Nov 18, 2007

Pendedahan Aurat dan Kejahilan Wanita Nama Islam Kini

Berikut ialah situasi kejahilan wanita Islam mempamirkan tubuh badan mereka secara percuma kepada lelaki yang boleh mengawininya dan kepada pandangan orang bukan Islam.

Situasi Kejahilan 1:

Seorang wanita yang nama Islam bekerja di kedai atau pusat jualan pakaian wanita. Ia bekerja sebagai jurujual. Pusat menjual pakaian ini banyak menjual pakaian baju kurung,jubah dan berbagai jenis fesyen yang sesuai untuk dipakai oleh wanita Islam. Pemiliknya adalah orang berbagsa Cina beragama Budha. Apa yang menarik gadis yang berbangsa Cina di kaunter memakai baju kurung tanpa tudung. Malangnya anak Melayu nama Islam berpakaian seksi berseluar ketat, baju Tshirt lengan pendek,singkat bila duduk nampak kulit belakang. Mengapa generasi wanita hari ini jahil agamanya sendiri.Apakah ibu bapa atau suaminya juga jahil syariat Islam. Bekerja ditempat jual pakaian pun tidak mampu berpakaian ikut syariat Islam. Kita boleh lihat sendiri semasa membeli belah dimusim hampir hari raya.

Situasi Kejahilan 2:

Kedai menjual kitab dan buku agama ada di mana-mana. Namun kita juga amat terkejut jika terdapat pekerja wanitanya berpakaian seluar jean ketat dan sendat. Jual kitab tetapi tidak ambil tahu apa yang ada dalam kitab. Kitab khusus bab aurat wanita ada berbagai judul tetapi tidak diambil peduli. Yang penting cukup bulan dapat gaji. Jual kitab agama pun tidak dapat hidayah.

Situasi Kejahilan 3:

Bila hampir menjelang Hari Raya Aidil Fitri, pusat jualan pakaian menjadi tumpuan orang ramai terutama golongan wanita. Ramai wanita yang datang dengan berpakaian seksi, berselur jean ketat, Tshirt- Trend Fesyen Barat Kristian memilih fesyen baju kurung untuk pakai hari raya. Sudah jadi trend bila hari raya hendak ikut ajaran Islam. Lepas raya dedah aurat pula. Mengapa wanita kini jahil sangat ajaran Islam.

Situasi Kejahilan 4:

Seorang ibu dengan berpakaian sopan menutup aurat. Ayah memakai ketayap putih di kepala. Namun anak dara yang bersamanya berpakaian trend wanita barat, tidak menutup aurat. Mengapa ibu bapa yang berketayap putih tidak mampu mendidik anak perempuannya mematuhi syariat Allah. . Mengapa ribuan bapa yang memenuhi majid setiap solat Jumaat tidak ada kesedaran agama. Apakah mereka beragama sebagai adat sahaja. Inilah situasi yang amat menyedihkan dan bakal meninggal jenerasi yang akan berpakain baju dalam dan seluar dalam dimasa akan datang.

Memadai 4 situasi ini untuk kita fikir bersama. Belum lagi situasi drama dan filem orang Melayu yang pengarahnya mengelirukan Islam dalam berpakaian.




Oct 9, 2007

Selamat tinggal Ya Ramadhan

Alhamdulillah marilah kita megaturkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah Azawajalah kerana masih memanjangkan usia kita sehingga dalam keadaan sedar dan ataupun tidak sedar kita telah menyempurnakan ibadah puasa kita untuk hari ke 25 dan ibadah qiam Ramadhan kita untuk kali ke26 dan hanya 4 atau 5 hari lagi Ramadhan akan meninggalkan kita.

Ingatlah sahabat-sahabat sekalian,

“Sesungguhnya jika sesiapa yang hanya mengabdikan dirinya semata-mata kerana Ramadhan, Ingatlah sesungguhnya Ramadhan akan meninggalkanya, tetapi jika sesiapa mengabdikan dirinya pada Allah sesungguhnya Allah itu kekal selama-lamanya.”

Sahabat-sahabat sekalian sebenarnya Ramadhan merupakan satu bulan yang dijanjikan Allah dengan kelebihannya kepada hamba-hambanya, Ramadhan merupakan satu madrasah untuk membimbing dan mentarbiyah diri kita dalam kita menghadapi 11 bulan yang akan datang, maka saya daripada pihak urusetia Program Penghayatan Ramadhan Kolej Perdana menyeru sahabat-sahabat sekalian meneruskan amal kita sepanjang Ramadhan dalam menghidupkan 11 bulan yang akan datang.

Terdapat 2 golongan disaat tirai Ramadhan dilabuhkan, yang pertama golongan yang terlalu ghairah untuk menyambut Aidilfitri sehinggga mereka terlupa ataupun seganja mereka melupakan segala kelebihan yang dijanjikan Rasulullah yang masih terhidang dalam sisa-sisa hari yang terakhir dalam bulan Ramadhan ini sedangkan kumpulan yang kedua adalah kumpulan yang terasa sayup untuk meninggalkan Ramadhan, sehingga terasa tidak puas dengan hari baki yang tinggal, banyak lagi doa belum kita panjatkan, banyak lagi amal belum kita kerjakan.

Sahabat-sahabat sekalian kita hanya ada baki 4 atau 5 hari lagi dalam merebut kelebihan-kelebihan dijanjikan Allah dalam Ramadhan antaranya ganjaran melebihi seribu bulan,ini berdasarkan hadith sahih

“Carilah rebutlah Lailatul Qadar pada 10 malam yang terakhir Ramadhan.”
(Riwayat Jam’aah:Keseluruhan Ulamak-ulamak Hadith)

Marilah kita bersungguh-sungguh merebut peluang ini untuk meningkatkan ibadat kita, i’tikah kita, qiam kita, tadarus kita dan amalan-amalan lain.Marilah kita memanjatkan doa kita kepada Allah swt dengan memohon segala hajat kita kerana sesunggunya doa diwaktu ini sangat mustajab.Ini berdasarkan hadith sahih daripada Rasullullah yang bermaksud:

Terdapat tiga golongan yang tidak akan ditolak doa mereka, yang pertama doa pemimpin yang adil, doa daripada orang berpuasa sehinngga dia berbuka dan doa orang yang dizalimi
(Riwayat Abu Daud)

Sep 24, 2007

Status Hadis Ramadhan : Keampunan,

Rahmat & Bebas Neraka

Ada seorang ustadz yang mengatakan bahwa hadits tentang pembagian Ramadhan menjadi tiga itu dhaif. Padahal hadits itu populer sekali di tengah bulan Ramadhan. Kalau tidak salah bunyinya seperti ini:

Ramadhan itu awalnya adalah rahmat, tengahnya adalah maghfirah (ampunan) dan akhirnya adalah pembebasan dari api neraka.

Pertanyaan saya adalah: Benarkah klaim ustadz tersebut? Dan kalau benar, apa status hadits itu? Bagaimana kita mensikapinya.

Demikian terima kasih banyak ustadz

Misyal नासिफ

Penjelasannya : Klik disini (link kepada www.zaharuddin.net)

Sep 23, 2007

Penghayatan Ramadhan : Masih tidak terlambat...

Penghayatan Ramadhan : Masih tidak terlambat...

Alhamdulillah, bertemu kita sekali lagi dalam sidang redaksi Ihya’ Ramadhan yang ke-3 kalinya. Dalam kesempatan yang diizinkan Allah ini, marilah kita sama-sama merafa’kan rasa syukur kita kepada Allah S.W.T kerana dipanjangkan umur kita dengan memberi peluang dan kesempatan pada kita dalam kita beribadah kepada Allah SWT di bulan Ramadhan yang penuh dengan rahmat dan ma’firah ini.

Mudah-mudahan kita digolongkan oleh Allah S.W.T di dalam golongan hamba yang dikasihiNYA dan mudah-mudahan setiap langkah hidup kita ini, diredhai Allah S.W.T.Allahumma Ya Amin.

Sahabat-sahabat dikasihi Allah,

Bersyukur kita kepada Allah Azawajalah, kerana kita telah menyempurnakan ibadah puasa dan ibadah qiam ramadhan kita selama seminggu lebih.Dalam kesempatan yang ada ini marilah kita sama-sama bertanya dan menilai ke dalam diri kita masing-masing, Apakah ramadhan yang telah kita tempoh selama seminggu lebih ini benar-benar menjadikan kita sebagai manusia baru dimana berbeza dan sudah tentunya tidak sama dengan kita sebelum daripada kita memulakan ibadah puasa tahun ini.

