Jul 30, 2008

Puasa Bulan Sya'baan

Oleh: Sheikh Muhammad b Salih al-‘Uthaymin

Diriwayatkan oleh A’ishah: “Aku tidak pernah melihat Rasulullah SAW berpuasa keseluruhan bulan kecuali pada bulan Ramadhan. Aku tidak pernah melihat baginda berpuasa dengan kerap di dalam bulan-bulan lain melainkan bulan Sha’ban.”

[Sahih al-BUkhari (1969) dan Sahih Muslim (1156)]

Hadith ini menekankan bahawa adalah Sunnah untuk kerap berpuasa di dalam bulan Sha’ban. Sha’ban adalah satu bulan yang perlu kita pilih untuk melakukan lebih banyak puasa sunat.Berpuasa pada hari-hari di dalam bulan Sha’ban adalah Sunnah.


A’ishah juga berkata: “Baginda sering berpuasa keseluruhan bulan Sha’ban”

[Sahih al-Bukhari (1970)]

Dia juga berkata: “Baginda sering berpuasa di dalam Bulan Sha’ban kecuali beberapa hari di dalamnya.”
[Sahih Muslim]

Usamah b Zayd berkata:Rasulullah SAW tidak pernah berpuasa dengan lebih kerap seperti yang baginda lakukan di dalam bulan Sha’ban.Aku bertanya mengapa Baginda berbuat demikian, dan Baginda menjawab: “Ini adalah bulan yang orang tinggalkan di antara bulan Rajab dan bulan Ramadhan. Sedangkan inilah bulan dimana amalan diangkat kepada Tuhan seluruh Alam, dan aku suka supaya amalan aku diangkat ketika aku sedang berpuasa.”

[Hadith ini diriwayatkan di dalam Musnad Ahmad (21735) dan Sunan al-Nasa’i (2357). Ibn Muflih berkata tentangnya di dalam al-Furu’ (3/120): “Ia mempunyai sanad yang baik”]
Menentukan 15 Sha’ban untuk berpuasa

Bukti yang dibawakan di atas adalah benar untuk keseluruhan bulan. Tidak ada hari atau-hari-hari tertentu di dalam bulan Sha’ban yang digalakkan secara khusus untuk berpuasa. Tidak ada kelebihan tertentu untuk berpuasa pada hari yang ke-15 bulan Sha’ban.

Terdapat satu hadith yang lemah berbunyi:

“Apabila pertengahan Sha’ban tiba, dirikanlah solat keseluruhan malam dan berpuasa keesokan harinya, kerana sesungguhnya Allah turun ke langit dunia pada malam tersebut dan pada waktu terbenam matahari mengumumkan: ‘Adakah sesiapa yang memohon keampunanKu supaya Aku ampunkan? Adakah sesiapa yang memohon kecukupan dariKu supaya Aku cukupkan? Adakah sesiapa yang menghadapi kesukaran agar Aku dapat ringankan?? ...’ dan Dia terus bertanya sehingga terbit fajar.”
[Sunan Ibn Majah (1388)]

Penulis al-Manar telah memastikan bahawa hadith ini bukan sahaja lemah, malah direka. Beliau berkata:adalah hadith ini rekaan. Pada isnadnya terdapat Abu Bakr b ‘Abd Allah b. Muhammad, yang lebih dikenali sebagai Ibn Abi Sabrah.

Ahmad b Hanbal dan Yahya b Ma’in telah mendedahkan bahawa beliau adalah pereka hadith.

[Juga rujuk: Majmu’ al-Fatawa (5/266)]

Oleh kerana amalan mengkhususkan 15 Sha’ban untuk berpuasa tidak dapat dibuktikan dari mana-mana hadith yang sohih, maka ia adalah amalan yang tiada asasnya. Semua ulama’ sepakat bahawa hadith yang lemah dan direka-cipta tidak boleh dijadikan hujjah untuk amalan Ibadah.

Satu pengecualian kepada keadaan ini adalah apabila terdapat kes di mana hadith yang lemah mempunyai sokongan dari banyak jalan periwayatan yang lain sehingga menguatkannya ke tahap yang lebih baik. Dalam kes ini, ia boleh digunakan sebagai hujjah untuk melakukan amalan Ibadah asalkan ia tidak bercanggah dengan hadith yang lebih kuat.

Maka, menjadi suatu innovasi didalam beribadah (bid’ah) apabila mengkhususkan hari tertentu untuk berpuasa, kerana mana-mana perbuatan ibadah yang tidak mempunyai hujjah dari Sunnah adalah bid’ah didalam agama.

Ini tidak bermakna kita perlu mengelakkan diri dari berpuasa pada 15 Sha’ban. Ia seperti hari-hari lain di dalam bulan Sha’ban dan keumuman hadith yang menggalakkan berpuasa di dalam bulan Sha’ban adalah untuk kesemua hari di dalamnya. Apa yang salah adalah mempunyai niat untuk mengkhususkan hari tersebut (15 Sha’ban) untuk berpuasa.


Wallahu’alam.

Sumber asal : http://www.islamtoday.com

Wajarkah Dikaitkan Kelebihan Rejab Dengan Peristiwa Isra' dan Mi`raj?

