Dec 29, 2008

MAAL HIJRAH, PERSIAPAN ATAU MASIH LAGI DI TAKUK LAMA ?

Salam Maal Hijrah 1430H. Bercakap mengenai Maal Hijrah, kenapa yer sebenarnyer kita menyambut Maal Hijrah? =) Yer, pastinya hari ini adalah TAHUN BARU bagi seluruh umat Islam, tak kira di mana jua saudara-saudara seIslam kita berada..=) Pastinya semuanya menyambut Tahun Baru Islam ini…


Jika, New Year disambut dengan meriah, siap ‘countdown’ lagik, ade konsert la, macam2 lagik la.. Napa tidaknya kita meraikan Tahun Baru Islam ini.. Seharusnya, tahun baru Islam ni disambut dengan lebih meriah, kerana apa? Kerana kita adalah ORANG YANG MENGANUTI AGAMA ISLAM, seharusnya permulaan tahun baru Islam diraikan lebih dari tahun baru kalender inggeris. Tapi bagaimana yer, nak sambut Tahun Baru Islam nih? Adakah dengan berparti, berconcert, menari2 dan benda2 yang x dianjurkan oleh Islam? (Ni kena Tanya gi mana sebenornyer sambutan Maal Hijrah dari segi Quran & Sunnah.. Ni xdapat den nak menjawab, sobabnya den pun tidak tahu, kita jangan bercakap benda yang kita tak tahukan…=) AMARAN!!!!! adalah lebih baik kita berdiam dari kita mereka satu2 amalan ibadah yang tidak ada dalam agama.Dibawah artikel yang dianjurkan untuk dibaca mengenai amalan sunnah dan amalan yang diadakan dalam agama pada bulan muharram tulisan akhi Mohd Yaakub bin Mohd Yunus.

- Amalan sunnah dan amalan yang diadakan dalam agama pada bulan Muharram


Haa…dalam sedar ataupun tidak, masa silih berganti, dari hari bertukar minggu, dari minggu bertukar bulan, dari bulan bertukar tahun…sekarang dah 1430 H dah..=) dari satu alam, kita melangkah ke satu alam yang lain…dari alam ruh di dalam perut ibu, kita melangkah ke alam bayi, dari alam kanak2, beralih ke alam persekolahan, dari alam pembelajaran, ke alam perkahwinan, dari alam perkahwinan ke alam keibubapaan, dari alam keibubapaan kepada alam atuk nenek, and seterusnya alam kubur…


HA! Kubur??? BILA SEBUT SOAL KUBUR NIH, BARU LA TERINGAT, RUPA2NYA, AJAL TAK MENGENAL SIAPA KAN ? TUL X? DIA TAK KIRA MANA KITA BERADA KAN ? TAK KIRA USIA KAN ? TAK KIRA AWAK TU DATUK KER, DATIN KER, PM KER, SAPA-SAPA JERLA… SOALNYA, adakah kita sudah bersiap sedia menemui Kekasih kita yang AMAT KITA SAYANGI, YANG AMAT KITA RINDUI DAN AMAT KITA HARAPKAN??? Semestinya ALLAH azza wajalla.


Ha, bilanyer masa sudah cepat berlalu, pastinya perjalanan kehidupan ini amat singkat kan ? Cuba kita renungkan, adakah perjalanan yang sukar ni membuatkan kita semakin berhati2 atau kita semakin kita tidak peduli ketika meniti hari menghabiskan usia kita..


Sempena tahun baru Islam ini, marilah kita sama2 berazam untuk mempertingkatkan KUALITI kita sebagai insan yang memegang ‘title’ ISLAM!!! Dan ingatlah tujuan asal kita dihidupkan. Kita tidak terjadinya dengan sendiri, pastinya, kita mempunyai tuhan yang menjadikan kita, n tugas kita, mengabdikan diri kepadanya, camna? Senang aja, ‘BUAT APA YANG ALLAH SURUH DAN TINGGAL APA YANG DILARANG’ Dengar cam senangkan, tapi praktikalnya…=) pandai2lah sendiri awak pikir yer..=)