Sahabat-sahabat diredhai Allah,

Adakah berpuasanya kita pada hari ini, kita dengan penuh sedar bahawa kita adalah manusia yang jauh lebih baik dan lebih komited dalam mentaati perintah Allah SWT ataupun kita sebelum dan semasa Ramadhan tidak ada perbezaan yang ketara dan ini adalah satu yang amat merugikan kita.

Sahabat-sahabat sekalian,

Kita masih belum terlambat, Ramadhan masih belum meninggalkan kita.Marilah kita bersungguh-sungguh merebut peluang baki bilangan hari yang tinggal ini untuk kita beribadah kepada Allah SWT.Sesungguh banyak ganjaran yang disediakan oleh Allah S.W.T kepada hambanya di bulan Ramadahan ini.Seperti mana disebutkan didalam satu hadith qudsi yang sahih:

"Setiap amalan anak Adam adalah digandakan pahalanya kepada sepuluh hingga 700 kali ganda, maka berkata Allah SWT : Kecuali puasa, sesungguhnya ia adalah khas untukKu dan Akulah yang akan membalas kebaikannya, mereka meninggalkan makanan, minuman dan syahwat mereka (di siang hari) hanya keranaKu"

(Riwayat Al-Bukhari & Muslim)

Jadi peluang yang ada ini marilah kita memperbanyakan istighfar, membaca al-Quran, solat, zikir, sedakah dan segala amalan baik yang lain yang mengikut sunnah Nabi SAW.Ambillah manfaat daripada jiwa yang luhur kerana berpuasa dan heningan malam Ramadhan yang syahdu untuk berqiamulail dengan memohon keampunan dan berdoa pada Allah SWT.Seperti mana dalam hadith yang sahih daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah bersabda yang maksudnya:

"Sesiapa yang berpuasa ramadhan dengan penuh keimanan dan dengan penuh harapan balasan pahala maka diampuni baginya segala dosa yang telah lepas".
(Riwayat Al-Bukhari & Muslim)

Sep 15, 2007

Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadhan

Alhamdulillah bersyukur pada Allah SWT dipanjang umur kita lagi untuk kita berjumpa sekali lagi dengan satu bulan yang penuh dengan rahmat dan ma’firah iaitu bulan Ramadhan al Mubarak।Ingatkah kita dengan Ramadhan yang lepas, mungkin banyak kekurangannya, jadi marilah kita merebut peluang ini।Didalam satu hadith yang sahih, daripada Abu Hurairah, Nabi SAW telah bersabda bermaksud :


“Apabila tibanya Ramadhan dibuka pintu-pintu syurga, ditutup segala pintu neraka dan dibelenggu segala syaitan.”


(Riwayat Bukhari dan Muslim)


Sahabat-sahabat sekalian, lihatlah betapa tingginya bulan Ramadhan digambarkan oleh Rasulullah SAW. Ramadhan merupakan satu madrasah yang dikurniakan oleh Allah SWT untuk membimbing dan mentarbiyah diri kita dalam kita menghadapi 11 bulan yang akan datang।Jika Ramadhan tidak disi dengan sebaiknya,maka rugilah kita.Seperti mana sabda Rasulullah SAW di dalam satu hadith yang sahih yang bermaksud:


"Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan buruk dan perbuatannya tatkala puasa, maka tiada hajat Allah baginya (kerana pahala akan terhapus) walaupun meninggalkan makanan dan minumannya" (Riwayat Bukhari)


Sahabat sahabat sekalian, Ramadhan merupakan satu-satunya bulan yang diberikan oleh Allah SWT kepada kita dalam membimbing dan mentarbiyah diri kita dalam proses menjadi seorang muslim yang soleh dan mukmin yang bertaqwa, iaitu takut kepada Allah SWT SWT dengan meninggalkan segala laranganNya dan melaksanakan segala perintahNya, jika tidak sia-sialah kehidupan kita ini।Itulah yang telah diceritakan oleh Rasulullah SAW di dalam hadith di atas.


Sahabat-sahabat sekalian, rebutlah peluang dibulan Ramadhan ini dengan memaksimumkan amal kita mengikut sunnah Nabi SAW yang sebenar।Ini kerana di dalam satu hadith Qudsi :


"Setiap amalan anak Adam adalah digandakan pahalanya kepada sepuluh hingga 700 kali ganda, maka berkata Allah SWT : Kecuali puasa, sesungguhnya ia adalah khas untukKu dan Akulah yang akan membalas kebaikannya, mereka meninggalkan makanan, minuman dan syahwat mereka (di siang hari) hanya keranaKu"

(Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)


Lihatlah betapa besarnya ganjaran yang diberikan oleh Allah SWT kepada kita dibulan Ramadhan ini..Maka rebutlahlah peluang keemasan ini dengan melibatkan gandakan amal kita. dengan melakukan setiap ibadah sahih berlandaskan Al-qur’an dan Sunnah semata-mata untuk mencapai redha Allah SWT. Di dalam satu hadith yang sahih telah berkata Abu Hurairah dimana dia telah mendengar Rasulullah S।A।W bersabda yang bermaksud :


Sesiapa yang mendirikannya (Ramadhan) penuh keimanan dan keikhlasan diampunkan baginya apa dosanya yang telah lalu।”

(Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Sep 2, 2007

Merdeka: Antara Penghayatan dan Acara Tahunan


Merdeka: Antara Penghayatan dan Acara Tahunan

Oleh:SS Dr Mohd Asri Zainul Abidin

"KEMERDEKAAN yang sebenar adalah apabila insan dapat membebaskan diri dari menjadi
hamba sesama makhluk kepada perhambaan diri hanya kepada Tuhan segala makhluk"


Tidak ada kemerdekaan mutlak dalam kehidupan insan. Jika insan berjiwa hamba atau menghina diri sesama mereka, maka dia tidak akan lagi menjadi hamba yang sebenar kepada Allah, Tuhan segala ciptaan yang wujud. Jika insan benar-benar menjadi hamba yang penuh ikhlas akidahnya kepada Allah, maka dia akan berjaya membebaskan diri dari cengkaman perhambaan sesama makhluk. Dalam erti kata lain, jika insan benar-benar tulus akidahnya, maka merdekalah dirinya dari kerendahan perasaan dan penghinaan jiwa terhadap selain Allah. Begitulah sebaliknya. Tiada insan yang merdeka mutlak dalam hidupnya. Hingga mereka yang mendakwa tidak mempercayai Tuhan dan bebas dari sebarang peraturan manusia pun, mereka tetap menjadi hamba nafsu dan pemikiran sesat yang akhirnya merobohkan nilai keinsanan mereka yang sebenar. Lihatlah apa yang berlaku kepada penganut ajaran dan blok komunis. Akhirnya Lenin dan Karl Mark menjadi tuhan baru dalam kehidupan mereka. Firman Allah dalam surah al- Jathiyyah ayat 23 (maksudnya): Maka tidakkah kamu lihat orang yang menjadikan hawa nafsunya tuhan (yang dipatuhinya), dan dia pula disesatkan oleh Allah kerana diketahui (bahawa ia tetap kufur ingkar), dan ditutupi pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan dia berkeadaan demikian)? Oleh itu, mengapa kamu (Wahai orang-orang yang ingkar) tidak insaf?


Sebab itulah, apabila tentera Islam memasuki sesebuah negara maka itu tidak dinamakan dengan penaklukan atau penjajahan. Sebaliknya dipanggil al-Fath iaitu pembukaan seperti Fath al-Makkah yang bermaksud Pembukaan Mekah. Maka gerakan umat Islam pada zaman kegemilangannya apabila memasuki sesebuah wilayah dinamakan al-Futuhat al-Islamiyyah iaitu pembukaan-pembukaan Islami. Ini bermaksud kedatangan umat Islam kepada sesuatu wilayah atau negara bertujuan memberikan kemerdekaan jiwa dari penindasan, kehinaan, kekejaman kepada satu sistem yang adil, yang berteraskan akidah yang benar. Jika hal itu tidak berlaku, maka bererti penaklukan atau penjajahan telah dilakukan. Ini menafikan tabiat Islam yang tulen, kerana Islam bukan agama yang diutuskan untuk menjajah orang lain, sebaliknya peranan umat ini adalah membebaskan kehidupan manusia keseluruhannya dari perhambaan sesama mereka, kepada mendaulatkan sistem Allah yang adil untuk semua. Inilah yang ditegaskan oleh Rib’i bin ‘Amir di hadapan angkatan tentera Parsi: “Allah yang membangkitkan kami agar kami mengeluarkan sesiapa yang dikehendaki-Nya dari pengabdian sesama hamba menuju pengabdian kepada Allah, dari kekejaman agama-agama kepada keadilan Islam, dari dunia yang sempit kepada keluasan dunia dan akhirat.” (lihat: Ibn al-Athir, al-Kamil fi al-Tarikh, 1/413).

