air bangun bersalaman untuk mendapatkan syurga. Meriahlah majlis lelongan syurga tersebut. Maka megahlah warga seberang berkenaan, kerana tangannya seakan pintu kepada syurga dan orang ramai pun dibeli dengan modal hadis palsu tersebut. Apa yang peliknya, kedatangan beliau itu ditaja oleh beberapa pihak yang mempunyai kuasa agama di beberapa buah negeri. Padahal beberapa negeri tersebut begitu sensitif dengan pandangan yang lebih progresif mengenai Islam. Digam penceramah-penceramah muda yang membawa ke arah keluasan minda dan fahaman Islam yang lebih terbuka berdasarkan dalil dan hujah. Malangnya, mereka menaja pula pemikiran yang karut seperti itu. Maka tidak peliklah jika ajaran sesat selalu sahaja muncul dalam masyarakat kita.

Sebenarnya, para ulama hadis telah mengingatkan tentang pembohongan hadis berkenaan. Kata al-Syeikh ‘Abd al-Fattah Abu Ghuddah dalam komentarnya bagi kitab Zafar al-Amani: “Hadis musalsal (berangkai) berjabat tangan tersebut adalah batil dan dusta. Tiada asalnya dan tidak pernah wujud. Katanya juga: “Tiada keberkatan bagi pendustaan dan pembohongan hadis ini ke atas Nabi tidak dikira ibadat menulis cerita dongeng ini melainkan dengan niat untuk memusnahkannya.” (m.s. 272, 273, Damsyik: Maktab al-Matbu‘at al-

Islamiyyah). Dalam Lisan al-Mizan Ibn Hajar al-Asqalani menyebut: “Riwayat berjabat tangan Mu‘ammar tidak akan diterima oleh orang yang berakal” (jilid 6, m.s. 68, Beirut: Muassasah al-‘Ilm li al-Matbu‘at,). Ertinya begitu mudah orang kita ditipu dan tidak menggunakan akal yang waras dalam beragama. Al-Imam al-Sayuti (wafat 911H) di dalam fatwanya bila ditanya mengenai hadis ini, beliau berkata: “Mu‘ammar adalah pendusta lagi dajal, hadisnya adalah batil, tidak halal meriwayatkannya.” (lihat: Tahqiq Zafar al-Amani, m.s.275).

Demikianlah mudahnya agama kita dilelong oleh orang lain hanya kerana terpengaruh dengan fesyen serban dan jubah warga berkenaan. Jikalaulah mereka sedikit berfikir; pada zaman Nabi entah berapa ramai sahabat yang bersalaman dengan baginda, pernahkah mereka mendakwa demikian? Pernahkah mereka mengadakan majlis menjemput orang ramai bersalam dengan mereka untuk masuk syurga. Pernah ini dibuat oleh Abu Bakar, atau Umar, atau Uthman, atau Ali atau lain-lain. Saya dukacita apabila yang bangun bersalaman ialah orang-orang masjid dan ‘kaki dengar kuliah agama’. Sehingga saya tertanya-tanya; apakah segala pengajaran agama yang dipelajari gagal menjadikan mereka cerdik, atau sekurang-kurangnyanya menghidupkan fungsi akal mereka. Sedangkan agama datang untuk mencerdikkan akal bukan membodohkannya.

Demikian juga orang kita percaya adanya kayu atau rajah atau bahan tertentu mempunyai kesaktian tertentu. Ini seperti percaya dengan kayu kokka yang dijual di negara ini. Bahkan kayu tersebut dijual di Mekah dan Madinah oleh warga Bangladesh yang bertaburan di sana. Ramai pula yang membeli. Menggunakan nama agama lalu kayu itu dijual, kononnya tongkat Nabi Musa dibuat daripadanya. Demikian juga kononnya bahtera Nabi Nuh juga diperbuat daripadanya. Maka dibohongilah orang ramai kononnya kayu itu jika disimpan membawa rezeki, atau menolak bala dan berbagai-bagai kesaktian yang lain. Maka harga kayu tersebut yang beberapa ringgit di negaranya bertukar menjadi ratusan bahkan ribuan ringgit di negara kita. Padahal tidak satu dalil yang sahih pun dalam Islam mengenai kayu kokka tersebut. Mustahil pula untuk Islam membicarakan perkara yang bodoh seperti itu. Bahkan itu termasuk dalam sabda Nabi: Sesiapa yang menggantung (tangkal) maka dia melakukan kesyirikan (Riwayat al-Imam Ahmad, dinilai sahih oleh al-Albani). Menggantung di sini bermaksud menggantung sesuatu yang dipercayai dapat menangkis bala atau mendatang sesuatu kebaikan. Perbuatan itu di samping ia syirik, ia adalah satu kebodohan dan penipuan syaitan. Apabila saya mengeluarkan kenyataan akhbar mengenai hal ini, ada yang menghubungi saya dan minta tolong jangan ganggu bisnesnya. Begitulah manusia, dia sanggup melelong agamanya demi bisnesnya.