JIKA KITA PELIHARA APA YANG ALLAH SURUH DAN LARANG, YAKINLAH, PASTINYA ALLAH AKAN MENJAGA KITA…


Mari kita muhasabah kembali, apa yang telah kita lakukan untuk tahun2 sebelum ini. Pabila kita mengenangkan dosa2 yang lalu, bukanlah untuk kita hanya berfikir tanpa melakukan sesuatu.. namun, untuk kita belajar dari kesilapan yang lalu and terus bangun menghadapi cabaran baru…. Allah did not promise that life would be easy, but He did promise that, He would be with you in every single step of your life as long as you want Him to…..=) Terkadang kita sebagai manusia, semestinya ada melakukan kesilapan dan lalai menghindarkan diri dari perkara2 larangan Allah, Namun, ingatlah, pengampunan Allah sangat luas.Allah berfirman di bawah :


Katakanlah: Wahai hamba- hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.


(al-Zumar ayat 53)


Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang aku, Maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, Maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.

(al -Baqarah : 186)

Bahkan dalam sebuah hadis kudsi,

Allah berfirman: Wahai anak-anak Adam, selagi mana engkau memohon dan mengharapkan dari-Ku, Aku ampunkan engkau walau apapun dosamu, Aku tidak peduli. Wahai anak-anak Adam, jika dosamu sampai ke puncak langit, lalu engkau pohon keampunan dari-Ku, Aku ampunkan engkau, aku tidak peduli. Wahai anak-anak Adam, engkau jika datang kepada-Ku dengan dosa yang hampir memenuhi bumi, namun engkau menemui-Ku tanpa mensyirikkan Daku dengan sesuatu, nescaya aku datang kepadamu dengan penuh keampunan.

(Riwayat al-Tirmizi, dinilai hasan oleh al-Albani).


Selamat Tahun Baru kepada semua umat Islam. Renung2kan dan selamat beramal! =)

" JIKA DUNIA INI PERSINGGAHAN, MENGAPA TIDAK KITA BANYAKKAN BEKALAN UNTUK MENERUSKAN PERJALANAN?.......


KERANA KITA CUMA ADA SATU PERSINGGAHAN...... CHAIYUK2!!!=)



Siti Nursyuhada binti Mohamad Salleh
Optometrist, Adventist Vision Centre


Dec 24, 2008

Berkenaan Hukum Mengucapkan Merry Christmas.

PC230060 by hazlinarahmat.
Penulis : Kapten Hafiz Firdaus
Sumber : http://www.hafizfirdaus.com/

Apabila penulis menaip “Why do we celebrate Christmas” di enjin carian internet www.google.com, hasil penemuan pertama yang dikemukakan menyebut:

Why do we celebrate Christmas? It is Jesus' birthday! His mommy was Mary and His earthy Father was Joseph. His real Father is God and Jesus was God's gift to all of us!

Christmas is the celebration of the birth of Jesus. Christians decided to celebrate this day many years after He was born. December 25 was picked as this day, even though it probably is not the exact day He was born. That is not as important as the reason we celebrate Christmas. Jesus is the reason for the season. The season is not just to receive gifts, get time off from school or eat a lot of good stuff. Remember that Jesus was born for us...to take away our sins...so that we can be forgiven of the bad things we do forever. This is the greatest gift of all! [www.godschildrenscorner.com]


Jelas Christmas Day adalah sambutan bersempena dua perkara, pertama: Jesus sebagai anak Allah dan kedua: pengorbanan Jesus oleh Allah sendiri demi menghapuskan dosa-dosa manusia. Adalah memadai dalam artikel ini kita memberi tumpuan kepada yang pertama sahaja, iaitu Jesus sebagai anak Allah.

Apakah pandangan Islam tentang dakwaan Allah memiliki anak? Jawapannya boleh diperolehi secara jelas daripada al-Qur’an.


Pertama, Allah adalah Tuhan yang bebas daripada diperanakkan atau memiliki anak. Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:

Katakanlah: “(Tuhanku) ialah Allah Yang Satu, Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat, Allah tidak beranak dan tidak diperanakkan, Dan tidak ada sesiapapun yang serupa dengan-Nya".