Misi inilah yang cuba dilaksanakan oleh umat Islam pada zaman kegemilangannya. Maka apabila umat Islam menguasai dunia pada zaman tersebut mereka membina jiwa yang merdeka dan pembangunan tamadun untuk dikongsi oleh semua. Di bawah panji-panji Islam kaum Muslimin Arab telah berjaya membawa obor gemilang kepada manusia sejagat. Empayar Islam berkembang, bernaung di bawahnya manusia tanpa mengira bangsa dan agama, keadilan untuk semua. Tanyalah orang-orang Yahudi, bilakah penulisan ilmu mereka berkembang? Tidak lain hanyalah pada zaman mereka hidup di bawah kerajaan Islam di Baghdad. Padahal sebelum itu mereka sentiasa ditindas oleh berbagai-bagai puak dan agama. Namun mereka bangsa yang melupai jasa. Tanyalah kepada agama-agama lain, pernahkah mereka diburu dan dibunuh secara kejam di bawah pentadbiran yang menjadikan Islam sebagai terasnya? Malangnya, umat Islam sentiasa mempunyai pengalaman diburu dan dibunuh secara rakus di bawah sistem kuasa yang mengambil agama selain Islam sebagai pegangan.

Adapun umat Islam sesama mereka, tanpa mengira bangsa yang penting al-ukhuwah al-Islamiyyah iaitu persaudaraan Islam, mereka berkongsi ketamadunan yang agung. Sehinggakan lahirnya tokoh-tokoh besar yang bukan Arab ketika pemerintahan umat Islam berada di tangan yang berbangsa Arab. Di dalam bidang hadis yang merupakan sumber agung Islam umpamanya; al-Imam al-Bukhari iaitu Abu Abdillah Muhammad bin Ismail (wafat 256H), pengarang Sahih al-Bukhari bukan seorang Arab. Beliau berasal dari Bukhara, Ukzbek. Al-Imam Abu Isa, Muhammad bin Saurah al-Tirmizi (wafat 297H), pengarang Sunan al-Tirmizi juga bukan seorang Arab. Beliau berasal dari Tirmiz. Pengarang Sunan Abi Daud, Sulaiman bin al-Asy‘ath al- Sajistan (wafat 275H) juga bukan seorang Arab. Berasal dari Sajastan. Demikian pengarang Sunan al-Nasai Ahmad bin ‘Ali bin Syu‘aib al-Nasai (wafat 303H) juga bukan Arab. Berasal dari Nasa, salah satu negeri di Khurasan. Begitu juga pengarang Sunan Ibn Majah, Muhammad bin Yazid al-Qazwaini (wafat 279H), bukan Arab, berasal dari Qazwain. Adapun al-Imam Muslim bin al-Hajjaj (wafat 261H), pengarang Sahih Muslim, para pengkaji berbeza pendapat sama ada beliau seorang Arab atau tidak. Ramai yang menyatakan beliau juga bukan seorang Arab. Walaupun mereka semua bukan Arab tetapi Islam menjadikan mereka tokoh-tokoh hadis umat, kedudukan yang begitu tinggi yang diiktiraf oleh Arab dan bukan Arab. Dalam politik, Salahuddin al-Ayubi (wafat 589H) juga bukan seorang Arab. Dia berbangsa Kurdi. Namun dia berjaya menjadi sultan yang disayangi Arab dan bukan Arab. Dia berjaya mentadbir kerajaan Islam pada zamannya sehingga berjaya mengembalikan al-Masjid al-Aqsa.

Namun apabila umat Islam gagal menunaikan misi ini, mereka menjadi umat yang amat hina. Bayangkan, bagaimana mungkin Belanda yang kecil boleh menyeberangi lautan yang luas lalu menjajah Indonesia yang besar? Begitu juga Portugis yang datang begitu jauh dengan beberapa kapal mampu menjajah Melaka. Demikian tentu lebih dahsyat halnya di negara-negara Arab. Satu umat yang pernah membina tamadun gemilang akhirnya bertukar menjadi bangsa yang dijajah dan melutut hina di hadapan penjajahan. Aduhai, benarlah dikau Wahai Amirul Mukminin Umar ibn al-Khattab, ungkapan keramatmu ketika pembukaan Masjid al-Aqsa: “Kita dahulunya adalah kaum yang hina, Allah telah memuliakan kita dengan Islam, andainya kita mencari kemuliaan selain dari apa yang telah Allah muliakan kita dengannya maka kita akan dihina oleh Allah.” (Riwayat ini sanadnya dinilai sahih oleh al-Hakim dan disokong oleh al-Zahabi, lihat: Al-Mustadrak, 1/237, Beirut: Dar al-Ma’rifah).

Namun dengan kurniaan Allah, penjajah kebanyakannya telah keluar dari bumi umat Islam. Itu pun setelah mereka merampas hasilnya dan memerah keringat dan darah umat ini. Mungkin kesan ajaran Islam, menyebabkan umat ini tidak dapat menerima kelangsungan penjajahan. Firman Allah dalam surah al-Nisa’ ayat: 75 (maksudnya): Dan apakah yang menghalang kamu (maka kamu) tidak mahu berperang pada jalan Allah dan (untuk menyelamatkan) orang-orang yang tertindas dari kaum lelaki, perempuan dan kanak- kanak, iaitu mereka yang selalu (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! Keluarkanlah kami dari negeri ini, yang penduduknya yang zalim, dan jadikanlah bagi kami dari pihak-Mu seorang pemimpin yang mengawal (keselamatan agama kami), dan jadikanlah bagi kami dari pihak-Mu seorang pemimpin yang membela kami (dari ancaman musuh. Kata al-Qurtubiy (wafat 671H): “Allah menggesa untuk berjihad bertujuan menyelamatkan golongan yang ditindas (Muslimin) oleh kuffar musyrikin yang menyeksa mereka dengan seburuk-buruk seksaan dan memfitnah agama mereka. Maka Allah Taala mewajibkan jihad untuk menegakkan kalimah-Nya, memenangkan agama-Nya dan menyelamatkan hamba-hamba-Nya yang lemah.” (al- Qurtubiy, al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 5/279, Beirut: Dar al-Fikr).

Sama ada disebabkan kesedaran agama atau politik, kebangkitan menentang penjajahan berlaku hampir seluruh negara-negara yang dijajah. Namun, keluarnya penjajah dari sesebuah wilayah tidaklah bererti berakhirnya penjajahan dalam segenap aspek. Bangsa yang dijajah, jika gagal menegakkan identiti murni sendiri, mereka akan sangat terkesan dengan bangsa yang pernah menjajah mereka. Penjajah keluar meninggalkan tanah air, namun bangsa yang lemah selalu memandang tinggi dan ingin bersama bangsa yang lebih gagah dan hebat. Atau, manusia apabila tertindas, ada yang hanya memikirkan kepentingan diri, bukan umatnya. Maka tidak hairan jika kita melihat ramai yang sanggup menjadi talibarut bagi setiap penjajah. Merekalah yang membawa misi dan polisi penjajahan. Sebab itu jika kita berjaya mempertahan identiti diri, kita akan merdeka sekalipun bumi terjajah. Dalam sejarah Islam, bangsa Mongol yang menjajah umat Islam bertukar menjadi Muslim. Walaupun ada kekurangannya, namun ia adalah lambang tidak tumpasnya umat yang dijajah sekalipun kekuatan ketenteraan gugur dan hancur.

Bercakap soal kerendahan harga diri, umpamanya kita temui sesetengah orang Melayu yang hanya beberapa tahun berada di negeri ‘orang putih’ mendakwa kononnya dia sudah kurang mampu bercakap Melayu. Bahkan saya pernah menemui pensyarah di universiti saya bertugas yang menyatakan beliau sukar bercakap Melayu kerana setahun setengah berada di England dan bapa angkatnya ‘orang putih’. Dia kononnya lupa bahasa yang dia hidup lebih 20 tahun dengannya dan bahasa bapa sebenarnya yang menjaganya sejak kecil. Namun demikianlah contoh kehinaan jiwa. Isu sebenarnya, bangsa yang lemah berasa bangga jika mereka berjaya menjadi sebahagian dari bangsa yang kuat. Jika ‘mamat Bangla’ yang datang beberapa bulan boleh bercakap Melayu, adakah kerana beberapa potongan keju lidah Melayu menjadi kaku?