Written by : al-Ustaz Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Date : Wednesday, 08 August 2007

KELEBIHAN REJAB YANG DIADA-ADAKAN

Sebahagian para penceramah agama yang kurang berhati-hati selalu mengaitkan kelebihan bulan rejab dengan peristiwa mu`jizat Isra dan mi`raj. Apa yang perlu difahami ialah tarikh sebenar berlakunya peristiwa hebat itu masih lagi menjadi perselisihan di kalangan ulama.

Ada yang berpendapat ia berlaku sebelum menjadi Nabi. Ia merupakan pendapat yang janggal. Majoriti ulama berpendapat ianya selepas menjadi Nabi. Ia diperkuatkan oleh banyak hadis yang sahih. Seterusnya mereka berbeza pendapat lagi tentang tahun kejadian selepas kebangkitan Nabi sebagai Nabi samada tahun ke 13, 12, 10 atau ke 8 Kenabian. Begitu juga bulan samada bulan Safar, Rabi`ul Awal, Rabi`ul Akhir, Rejab, Sya`ban, Ramadhan, Syawal atau Zulhijjah.

1. Menurut Ibn Sa`ad dan Nawawi serta Ibn Hazim ia berlaku setahun sebelum hijrah. Hijrah berlaku pada akhir Safar dan Awal Rabi`ul Awal. Ini bererti peristiwa ini berlaku pada bulan Safar atau Rabi`ul Awal.

2. Menurut Ibn Jauzi, 8 bulan sebelum hijrah. Ia bererti pada bulan Rejab.

3. Menurut Abu al-Rabi` bin Sali, 6 bulan sebelum Hijrah. Ia bererti pada bulan Ramadhan

4. Menurut Ibrahim al-Harbi, dan ditarjihkan oleh Ibn al-Munir dalam Syrah al-Sirah oleh Ibn `Abd al-Barr, ia berlaku 11 bulan sebelum hijrah iaitu pada bulan Rabi`ul Akhir

5. Menurut Ibn `Abd al-Barr, Ia berlaku 13 bulan sebelum hijrah. Ia bererti pada bulan Safar.

6. Menurut Ibn Faris, ia berlaku 15 bulan sebelum hijrah. Ia bererti pada bulan Zulhijjah.

7. Menurut al-Sudiy sebagaimana diriwayatkan oleh Tabari dan Baihaqi dan di pegang oleh al-Waqidi, 17 bulan sebelum Hijrah. Ia bererti ia berlaku pada bulan Syawal

8. Menurut Ibn Qutaibah dan dihikayatkan oleh Ibn `Abd al-Barr serta disebut oleh Ibn Sa`ad daripada Ibn Abi Sirah, ia berlaku 18 bulan sebelum hijrah iaitu pada bulan Ramadhan

9. Menurut riwayat Ibn `Abd al-Barr dan dipegang oleh Nawawi dalam al-Raudah, ia berlaku pada bulan Rejab

10. Menurut riwayat Ibn al-Athir, ia berlaku 3 tahun sebelum hijrah.

11. Menurut riwayat `Iyad dan dituruti oleh Qurtubi dan Nawawi daripada al-Zuhri, ia berlaku 5 tahun sebelum hijrah. `Iyad berhujah bahawa tiada perselisihan lagi bahawa Khadijah pernah solat bersama baginda saw selepas kefarduan Solat diturunkan. Juga tiada yang berselisih bahawa Khadjah mati sebelum hijrah samada 3 tahun atau 5 tahun sebelum hijrah. Tiada perselisihan juga bahawa kefarduan solat berlaku pada malam Isra’. Namun, hujahnya boleh diteliti kembali kerana menurut al-`Askari Khadijah mati 7 tahun sebelum hijrah. Ada pendapat menyatakan 4 tahun sebelum hijrah. Ibn al-A`rabi menyatakan beliau mati tahun berlakunya hijrah.

Benar, kita memang selalu membicarakan peristiwa ini bila tibanya bulan Rejab, namun ia tidak menjadi alasan mewajarkan kita mengaitkannya dengan kelebihan bulan Rejab. Menjelaskan kelebihan sesebuah bulan mestilah berasaskan ketentuan yang jelas daripada al-Qur’an atau Hadis. Kelebihan Rejab tidak dapat dinafikan kerana ia merupakan sebahagian daripada bulan-bulan haram yang dimuliakan sepertimana firman Allah :


إِنَّ عِدَّةَ الشُّهُورِ عِنْدَ اللَّهِ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا فِي كِتَابِ اللَّهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ

Bermaksud: “Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. “
(al-Taubah 9: 36)

Ulama sepakat bahawa bulan haram yang dimaksudkan oleh al-Qur’an ini ialah bulan zulkaedah, zulhijjah, muharram dan rejab sebagaimana sabit penjelasannya dalam hadis Sahih Bukhari.

(Rujuk juga TafsirQurtubi dan Ibn Kathir)

Cukuplah kita menyatakan: Rejab adalah bulan yang dimuliakan dalam islam, dan janganlah kita kaitakan pula dengan peristiwa Isra’ dan mi`raj.

Sumber : www.darulfuqaha.com