[al-Ikhlas 112:1-4]


Kedua, mengatakan Allah memiliki anak adalah satu kesalahan yang amat berat:

Dan mereka berkata: “(Allah) Ar-Rahman, mempunyai anak.”

Demi sesungguhnya, kamu telah melakukan satu perkara yang besar salahnya! Langit nyaris-nyaris pecah disebabkan (anggapan mereka) yang demikian dan bumi pula nyaris-nyaris terbelah serta gunung-ganang pun nyaris-nyaris runtuh ranap kerana mereka mendakwa mengatakan: (Allah) Ar-Rahman mempunyai anak. Padahal tiadalah layak bagi (Allah) Ar-Rahman, bahawa Dia mempunyai anak. [Maryam 19:88-92]


Ketiga, dakwaan Allah memiliki anak adalah sebahagian daripada kepercayaan Trinity yang dipegang oleh orang-orang Kristian. Kepercayaan Trinity bermaksud Allah adalah tiga sekalipun satu, iaitu (1) The Father, (2) The Son and (3) The Holy Spirit. Ini adalah satu kesalahan yang telah dinyatakan oleh al-Qur’an sejak lebih 1400 tahun yang lalu:

Wahai Ahli kitab (Yahudi dan Nasrani)! Janganlah kamu melampaui batas dalam perkara agama kamu dan janganlah kamu mengatakan sesuatu terhadap Allah melainkan yang benar.

Sesungguhnya al-Masih Isa ibni Maryam (Jesus) hanya seorang pesuruh Allah dan Kalimah Allah yang telah disampaikan-Nya kepada Maryam dan (merupakan tiupan) roh daripada-Nya. Maka berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-rasul-Nya dan janganlah kamu mengatakan: "(Tuhan itu) tiga (Trinity)".

Berhentilah (daripada mengatakan yang demikian) supaya menjadi kebaikan bagi kamu. Hanyasanya Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa, Maha Suci Allah daripada mempunyai anak. Bagi Allah jualah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Dan cukuplah menjadi Pengawal (Yang Mentadbirkan sekalian makhlukNya). [an-Nisa’ 4:171]


Keempat, apabila orang-orang Kristian enggan berhenti daripada kepercayaan Trinity mereka sebagaimana yang dilarang oleh ayat 171 surah an-Nisa’ di atas, Allah Subhanahu wa Ta‘ala menghukum mereka kafir:

Demi sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata: “Bahawasanya Allah ialah salah satu dari tiga tuhan.” Padahal tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Tuhan yang Maha Esa. Dan jika mereka tidak berhenti dari apa yang mereka katakan itu, sudah tentu orang-orang yang kafir dari antara mereka akan dikenakan azab seksa yang tidak terperi sakitnya. [al-Maidah 5:73]


Ayat-ayat al-Qur’an di atas tidaklah bersifat samar-samar dalam menyatakan kesalahan mendakwa Allah memiliki anak. Pengkhususan diberikan kepada kepercayaan agama Kristian yang mendakwa Jesus adalah anak Allah. Jesus sebagai anak Allah adalah salah satu unsur Trinity. Berpegang kepada kepercayaan sebegini adalah satu kekafiran yang tidak diragukan lagi.

Alhamdulillah umat Islam bebas daripada kepercayaan Allah memiliki anak dan Trinity. Akan tetapi umat Islam tidak sahaja dituntut untuk menjauhi kepercayaan sedemikian tetapi juga dilarang daripada membantu atau menyokongnya. Ini kerana di dalam Islam, apabila sesuatu perkara itu adalah salah maka kita bukan sahaja dituntut untuk menjauhi kesalahan tersebut tetapi juga dilarang daripada membantu dan menyokong kesalahan itu. Allah 'Azza wa Jalla berfirman:


Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. [al-Maidah 5:02]