Jelas, bukan soal bahasa sebenarnya, tapi soal kerendahan jiwa dan kegagalan memerdekakan perasaan. Justeru dalam dunia tanpa sempadan, penjajahan tidak semestinya memerlukan tentera dan peralatan perang, sebaliknya kekuatan identiti dan propaganda. Demikian pemikiran Hollywood berjaya menjajah anak-anak muda kita. Dunia ini sebenarnya dalam banyak hal terus dijajah oleh propaganda Barat melalui media, kuasa ekonomi dan ketidak- merdekaan jiwa bangsa-bangsa lain.

Justeru bagi umat Islam, membina identiti Muslim dan jiwa yang merdeka adalah amat mustahak sebagai lambang kemerdekaan. Bukan kita tidak boleh mengambil manfaat dari Barat, namun identiti Islam mesti dipelihara. S aya amat bergembira apabila Tun Ahmad Fairuz mencadangkan supaya undang-undang Inggeris Common Law diganti dengan undang-undang yang berasal dari tanah air di sini serta yang sesuai dengan syariah. Hal ini disokong pula oleh Peguam Negara dan pimpinan kerajaan.Ini adalah perlambangan jiwa yang merdeka dan kembali kepada identiti asal. Namun hasrat itu mesti terus berkobar, bukan sekadar berita akhbar sahaja.

Makna kemerdekaan yang seperti ini perlulah sentiasa diterapkan. Sambutan kemerdekaan memang baik. Namun ciri-ciri sambutan itu bagi seorang Muslim hendaklah beridentitikan Islam. Sebab itu saya amat tidak bergembira dengan sebuah iklan televisyen yang menampilkan tabik hormat kepada Tugu Negara. Walaupun itu bukan satu penyembahan, namun ajaran Islam amat sensitif kepada sebarang unsur seumpama itu dan budaya berkenaan pun bukan dari kita, bahkan warisan penjajahan.

Bergembira menyambut kemerdekaan agar kita tahu bersyukur, tidaklah salah. Demikian juga kita boleh berhibur dengan aturan yang diizinkan syarak. Namun sambutan kemerdekaan hendaklah tidak menenggelamkan makna kemerdekaan. Janganlah anak-anak muda berkumpul dan melaung kemerdekaan bukan kerana jiwa yang merdeka, tetapi sekadar acara tanpa menghayati makna. Gaya dan cara mereka hendaklah melambangkan jiwa yang merdeka dari cengkaman penjajahan manusia kepada tauhid yang luhur. Kita amat tidak dapat menerima pelaksanaan perkara-perkara agama tanpa memahami dalil dan maknanya. Tentu sekali kita juga tidak dapat menerima mereka yang menyambut kemerdekaan tapi kontang dari penghayatan sebagai umat yang merdeka. Perhimpunan anak muda semperna kemerdekaan jika hanya untuk melihat hiburan di atas pentas semata, tentu tidak mencapai matlamatnya. Sebaliknya, mereka hendaklah berhimpun bagi menggambar kecintaan yang jujur kepada negara yang telah memberikan perlindungan kepada rakyat, agama dan kehormatan diri. Bukan sekadar acara tahunan. Setelah memahami hakikat ini, maka laungkanlah Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Sep 1, 2007

Jangan lelong agama untuk keuntungan perniagaan


Oleh: DR. MOHD. ASRI ZAINUL ABIDIN

OLEH kerana agama mempunyai fungsinya yang besar dalam masyarakat
manusia, maka pelbagai pihak cuba menggunakan nama agama atas berbagai-bagai tujuan. Ada yang ikhlas, ada pula yang mengambil kesempatan atas nama agama untuk mengaut harta atau pengaruh. Maka penyalahgunaan nama agama bukan perkara baru dalam sejarah manusia. Bukan sahaja Islam yang menerima bahana tersebut, agama-agama lain juga demikian. Namun bagi Islam, ia lebih perih, kerana Islam agama wahyu. Seorang muslim yang sebenar tentu akan merasai penyalahgunaan nama Islam adalah satu dosa yang amat serius kerana ianya adalah pemalsuan wahyu. Dalam erti kata lain, menyalahgunakan nama Allah dengan membuat dakwaan palsu kononnya Allah memerintah atau melarang itu dan ini, padahal tiada sebarang nas dari Allah ataupun rasul-Nya adalah satu jenayah besar.

Firman Allah dalam surah al-A’raf ayat 33 (maksudnya) Katakanlah: Sesungguhnya Tuhanku hanya mengharamkan perbuatan-perbuatan yang keji, sama ada yang nyata atau yang tersembunyi; dan perbuatan dosa; dan perbuatan menceroboh dengan tidak ada alasan yang benar; dan (diharamkan) kamu mempersekutukan sesuatu dengan Allah sedang Allah tidak menurunkan sebarang bukti (yang membenarkannya); dan (diharamkan) kamu memperkatakan terhadap Allah sesuatu yang kamu tidak mengetahuinya.

Baginda s.a.w.: Juga menegaskan hal yang sama dalam banyak hadis baginda, antaranya daripada Aisyah, katanya: sabda Nabi: Sesiapa yang membuat perkara baru dalam urusan kami ini (Islam) apa yang bukan daripadanya maka ia tertolak (Riwayat Muslim).

Maka setiap insan Muslim hendaklah berhati-hati tentang kesempatan yang diambil oleh banyak pihak untuk menjadikan agama saluran keuntungan atau menempatkan pemikiran peribadi yang akhirnya diberikan cop agama. Jika hal ini dibiarkan, maka ajaran-ajaran palsu akan muncul atas nama agama dan Islam yang tulen akan hilang dari sesetengah masyarakat.

Justeru itu saya amat menentang seorang ‘warga seberang’ yang menggelarkan diri al- Banjari dengan kononnya memiliki beberapa kelebihan mendakwa bahawa sesiapa yang berjabat tangan dengannya, seakan berjabat tangan dengan Rasulullah lantas sesiapa berjabat tangan dengannya juga akan masuk syurga. Demikianlah murahnya harga syurga dilelong olehnya. Dakwaan palsu ini dibuat olehnya dengan menggunakan hadis palsu kononnya Nabi bersabda: Sesiapa yang berjabat tangan denganku, atau dengan orang yang berjabat tangan denganku maka dia masuk syurga. Maka setiap mereka akan berjabat tangan dengan guru mereka dengan dakwaan kononnya tangan tersebut telah berjabat dengan tangan sebelumnya secara berangkaian sehingga kepada Nabi.

Maka apabila warga seberang tersebut datang ke negara kita, dia bagai mengiklankan dirinya sebagai jalan untuk sampai ke syurga. Maka orang ramai pun di beberapa masjid di sebelah utara tanah air bangun bersalaman untuk mendapatkan syurga. Meriahlah majlis lelongan syurga tersebut. Maka megahlah warga seberang berkenaan, kerana tangannya seakan pintu kepada syurga dan orang ramai pun dibeli dengan modal hadis palsu tersebut. Apa yang peliknya, kedatangan beliau itu ditaja oleh beberapa pihak yang mempunyai kuasa agama di beberapa buah negeri. Padahal beberapa negeri tersebut begitu sensitif dengan pandangan yang lebih progresif mengenai Islam. Digam penceramah-penceramah muda yang membawa ke arah keluasan minda dan fahaman Islam yang lebih terbuka berdasarkan dalil dan hujah. Malangnya, mereka menaja pula pemikiran yang karut seperti itu. Maka tidak peliklah jika ajaran sesat selalu sahaja muncul dalam masyarakat kita.

Sebenarnya, para ulama hadis telah mengingatkan tentang pembohongan hadis berkenaan. Kata al-Syeikh ‘Abd al-Fattah Abu Ghuddah dalam komentarnya bagi kitab Zafar al-Amani: “Hadis musalsal (berangkai) berjabat tangan tersebut adalah batil dan dusta. Tiada asalnya dan tidak pernah wujud. Katanya juga: “Tiada keberkatan bagi pendustaan dan pembohongan hadis ini ke atas Nabi tidak dikira ibadat menulis cerita dongeng ini melainkan dengan niat untuk memusnahkannya.” (m.s. 272, 273, Damsyik: Maktab al-Matbu‘at al-

Islamiyyah). Dalam Lisan al-Mizan Ibn Hajar al-Asqalani menyebut: “Riwayat berjabat tangan Mu‘ammar tidak akan diterima oleh orang yang berakal” (jilid 6, m.s. 68, Beirut: Muassasah al-‘Ilm li al-Matbu‘at,). Ertinya begitu mudah orang kita ditipu dan tidak menggunakan akal yang waras dalam beragama. Al-Imam al-Sayuti (wafat 911H) di dalam fatwanya bila ditanya mengenai hadis ini, beliau berkata: “Mu‘ammar adalah pendusta lagi dajal, hadisnya adalah batil, tidak halal meriwayatkannya.” (lihat: Tahqiq Zafar al-Amani, m.s.275).