Serupa dengan itu, atas nama agama dijual air dan barangan jampi yang pelik- pelik. Sehingga ada yang membuat bisnes air tertentu yang dijampi secara tulisan dan bacaan. Diberi pula nama yang berbagai- bagai. Kononnya itulah ajaran Islam. Saya tidak menafikan baginda Nabi pernah menjampi penyakit seperti baginda juga berubat dengan bahan-bahan perubatan yang lain. Ini disebut dalam hadis-hadis yang sahih. Namun dakwaan dengan air atau kismis atau apa jua bahan-bahan jampi orang yang tidak pintar pun boleh dipintarkan, suami atau anak yang tidak baik perangainya boleh dipulihkan, ini sudah luar biasa lagi mengatasi Nabi. Baginda tidak menjampi kaum Quraisy agar beriman, bahkan bapa saudaranya yang dekat dan dikasihi iaitu Abu Talib pun meninggal dalam keadaan kufur tanpa dijampinya. Kalau dengan menjampi manusia boleh berubah sikap, pasti Nabi akan menjampi telaga zamzam kerana itu sumber air Quraisy ketika itu. Pasti Quraisy akan berubah apabila terminum. Hal ini tidak berlaku dalam sirah baginda. Kalau benar ada orang boleh menjampi sehingga mengubah sikap manusia kepada baik, atau mencerdikkan manusia maka eloklah kita mengupahnya menjampi empangan-empangan air di negara ini agar semua rakyat menjadi baik dan cerdik. Ketahuilah sesungguhnya jalan untuk manusia mendapat hidayah adalah dakwah yang benar, keikhlasan hati penerimanya dan keizinan Allah. Firman Allah dalam surah al- Baqarah ayat 256-257 (maksudnya) Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan taghut, dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. Allah Pelindung (yang mengawal dan menolong) orang-orang yang beriman. Dia mengeluarkan mereka dari kegelapan-kegelapan kepada cahaya (iman) dan orang-orang yang ingkar, penolong-penolong mereka ialah taghut yang mengeluarkan mereka dari cahaya (iman) kepada kegelapan-kegelapan. Mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.

Dalam hadis ada beberapa orang sahabat yang didoakan oleh Nabi agar diberikan ilmu dan kepandaian. Antaranya tokoh sahabat yang masih muda Ibn ‘Abbas yang baginda doakan untuknya: Ya Allah! Ajarkanlah dia al-Kitab (al-Quran) (Riwayat al- Bukhari). Ibn ‘Abbas benar-benar muncul sebagai tokoh ilmu pengetahuan, pentafsir al-Quran dan sahabi yang alim yang menjadi rujukan umat. Namun Ibn ‘Abbas bukanlah seorang yang hanya menunggu hasilnya doa baginda datang bergolek seperti sesetengah pihak menunggu kesan bahan jampi. Sebaliknya sejarah mencatatkan kesungguhan beliau dalam berusaha memperoleh ilmu. Selain daripada berkesempatan mengambil ilmu secara langsung daripada baginda selama tiga puluh bulan. Kemudian baginda wafat ketika umur Ibn ‘Abbas 13 tahun. Beliau terus mengambil hadis daripada para sahabat seperti ‘Umar ibn Khattab, ‘Ali, Mu‘az, bapanya sendiri iaitu ‘Abbas, ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf, dan ramai yang lain. (lihat: al-Zahabi, Siyar ‘Alam al-Nubala‘, 3/332-337, Beirut: Maktabah al-Risalah). Maksudnya doa Nabi dimakbulkan Allah, namun melalui proses keilmuan yang sepatutnya. Sebaliknya, keadaan sesetengah masyarakat Muslim seakan cuba digula-gula dengan meminum atau memakan bahan jampi orang agama, maka akan berlaku keajaiban dalam kehidupan. Sepatutnya yang ditekankan adalah soal kesungguhan menuntut ilmu seperti yang difardukan oleh Islam. Malangnya dalam masyarakat Muslim, kesungguhan membaca, memiliki buku, memenuhi perpustakaan, menulis bahan ilmiah tidak digembar-gemburkan, bahkan ‘orang lain’ mendahului kita. Tiba-tiba jampi menjadi cerdik pula yang mendapat publisiti dan dijual secara komersial. Tidakkah kita merendahkan Islam apabila orang bukan Islam melihat anak orang kita yang minum air jampi ‘ustaz’ tidak lebih cemerlang atau jauh ketinggalan dibandingkan anak ‘orang lain’ yang berbekalkan air mineral? Janganlah kita lelong agama kerana bisnes kita.

Menjelang bulan Ramadan, ramai pula yang buat bisnes borang atau kupon amalan tertentu yang kononnya jika dibeli maka pahala akan diposkan kepada arwah yang disebut namanya dalam borang atau kupon berkenaan. Maka seakan pahala akan dicetak oleh pengeluar borang untuk kegunaan arwah di alam barzakh dengan bayaran yang diupahkan. Entah kilang mana yang mencetaknya atau posmen mana yang mengirimnya, kita tidak pasti. Demikian mereka melelongkan agama sehingga ada individu tertentu yang mengaut keuntungan puluhan bahkan ratusan ribu ringgit dengan melelong pahala di bulan Ramadan. Seakan siapa duit banyak, maka selamatlah dia di akhirat. Dunia rasuah kita bagai menjelma juga selepas kematian. Nabi pernah memberi ingatan: Bacalah al-Quran dan mintalah daripada Allah (pahala), kerana selepas kamu akan ada kaum yang membaca al-Quran dan meminta (upah) daripada manusia (Riwayat Ahmad dan al-Tirmizi, dinilai hasan oleh al-Albani).

Namun masyarakat kita ramai yang terpengaruh dengan perkara-perkara yang disebutkan ini kerana ingin jalan pintas tanpa usaha. Mereka ingin cerdik secara pintas tanpa belajar, kaya pintas tanpa usaha, masuk syurga pintas tanpa beramal dan seumpamanya. Golongan yang berkepentingan pula, mengambil kesempatan atas nama Islam. Kalau demikian cara kita beragama, maka tidak hairanlah jika ramai orang Melayu suka ‘ali babakan’ segala peluang yang diberikan kepadanya.

- DR. MOHD. ASRI ZAINUL ABIDIN ialah Mufti Kerajaan Negeri Perlis.
E-mel: moasriza@yahoo.com

Layari http://drmaza.com/