Termasuk dalam keumuman perintah “…bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan…” ialah membetulkan kepercayaan orang-orang Kristian. Hal ini kita lakukan bukan dengan menzalimi mereka tetapi dengan dakwah dan dialog dengan cara yang

terbaik, yakni dengan ilmu dan hikmah. Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:

Dan janganlah kamu berbahas dengan Ahli Kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, melainkan kepada orang-orang yang berlaku zalim di antara mereka. Dan katakanlah (kepada mereka yang zalim): “Kami beriman kepada (Al-Quran) yang diturunkan kepada kami dan kepada (Taurat dan Injil) yang diturunkan kepada kamu; dan Tuhan kami, juga Tuhan kamu, adalah Satu. Dan kepada-Nyalah kami patuh dengan berserah diri." [al-Ankabut 29:46]


Termasuk dalam keumuman perintah “…janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa…” ialah jangan kita membantu dan menyokong kepercayaan orang-orang Kristian. Di antaranya ialah jangan diucapkan: “Merry Christmas” kerana dengan ucapan ini atau apa-apa yang seumpama, kita mengiktiraf kepercayaan mereka dan memberi ucapan tahniah untuk mereka meneruskan kepercayaan tersebut. Ini dilarang dan amat bertentangan dengan apa yang sebenarnya dituntut ke atas kita.

Adapun tindakan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam yang menghormati dan berbuat baik kepada sebahagian kaum Ahli Kitab, yakni orang-orang Yahudi dan Nasrani, ia adalah tindakan yang menafsirkan firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:


Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu) dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. [al-Mumtahanah 60:08]


Akan tetapi menghormati dan berbuat baik kepada orang bukan Islam, dalam kes ini orang-orang Kristian, tidaklah sampai ke tahap membenarkan dan membantu kepercayaan mereka yang syirik kepada Allah. Sebagai contoh, apabila memerintahkan anak-anak berbuat baik kepada ibubapa, Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:


Dan jika mereka berdua (ibubapa) mendesak kamu supaya mempersekutukan dengan-Ku sesuatu yang engkau tidak mengetahui sungguh adanya, maka janganlah engkau taat kepada mereka. Dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik. [Luqman 31:15]


Jelas bahawa berbuat baik tersebut adalah dengan syarat ia tidak melibatkan apa-apa yang bersifat syirik kepada Allah. Jika melibatkan syirik maka tidak ada ketaatan. Namun sekalipun dalam suasana syirik tersebut, anak-anak tetap dituntut bergaul dengan ibubapa mereka dengan cara yang baik.

Justeru kita memang dituntut berbuat baik kepada orang-orang bukan Islam. Akan tetapi tuntutan ini tidaklah ke tahap kita melakukan syirik kepada Allah atau kita mengiktiraf dan membantu orang bukan Islam melakukan syirik kepada Allah. Hal ini perlu dibezakan dengan baik. Perhatikan bahawa sekalipun Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menghormati dan berbuat baik kepada sebahagian kaum Ahli Kitab, baginda tidak sekali-kali memberi ucapan tahniah dan menyertai perayaan keagamaan mereka.

Timbul persoalan seterusnya, bagaimana seharusnya sikap kita kepada majikan, guru, rakan-rakan, jiran-jiran dan ahli keluarga kita yang menyambut Christmas Day? Untuk menjawab persoalan ini, penulis ingin mengajak para pembaca sekalian melakukan satu anjakan paradigma. Sedar atau tidak, kita umat Islam apabila menghadapi sesuatu persoalan seringkali akan cuba mengubahsuai agama Islam supaya selari dengan persoalan tersebut. Kenapa tidak dilakukan yang sebaliknya, iaitu mengubahsuai persoalan supaya selari dengan agama Islam? Sudah sampai masanya Islam dan umatnya menjadi pemimpin, bukan asyik dipimpin.

Dalam kes ini, sikap kita terhadap orang-orang Kristian yang berkaitan ialah menerangkan kepada mereka bahawa kita menghormati kepercayaan yang mereka pilih. Akan tetapi tidaklah bererti kita mengiktiraf dan menyertai perayaan keagamaan mereka kerana ia bertentangan dengan prinsip agama kita sendiri. Melalui penerangan yang berhikmah dan ilmiah, pasti mudah untuk orang-orang Kristian menerimanya. Malah mungkin ia dapat membuka ruang dakwah untuk kita membetulkan kepercayaan Trinity yang mereka pegangi.