Demikianlah mudahnya agama kita dilelong oleh orang lain hanya kerana terpengaruh dengan fesyen serban dan jubah warga berkenaan. Jikalaulah mereka sedikit berfikir; pada zaman Nabi entah berapa ramai sahabat yang bersalaman dengan baginda, pernahkah mereka mendakwa demikian? Pernahkah mereka mengadakan majlis menjemput orang ramai bersalam dengan mereka untuk masuk syurga. Pernah ini dibuat oleh Abu Bakar, atau Umar, atau Uthman, atau Ali atau lain-lain. Saya dukacita apabila yang bangun bersalaman ialah orang-orang masjid dan ‘kaki dengar kuliah agama’. Sehingga saya tertanya-tanya; apakah segala pengajaran agama yang dipelajari gagal menjadikan mereka cerdik, atau sekurang-kurangnyanya menghidupkan fungsi akal mereka. Sedangkan agama datang untuk mencerdikkan akal bukan membodohkannya.

Demikian juga orang kita percaya adanya kayu atau rajah atau bahan tertentu mempunyai kesaktian tertentu. Ini seperti percaya dengan kayu kokka yang dijual di negara ini. Bahkan kayu tersebut dijual di Mekah dan Madinah oleh warga Bangladesh yang bertaburan di sana. Ramai pula yang membeli. Menggunakan nama agama lalu kayu itu dijual, kononnya tongkat Nabi Musa dibuat daripadanya. Demikian juga kononnya bahtera Nabi Nuh juga diperbuat daripadanya. Maka dibohongilah orang ramai kononnya kayu itu jika disimpan membawa rezeki, atau menolak bala dan berbagai-bagai kesaktian yang lain. Maka harga kayu tersebut yang beberapa ringgit di negaranya bertukar menjadi ratusan bahkan ribuan ringgit di negara kita. Padahal tidak satu dalil yang sahih pun dalam Islam mengenai kayu kokka tersebut. Mustahil pula untuk Islam membicarakan perkara yang bodoh seperti itu. Bahkan itu termasuk dalam sabda Nabi: Sesiapa yang menggantung (tangkal) maka dia melakukan kesyirikan (Riwayat al-Imam Ahmad, dinilai sahih oleh al-Albani). Menggantung di sini bermaksud menggantung sesuatu yang dipercayai dapat menangkis bala atau mendatang sesuatu kebaikan. Perbuatan itu di samping ia syirik, ia adalah satu kebodohan dan penipuan syaitan. Apabila saya mengeluarkan kenyataan akhbar mengenai hal ini, ada yang menghubungi saya dan minta tolong jangan ganggu bisnesnya. Begitulah manusia, dia sanggup melelong agamanya demi bisnesnya.

Serupa dengan itu, atas nama agama dijual air dan barangan jampi yang pelik- pelik. Sehingga ada yang membuat bisnes air tertentu yang dijampi secara tulisan dan bacaan. Diberi pula nama yang berbagai- bagai. Kononnya itulah ajaran Islam. Saya tidak menafikan baginda Nabi pernah menjampi penyakit seperti baginda juga berubat dengan bahan-bahan perubatan yang lain. Ini disebut dalam hadis-hadis yang sahih. Namun dakwaan dengan air atau kismis atau apa jua bahan-bahan jampi orang yang tidak pintar pun boleh dipintarkan, suami atau anak yang tidak baik perangainya boleh dipulihkan, ini sudah luar biasa lagi mengatasi Nabi. Baginda tidak menjampi kaum Quraisy agar beriman, bahkan bapa saudaranya yang dekat dan dikasihi iaitu Abu Talib pun meninggal dalam keadaan kufur tanpa dijampinya. Kalau dengan menjampi manusia boleh berubah sikap, pasti Nabi akan menjampi telaga zamzam kerana itu sumber air Quraisy ketika itu. Pasti Quraisy akan berubah apabila terminum. Hal ini tidak berlaku dalam sirah baginda. Kalau benar ada orang boleh menjampi sehingga mengubah sikap manusia kepada baik, atau mencerdikkan manusia maka eloklah kita mengupahnya menjampi empangan-empangan air di negara ini agar semua rakyat menjadi baik dan cerdik. Ketahuilah sesungguhnya jalan untuk manusia mendapat hidayah adalah dakwah yang benar, keikhlasan hati penerimanya dan keizinan Allah. Firman Allah dalam surah al- Baqarah ayat 256-257 (maksudnya) Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan taghut, dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. Allah Pelindung (yang mengawal dan menolong) orang-orang yang beriman. Dia mengeluarkan mereka dari kegelapan-kegelapan kepada cahaya (iman) dan orang-orang yang ingkar, penolong-penolong mereka ialah taghut yang mengeluarkan mereka dari cahaya (iman) kepada kegelapan-kegelapan. Mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.

Dalam hadis ada beberapa orang sahabat yang didoakan oleh Nabi agar diberikan ilmu dan kepandaian. Antaranya tokoh sahabat yang masih muda Ibn ‘Abbas yang baginda doakan untuknya: Ya Allah! Ajarkanlah dia al-Kitab (al-Quran) (Riwayat al- Bukhari). Ibn ‘Abbas benar-benar muncul sebagai tokoh ilmu pengetahuan, pentafsir al-Quran dan sahabi yang alim yang menjadi rujukan umat. Namun Ibn ‘Abbas bukanlah seorang yang hanya menunggu hasilnya doa baginda datang bergolek seperti sesetengah pihak menunggu kesan bahan jampi. Sebaliknya sejarah mencatatkan kesungguhan beliau dalam berusaha memperoleh ilmu. Selain daripada berkesempatan mengambil ilmu secara langsung daripada baginda selama tiga puluh bulan. Kemudian baginda wafat ketika umur Ibn ‘Abbas 13 tahun. Beliau terus mengambil hadis daripada para sahabat seperti ‘Umar ibn Khattab, ‘Ali, Mu‘az, bapanya sendiri iaitu ‘Abbas, ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf, dan ramai yang lain. (lihat: al-Zahabi, Siyar ‘Alam al-Nubala‘, 3/332-337, Beirut: Maktabah al-Risalah). Maksudnya doa Nabi dimakbulkan Allah, namun melalui proses keilmuan yang sepatutnya. Sebaliknya, keadaan sesetengah masyarakat Muslim seakan cuba digula-gula dengan meminum atau memakan bahan jampi orang agama, maka akan berlaku keajaiban dalam kehidupan. Sepatutnya yang ditekankan adalah soal kesungguhan menuntut ilmu seperti yang difardukan oleh Islam. Malangnya dalam masyarakat Muslim, kesungguhan membaca, memiliki buku, memenuhi perpustakaan, menulis bahan ilmiah tidak digembar-gemburkan, bahkan ‘orang lain’ mendahului kita. Tiba-tiba jampi menjadi cerdik pula yang mendapat publisiti dan dijual secara komersial. Tidakkah kita merendahkan Islam apabila orang bukan Islam melihat anak orang kita yang minum air jampi ‘ustaz’ tidak lebih cemerlang atau jauh ketinggalan dibandingkan anak ‘orang lain’ yang berbekalkan air mineral? Janganlah kita lelong agama kerana bisnes kita.

Menjelang bulan Ramadan, ramai pula yang buat bisnes borang atau kupon amalan tertentu yang kononnya jika dibeli maka pahala akan diposkan kepada arwah yang disebut namanya dalam borang atau kupon berkenaan. Maka seakan pahala akan dicetak oleh pengeluar borang untuk kegunaan arwah di alam barzakh dengan bayaran yang diupahkan. Entah kilang mana yang mencetaknya atau posmen mana yang mengirimnya, kita tidak pasti. Demikian mereka melelongkan agama sehingga ada individu tertentu yang mengaut keuntungan puluhan bahkan ratusan ribu ringgit dengan melelong pahala di bulan Ramadan. Seakan siapa duit banyak, maka selamatlah dia di akhirat. Dunia rasuah kita bagai menjelma juga selepas kematian. Nabi pernah memberi ingatan: Bacalah al-Quran dan mintalah daripada Allah (pahala), kerana selepas kamu akan ada kaum yang membaca al-Quran dan meminta (upah) daripada manusia (Riwayat Ahmad dan al-Tirmizi, dinilai hasan oleh al-Albani).

Namun masyarakat kita ramai yang terpengaruh dengan perkara-perkara yang disebutkan ini kerana ingin jalan pintas tanpa usaha. Mereka ingin cerdik secara pintas tanpa belajar, kaya pintas tanpa usaha, masuk syurga pintas tanpa beramal dan seumpamanya. Golongan yang berkepentingan pula, mengambil kesempatan atas nama Islam. Kalau demikian cara kita beragama, maka tidak hairanlah jika ramai orang Melayu suka ‘ali babakan’ segala peluang yang diberikan kepadanya.

- DR. MOHD. ASRI ZAINUL ABIDIN ialah Mufti Kerajaan Negeri Perlis.
E-mel: moasriza@yahoo.com

Layari http://drmaza.com/

Aug 31, 2007

Radio Ikim.fm

Right click and open in new tab

video

Merdeka...Merdeka...Merdeka

Alhamdulillah telah 50 tahun negara kita merdeka dari jajahan dan tekanan kuasa asing secara fizikal. Jajahan fizikal sememangnya amat mendukacitakan dan menekan. Lihat sahaja Iraq dan Palestin yang sedang dijajah secara fizikal. Penjajahan seumpama ini sudah tentu boleh membawa kepada terjajahnya minda dan hati majoriti rakyat. Mungkin akan ada yang terselamat dari penjajahan tersebut tetapi jumlahnya pasti amat kecil.

Hari ini, Malaysia telah 50 tahun merdeka, maka agenda utama umat hari ini adalah pengisian kemerdekaan. Pengisian tidak akan mampu dibuat tanpa ilmu, dan pengisian yang melupakan santapan rohani pasti akan membawa kepada pengisian yang cacat dan pincang.

Aug 30, 2007

Puasa Bulan Sya'baan

Oleh: Sheikh Muhammad b Salih al-‘Uthaymin

Diriwayatkan oleh A’ishah: “Aku tidak pernah melihat Rasulullah SAW berpuasa keseluruhan bulan kecuali pada bulan Ramadhan. Aku tidak pernah melihat baginda berpuasa dengan kerap di dalam bulan-bulan lain melainkan bulan Sha’ban.” [Sahih al-BUkhari (1969) dan Sahih Muslim (1156)]

Hadith ini menekankan bahawa adalah Sunnah untuk kerap berpuasa di dalam bulan Sha’ban. Sha’ban adalah satu bulan yang perlu kita pilih untuk melakukan lebih banyak puasa sunat.Berpuasa pada hari-hari di dalam bulan Sha’ban adalah Sunnah.

A’ishah juga berkata: “Baginda sering berpuasa keseluruhan bulan Sha’ban” [Sahih al-Bukhari (1970)]

Dia juga berkata: “Baginda sering berpuasa di dalam Bulan Sha’ban kecuali beberapa hari di dalamnya.” [Sahih Muslim]

Usamah b Zayd berkata:

Rasulullah SAW tidak pernah berpuasa dengan lebih kerap seperti yang baginda lakukan di dalam bulan Sha’ban.
Aku bertanya mengapa Baginda berbuat demikian, dan Baginda menjawab: “Ini adalah bulan yang orang tinggalkan di antara bulan Rajab dan bulan Ramadhan. Sedangkan inilah bulan dimana amalan diangkat kepada Tuhan seluruh Alam, dan aku suka supaya amalan aku diangkat ketika aku sedang berpuasa.”

Hadith ini diriwayatkan di dalam Musnad Ahmad (21735) dan Sunan al-Nasa’i (2357). Ibn Muflih berkata tentangnya di dalam al-Furu’ (3/120): “Ia mempunyai sanad yang baik”

Menentukan 15 Sha’ban untuk berpuasa

Bukti yang dibawakan di atas adalah benar untuk keseluruhan bulan. Tidak ada hari atau-hari-hari tertentu di dalam bulan Sha’ban yang digalakkan secara khusus untuk berpuasa. Tidak ada kelebihan tertentu untuk berpuasa pada hari yang ke-15 bulan Sha’ban.

Terdapat satu hadith yang lemah berbunyi:

“Apabila pertengahan Sha’ban tiba, dirikanlah solat keseluruhan malam dan berpuasa keesokan harinya, kerana sesungguhnya Allah turun ke langit dunia pada malam tersebut dan pada waktu terbenam matahari mengumumkan: ‘Adakah sesiapa yang memohon keampunanKu supaya Aku ampunkan? Adakah sesiapa yang memohon kecukupan dariKu supaya Aku cukupkan? Adakah sesiapa yang menghadapi kesukaran agar Aku dapat ringankan?? ...’ dan Dia terus bertanya sehingga terbit fajar.” [Sunan Ibn Majah (1388)]

Penulis al-Manar telah memastikan bahawa hadith ini bukan sahaja lemah, malah direka. Beliau berkata:
Yang benar adalah hadith ini rekaan. Pada isnadnya terdapat Abu Bakr b ‘Abd Allah b. Muhammad, yang lebih dikenali sebagai Ibn Abi Sabrah.

Ahmad b Hanbal dan Yahya b Ma’in telah mendedahkan bahawa beliau adalah pereka hadith. [Juga rujuk: Majmu’ al-Fatawa (5/266)]

Oleh kerana amalan mengkhususkan 15 Sha’ban untuk berpuasa tidak dapat dibuktikan dari mana-mana hadith yang sohih, maka ia adalah amalan yang tiada asasnya. Semua ulama’ sepakat bahawa hadith yang lemah dan direka-cipta tidak boleh dijadikan hujjah untuk amalan Ibadah.

Satu pengecualian kepada keadaan ini adalah apabila terdapat kes di mana hadith yang lemah mempunyai sokongan dari banyak jalan periwayatan yang lain sehingga menguatkannya ke tahap yang lebih baik. Dalam kes ini, ia boleh digunakan sebagai hujjah untuk melakukan amalan Ibadah asalkan ia tidak bercanggah dengan hadith yang lebih kuat.

Maka, menjadi suatu innovasi didalam beribadah (bid’ah) apabila mengkhususkan hari tertentu untuk berpuasa, kerana mana-mana perbuatan ibadah yang tidak mempunyai hujjah dari Sunnah adalah bid’ah didalam agama.

Ini tidak bermakna kita perlu mengelakkan diri dari berpuasa pada 15 Sha’ban. Ia seperti hari-hari lain di dalam bulan Sha’ban dan keumuman hadith yang menggalakkan berpuasa di dalam bulan Sha’ban adalah untuk kesemua hari di dalamnya. Apa yang salah adalah mempunyai niat untuk mengkhususkan hari tersebut (15 Sha’ban) untuk berpuasa.


Wallahu’alam.

Sumber asal: http://www.islamtoday.com/showme2.cfm?cat_id=33&sub_cat_id=1417

Apr 1, 2007


WAKTU-WAKTU YANG MUSTAJABNYA DOA

Oleh: Ismail bin Marsyud bin Ibrahim Ar-Rumaih


Allah memberikan setiap waktu dengan keutamaan dan kemuliaan yang berbeza-beza, di antaranya ada waktu-waktu tertentu yang sangat baik untuk berdoa, akan tetapi kebanyakan orang mensia-siakan kesempatan yang baik tersebut. Mereka menyangka bahawa seluruh waktu memiliki nilai yang sama dan tidak berbeza. Setiap muslim seharusnya memanfaatkan waktu-waktu yang utama dan mulia untuk berdoa agar mendapatkan kejayaan, keuntungan, kemenangan dan keselamatan. Adapun waktu-waktu mustajaba tersebut antara lain ialah


(1) Sepertiga Akhir Malam


Dari Abu Hurairah Radhiyallahu 'anhu bahawasanya Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda. "Ertinya : Sesungguhnya Rabb kami yang Maha Berkah lagi Maha Tinggi turun setiap malam ke langit dunia hingga berbaki sepertiga akhir malam, lalu berfirman ; barangsiapa yang berdoa, maka Aku akan kabulkan, barangsiapa yang memohon, pasti Aku akan perkenankan dan barangsiapa yang meminta ampun, pasti Aku akan mengampuninya". (Shahih Al-Bukhari, kitab Da'awaat bab Doa Nisfullail 7/149-150)


(2). Tatkala Berbuka Puasa Bagi Orang Yang Berpuasa

Dari Abdullah bin 'Amr bin 'Ash Radhiyallahu 'anhu bahawa dia mendengar Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda. "Ertinya : Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa ketika saat berbuka ada doa yang tidak ditolak". (Sunan Ibnu Majah, bab Fis Siyam La Turaddu Da'watuhu 1/321 No. 1775. Hakim dalam kitab Mustadrak 1/422. Dishahihkan sanadnya oleh Bushairi dalam Misbahuz Zujaj 2/17).


(3). Setiap Selepas Shalat Fardhu

Dari Abu Umamah, sesungguhnya Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam ditanya tentang doa yang paling didengari oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala, baginda Shallallahu 'alaihi wa sallam menjawab. "Ertinya : Di pertengahan malam yang akhir dan setiap selesai shalat fardhu". (Sunan At-Tirmidzi, bab Jamiud Da'awaat 13/30. Dishahihkan oleh Al-Albani di dalam Shahih Sunan At-Tirmidzi 3/167-168 No. 2782).