Sudah tentu bahawa penjelasan dalam dua perenggan terakhir di atas adalah berdasarkan kemampuan setiap individu. Jika seseorang tersepit dalam suasana yang menekan, maka dibolehkan baginya mengucapkan Merry Christmas sebagai pilihan yang terakhir. Allah sebagai tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Pengampun mengetahui apabila seseorang hambanya terpaksa melakukan satu perkara yang tidak diingininya.

Perkara lain yang perlu digariskan adalah, tidak mengucapkan Merry Christmas tidak bererti akan menyebabkan perpecahan di kalangan rakyat Malaysia. Ini kerana perpaduan rakyat bukan bererti persatuan agama tetapi saling menghormati ajaran agama masing-masing.[1]

Menghormati ajaran agama masing-masing bukanlah bermaksud kita umat Islam perlu mengalah kepada orang Kristian dengan mengucapkan Merry Christmas kepada mereka, tetapi dengan orang Kristian sendiri yang mengalah kepada umat Islam dengan menghormati kenapa ajaran Islam melarang umatnya daripada mengucapkan Merry Christmas.


................................................................................................................................................................

[1] Perlu dibezakan bahawa “menghormati ajaran agama masing-masing” tidaklah bererti kita boleh menjadikan umat beragama lain sebagai Wali. Kedua, ia tidak bererti kita boleh meninggalkan kewajipan untuk berdakwah kepada mereka. Lebih lanjut rujuk risalah penulis: Kerukunan Antara Agama, Bukan Kesamaan Antara Agama yang dimuatkan dalam buku Himpunan Risalah Dalam Beberapa Persoalan Ummah – Buku 2 (Jahabersa, Johor Bahru 2005).

Senyumlah............

Dec 23, 2008

Cara Betul Jaga Mata

  • Bila ada sesuatu memasuki mata, jangan hentam gosok mata untuk keluarkan bendasing tu. Cara yang betul adalah kelip mata dalam air yang sejuk. Jgn la pulak terguna air panas ek karang tak pepasal aje…
  • Jangan genyeh kulit bawah mata sbb bahagian ni sangat lembut dan mudah tercedera. So, nnt kalau luka macam mana? Kalau luka, potensi untuk kuman merebak di bahagian berkenaan sangat tinggi jadi elakkan la dari mencederakan mata sendiri
  • Perasan tak lagi kita genyeh mata lagi gatal mata kita rasa. Sebenarnya kalau mata kita gatal biasanya disebablan oleh kekurangan air mata ataupun alahan. Kurang air mata ni kadang sebab kita jarang berkelip. Asyik sangat mengadap computer, kita tak berkelip sama gak dgn tgk TV, atau lain2 kerja menumpu. Alahan pulak mcm org resdung kan, kalau alergi dgn makanan laut aduila bukan main lagik gatalnya tu… so, jgn gosok mata dgn jari atau tisu kering tapi gunakan kain yang sesuai yang telah dibasahkan dgn air hangat dan tuam atas kelopak mata yang tertutup
  • Elakkan dari menggunakan terlalu banyak ubat titis mata nnt kita jadi terlalu bergantung pada benda mcm tu. Seeloknya dapatkan nasihat doctor sblm mengambil apa2 dos untuk mata.
  • Mata akan terasa penat dan tegang kalau terlalu lama buat kerja menumpu, atau sbb spek tak cukup power, pencemaran persekitaran. Tanda2 nya adalah kita sukar utk focus pada satu2 objek. So, seeloknya kita amik masa 10 minit ke, dok dlm bilik gelap dan amik kepingan timun dan letak atas kelopak mata yang ditutup dan rehat. Sambil2 boleh rehat otak kan? Kalau tertidur laaaagi best

Dec 19, 2008

Dec 17, 2008

RTM gam lagu puisi Dr Asri ‘Aku Bukan Musuh Harta’?