(4). Ketika Saat Perang Berkecamuk

Dari Sahl bin Sa'ad Radhiyallahu 'anhu bahawa Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda. "Ertinya : Ada dua doa yang tidak tertolak atau jarang tertolak ; doa ketika saat adzan dan doa ketika perang berkecamuk". (Sunan Abu Daud, kitab Jihad 3/21 No. 2540. Sunan Baihaqi, bab Shalat Istisqa' 3/360. Hakim dalam Mustadrak 1/189. Dishahihkan Imam Nawawi dalam Al-Adzkaar hal. 341. Dan Al-Albani dalam Ta'liq Alal Misykat 1/212 No. 672).


(5). Sesaat ketika Hari Jum'at

Dari Abu Hurairah Radhiyallahu 'anhu bahawa Abul Qasim Shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda. "Ertinya : Sesungguhnya pada hari Jum'at ada satu saat yang tidaklah bertepatan seorang hamba muslim shalat dan memohon sesuatu kebaikan kepada Allah melainkan akan diberikan padanya, beliau berisyarat dengan tangannya akan sedikitnya waktu tersebut". (Shahih Al-Bukhari, kitab Da'awaat 7/166. Shahih Muslim, kitab Jumuah 3/5-6)

Waktu yang sesaat itu tidak boleh diketahui secara tepat dan masing-masing riwayat menyebutkan waktu tersebut secara berbeza-beza, sebagaimana yang telah disebutkan oleh Ibnu Hajar di dalam Fathul Bari 11/203. Dan kemungkinan besar waktu tersebut berada ketika saat imam atau khatib naik ke mimbar sehingga selesai shalat Jum'at atau sehingga selesai waktu shalat ashar bagi orang yang menunggu shalat maghrib.


(6). Ketika Waktu Bangun Tidur Pada Malam Hari Bagi Orang Yang Sebelum

Tidur Dalam Keadaan Suci dan Berdzikir Kepada Allah

Dari 'Amr bin 'Anbasah Radhiyallahu 'anhu bahawa Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda. "Ertinya :Tidaklah seorang hamba tidur dalam keadaan suci lalu terbangun pada malam hari kemudian memohon sesuatu tentang urusan dunia atau akhirat melainkan Allah akan mengabulkannya". (Sunan Ibnu Majah, bab Doa 2/352 No. 3924. Dishahihkan oleh Al-Mundziri 1/371 No. 595) Terbangun tanpa sengaja pada malam hari.(An-Nihayah fi Gharibil Hadits 1/190) Yang dimaksudkan dengan "ta'ara minal lail" terbangun dari tidur pada malam hari.


(7). Doa Di antara Adzan dan Iqamah

Dari Anas bin Malik Radhiyallahu 'anhu bahawa Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda. "Ertinya : Doa tidak akan ditolak di antara adzan dan iqamah". (Sunan Abu Daud, kitab Shalat 1/144 No. 521. Sunan At-Tirmidzi, bab Jamiud Da'waat 13/87. Sunan Al-Baihaqi, kitab Shalat 1/410. Dishahihkan oleh Al-Albani, kitab Tamamul Minnah hal. 139)


(8). Doa Ketika Waktu Sujud di Dalam Shalat

Dari Ibnu Abbas Radhiyallahu 'anhu bahawa Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda. "Ertinya : Adapun pada waktu sujud, maka bersungguh-sungguhlah berdoa keraan saat itu sangat tepat untuk dikabulkan". (Shahih Muslim, kitab Shalat bab Nahi An Qiratul Qur'an fi Ruku' wa Sujud 2/48) Yang dimaksudkan adalah sangat tepat dan layak untuk dikabulkan doa kamu.


(9). Ketika Saat Sedang Hujan

Dari Sahl bin a'ad Radhiyallahu 'anhu bahawasanya Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda. "Ertinya : Dua doa yang tidak pernah ditolak ; doa ketika waktu adzan dan doa ketika waktu hujan". (Mustadrak Hakim dan dishahihkan oleh Adz-Dzahabi 2/113-114. Dishahihkan oleh Al-Albani dalam Shahihul Jami' No. 3078). Imam An-Nawawi berkata bahawa penyebab doa pada waktu hujan tidak ditolak atau jarang ditolak ialah kerana pada saat itu sedang turun rahmat khususnya curahan hujan pertama di awal musim. (Fathul Qadir 3/340).


(10). Ketika Saat Ajal Tiba

Dari Ummu Salamah bahawa Rasulullah 'alaihi wasallam mendatangi rumah Abu Salamah (pada hari wafatnya), dan beliau mendapati kedua mata Abu Salamah terbuka lalu beliau 'alaihi wasallam memejamkannya kemudian bersabda. "Ertinya : Sesungguhnya tatkala ruh dicabut, maka pandangan mata akan mengikutinya'. Semua keluarga histeria. Baginda 'alaihi wasallam bersabda : 'Janganlah kalian berdoa untuk diri kalian kecuali kebaikan, kerana para malaikat mengamini apa yang kamu ucapkan". (Shahih Muslim, kitab Janaiz 3/38)


(11). Ketika Malam Lailatul Qadar

Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman. "Ertinya : Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu penuh kesejahteraan sehingga terbit fajar". (Al-Qadr : 3-5) Imam As-Syaukani berkata bahawa kemuliaan Lailatul Qadar mengharuskan doa setiap orang pasti dikabulkan. (Tuhfatud Dzakirin hal. 56)


(12). Doa Ketika Hari Arafah

Dari 'Amr bin Syu'aib Radhiyallahu 'anhu dari bapaknya dari datuknya bahawasanya Nabi Shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda. "Ertinya : Sebaik-baik doa adalah pada hari Arafah". (Sunan At-Tirmidzi, bab Jamiud Da'waat 13/83. Dihasankan oleh Al-Albani dalam Ta'liq alal Misykat 2/797 No. 2598)

Mar 30, 2007

Kesilapan kerap wanita tentang Aurat

Oleh : Ustaz Zaharuddin
Ketika ini, saya mengambil masa sekitar satu jam untuk ke pejabat, memandu kereta dari Puchong ke Jalan Sultan Ismail. Setiap hari, laluan jalan pergi dan pulang ini akan mempamerkan kejahilan wanita Islam hari ini tentang penutupan aurat. Di manakah kesilapan penutupan aurat wanita hari ini ?. Jawabnya seperti berikut :-

KESALAHAN PERTAMA : Aurat itu adalah memakai tudung sahaja.

KESALAHAN KEDUA : Bertudung tetapi ber‘T-Shirt' berlengan pendek.

KESALAHAN KETIGA : Bertudung tetapi baju kebarungnya terbelah kainnya.

KESALAHAN KEEMPAT : Bertudung tetapi bajunya sendat, sempit dan nipis lalu
memaparkanbentuk kawasan-kawasan mudah ‘menggoda'.

KESALAHAN KELIMA : Bertudung tetapi amat longgar dan menayangkan jambul dan
hujung rambutnya.

KESALAHAN KEENAM : Bertudung tetapi hanya memakainya di pejabat sahaja. Tidak
di sekitar rumah, pasaraya dan sebagainya.

KESALAHAN KETUJUH : Bertudung tetapi tudungnya dilempar ke belakang leher, maka
terdedahlah dadanya dari ditutupi kain tudung.

KESALAHAN KELAPAN : Bertudung tetapi dengan tudung yang amat nipis sehingga boleh
diihat sanggul, leher, tengkuk dan dadanya. Sebahagian wanita
menyangka bahawa tutup aurat tu adalah tutup rambut sahaja.
Firman Allah SWT: ertinya : "Hendaknya mereka
itu melabuhkan tudungnya sampai ke dadanya, dan
JANGANLAH KAMU MENDEDAHAKN AURAT DAN
PERHIASAN KAMU KECUALI APA YANG TERZAHIR."
(an-Nur: 31)

Pengertian khumur (tudung), iaitu semua alat yang dapat dipakai untuk menutup kepala. Sedang apa yang disebut ‘juyub' kata jama' (bentuk plural) dari kata jaibun, yaitu belahan dada yang terbuka, tidak tertutup oleh pakaian/baju.

Setiap perempuan Islam wajib menutup kepalanya dengan tudung dan bahagian dadanya termasuk juga leher, sehingga semua tempat-tempat yang boleh membawa fitnah tertutup dari perkara yang memungkinkan dilihat oleh orang-orang yang jahat hatinya.

Menurut Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi yang dimaksud perhiasan perempuan dalam ayat itu pula, iaitu apa saja yang dipakai berhias dan untuk mempercantik tubuh, baik berbentuk ciptaan asli seperti wajah, rambut dan potongan tubuh, ataupun buatan seperti pakaian, perhiasan, make-up dan sebagainya.

Dalam ayat di atas Allah memerintahkan kepada orang-orang perempuan supaya menyembunyikan perhiasan tersebut dan melarang untuk dinampak-nampakkan. Allah tidak memberikan pengecualian, melainkan apa yang terzahir. Oleh karena itu para ulama kemudian berbeza pendapat tentang erti apa terzahir itu serta ukurannya.

Misalnya sahabat besar Nabi seperti Ibnu Abbas r.a, ia berkata dalam menafsirkan apa yang terzahir itu adalah : celak dan cincin.

Yang berpendapat seperti ini ialah sahabat Anas Bin Malik. Justeru, harus dilihat celak dan cincin wanita, bererti boleh dilihatnya juga kedua tempatnya pemakaiannya, iaitu muka dan kedua tapak tangan. Demikianlah apa yang ditegaskan oleh ulama Tabien seperti Said bin Jubair, 'Atha', Auza'i dan lain-lain.

Bagaimanapun Ummul Mukminin Aisyah r.a, Qatadah dan lain-lain menisbatkan gelang sebagai perhiasan yang boleh dilihat. Dengan demikian, maka tempat letak gelang iaitu di pergelangan tangan adalah dibolehkan jika tiada fitnah. Tetapi berkenaan batasnya dari pergelangan sampai ke siku, masih diperselisihkan. Seeloknya di jauhi dari mendedahkannya.

Menurut Syeikh Al-Qaradawi juga, ini tidak sama dengan make-up dan cat-cat yang biasa dipakai oleh perempuan-perempuan zaman sekarang untuk memakai gincu dan bedak merah di pipi serta kuku. Make-up ini semua termasuk berlebih-lebihan yang sangat tidak baik, yang tidak boleh dipakai kecuali di dalam rumah. Sebab perempuan-perempuan sekarang memakai itu semua di luar rumah, adalah untuk menarik perhatian laki-laki. Jadi jelas hukumnya adalah haram.

Namun, kiranya sesempurna mungkin seorang muslimah harus bersungguh-sungguh untuk menyembunyikan perhiasannya, termasuk wajahnya itu sendiri kalau mungkin, demi menjaga meluasnya kerusakan dan banyaknya kefasikan di zaman kita sekarang ini. Lebih-lebih kalau perempuan tersebut mempunyai paras yang cantik yang sangat dikawatirkan akan menimbulkan fitnah.

"Dan hendaknya mereka itu tidak menampak-nampakkan aurat dan perhiasannya kecuali terhadap suami atau ayahnya." (an-Nur: 31)

Kesemua jenis berpakaian yang disebut tadi adalah diharamkan secara sepakat seluruh Ulama Islam. Pengarahan ini tertuju kepada perempuan-perempuan mu'minah, dimana mereka dilarang keras membuka atau menampakkan perhiasannya yang seharusnya disembunyikan, misalnya: perhiasan telinga (anting-anting), perhiasan rambut (sanggul); perhiasan leher (rantai), perhiasan dada (belahan dadanya) dan perhiasan kaki (betis dan gelang kaki). Semuanya ini tidak boleh dinampakkan kepada laki-laki lain. Mereka hanya boleh melihat muka dan kedua tapak tangan yang memang ada rukhsah untuk dinampakkan.

Amat jelas dari dalil al-Quran dan al-Hadith bahawa Islam mengharamkan perempuan memakai pakaian yang membentuk dan nipis sehingga nampak kulitnya. Termasuk diantaranya ialah pakaian yang dapat menampakkan bahagian-bahagian tubuh, khususnya tempat-tempat yang membawa fitnah, seperti: buah dada, paha, dan sebagainya.
Dalam hadisnya yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Ada dua golongan dari ahli neraka yang belum pernah saya lihat keduanya itu: (l) Kaum yang membawa cambuk seperti ekor sapi yang mereka pakai buat memukul orang (penguasa yang kejam); (2) Perempuan-perempuan yang berpakaian tetapi telanjang, yang cenderung kepada perbuatan maksiat dan mencenderungkan orang lain kepada perbuatan maksiat, rambutnya sebesar punuk unta. Mereka ini tidak akan boleh masuk syurga, serta tidak dapat akan mencium bau syurga, padahal bau syurga itu tercium sejauh perjalanan demikian dan demikian." (Riwayat Muslim)

Mereka dikatakan berpakaian, karena memang mereka itu melilitkan pakaian pada tubuhnya, tetapi pada hakikatnya pakaiannya itu tidak berfungsi menutup aurat, karena itu mereka dikatakan telanjang, karena pakaiannya terlalu tipis sehingga dapat memperlihatkan kulit tubuh, seperti kebanyakan pakaian perempuan sekarang ini. ( Al-Halal Wal Haram Fil Islam, Dr Yusof Al-Qaradawi)

‘Bukhtun' adalah salah satu macam daripada unta yang mempunyai kelasa (punuk) besar; rambut orang-orang perempuan seperti punuk unta tersebut karena rambutnya ditarik ke atas.
Disebalik keghaiban ini, seolah-olah Rasulullah melihat apa yang terjadi di zaman sekarang ini yang kini diwujudkan dalam bentuk dandanan rambut, dengan pelbagai macam bentuk dalam salon-salon kecantikan, lebih parah pula apabila kaum lelaki pula yang bekerja di salon seperti ini

Larangan Nipis

Saidatina Aisyah r.a meriwayatkan, saudaranya iaitu Asma' binti Abubakar pernah masuk di rumah Nabi dengan berpakaian jarang sehingga tampak kulitnya. Kemudian baginda SAW berpaling dan mengatakan:

"Hai Asma'! Sesungguhnya seorang perempuan apabila sudah haidh (cukup umurnya), tidak patut diperlihatkan tubuhnya itu, melainkan ini dan ini -- sambil ia menunjuk muka dan dua tapak tangannya." (Riwayat Abu Daud)

Walaupun terdapat perawi lemah dari hadis, tetapi diperkuat dengan hadis-hadis lain yang membolehkan melihat muka dan dua tapak tangan ketika diyakini tidak akan membawa fitnah.

Dr Yusof Al-Qaradawi menegaskan bahawa melihat secara normal kepada wanita atau lelaki, kepada selain aurat, selama tidak dilakukan dengan syahwat dan berulang-ulang, hukumnya adalah halal. (Al-Halal Wal Haram Fil Islam)

KESALAHAN KESEMBILAN : Bertudung tetapi menaiki motor sambil menayangkan betis
sepanjang jalan.

Diriwayatkan dalam sebuah Hadith :-

Allah sentiasa merahmati para wanita yang memakai seluar panjang (di sebelah dalamnya) (Riwayat Al-‘Uqayli, Dar Qutni dari Abu Hurairah, Musannaf Abd
Razak, no 5043; Kanzul Ummal, no 41245) .

Menurut Imam Mujahid, hadith ini berlaku di satu ketika ada seorang wanita jatuh dari kenderaannya sehingga terselak kainnya di hadapan Nabi dan para sahabat, maka dengan segera Nabi SAW memalingkan wajahnya, maka para sahabat berkata dia (wanita itu) memakai seluar. Lalu sebagai respond Rasulllah SAW memuji dan menyebut hadith di atas. ( Al-Bayan wa At-Ta'rif, Ibn Hamzah al-Husyani, 3/ 252, no 1831)

Berdasarkan dalil ini juga, bermakna Allah sentiasa melaknati wanita yang tiadk berseluar panjang (di sebelah dalamnya) semasa naik kenderaan. Demikian menurut kaedah Mafhum Mukhalafah di dalam ilmu Usul Fiqh.

KESALAHAN KESEPULUH : Bertudung dan sempurna penutupan aurat tubuhnya tetapi
memanja-manjakan suaranya ketika berinteraksi dengan lelaki.
Samada menyanyi mahupun bernasyid. Tiada dakwah yag
sesuai buat wanita menerusi nyanyian kerana sesaat sahaj ia
berada di atas pentas dengan pakaian canggihnya, seribu
mata lelaki yang memandangnya..kita tidak tahu dimanakah
mata lelaki itu memandang. Suaranya yang merdu juga
membuatkan lelaki yang rosak hatinya akan dibuai nafsu,
walaupun penasyid wanita itu sedang mendendangkan lagu
ketuhanan.

Larangan ini datang dari Firman Allah SWT :
"Janganlah perempuan-perempuan itu berlaku lemah dengan perkataannya, sebab akan menaruh harapan orang yang dalam hatinya ada penyakit." (al-Ahzab: 32)