Lagu Aku Bukan Musuh Harta


Sumber : Minda Tajdid
Sumber Asal : Mstar Online

Tiada angin, tiada ribut, tiba-tiba saja ‘Aku Bukan Musuh Harta’, lagu dari nukilan puisi Dr Asri Zainul Abidin yang juga bekas Mufti Perlis tidak mendapat kelulusan dari pihak RTM untuk siaran.

Hal ini telah dimaklumkan oleh pihak pegawai perhubungan RTM kepada penerbit album Xifu Nasir semalam.

Lagu ‘Aku Bukan Musuh Harta’ yang dinyanyikan oleh kumpulan Kopratasa difahamkan tidak mendapat kelulusan kerana liriknya.

Xifu berkata, beliau sendiri tidak diberitahu secara khusus dan terperinci kenapa lagu itu tidak lulus.

“Mereka cuma memberitahu kerana masalah lirik sahaja,”jelas Xifu Nasir.

Menurut beliau, hanya stesen RTM saja yang tidak meluluskan lagu ini sedangkan di stesen lain sudahpun mendapat kelulusan sepenuhnya.

Lagu ini merupakan salah satu dari 8 buah lagu puisi Dr Asri yang dimuatkan di dalam album ‘Yang Benar Tetap Benar.’

Selain lagu ‘Aku Bukan Musuh Harta’, lagu title track ‘Yang Benar Tetap Benar’ juga masih belum lulus sepenuhnya kerana akan disemak semula disebabkan ahli panel tidak berapa arif tentang perkataan ‘makar’ yang digunakan dalam puisi tersebut.(’Makar’ adalah kalimah Arab dari Al Quran).

Ketika dihubungi hari ini, Dr Asri melahirkan rasa kemusykilannya kenapa liriknya digam.

“Saya hairan mengapa lirik saya ‘Aku Bukan Musuh Harta’ digam oleh pihak berkenaan, sedangkan nilai moral dalamnya tinggi, ia tidak ditujukan kepada pihak tertentu, tetapi untuk sesiapa sahaja yang menyalahgunakan harta rakyat dan awam,” jelas beliau dari kediamannya di Lampeter, United Kingdom.

“Dalam negara kita hari ini berbagai parti memiliki kerajaan, lagu tersebut mempunyai pengajaran untuk semua.

“Jangan anda menghalang sesuatu ungkapan umum atau pengajaran am yang akhirnya orang lain akan menuduh bahawa andalah orang khusus dari yang umum atau am itu,” kata Dr Asri yang kini berada di UK untuk tempoh setahun bagi cuti sabatikalnya.

Katanya lagi,”Saya menulis lirik itu untuk mengingatkan sesiapa sahaja yang berurusan dengan harta awam dan rakyat. Apa ertinya perjuangan kerajaan menghapuskan rasuah jika lirik seperti itu pun diharamkan.”

Dr Asri, bagaimanapun enggan mengulas lebih lanjut tentang kesukaran pihak panel RTM memahami perkataan ‘makar’ di dalam puisi beliau yang bertajuk ‘Yang Benar Tetap Benar’ itu.

“Semua pihak tahu bahawa saya bukan orang politik, maka ketika saya menulis lirik saya bebas dari kepentingan kerusi atau kepartian. Mereka silap jika bertindak demikian,” kata tokoh agama yang terkenal kerana kelantangannya melontarkan idea tentang apa saja berhubung isu agama, politik, sosial mahupun hiburan.

Lagu-lagu puisi lain yang dimuatkan dalam album yang sudahpun berada di pasaran sejak bulan lepas itu ialah Aku Rela, Biarlah Aku Di Daerah Ini, Derita Hati Seorang Bonda, Islam Di Cina dan Dunia Yang Beredar.

Kesemua lagu telah disampaikan oleh penyanyi Aishah, Kopratasa, Dakmie dan band nasyid pertama di Malaysia iaitu Algebra.

Selain 8 buah lagu ini, album ini juga turut memuatkan puisi yang disampaikan oleh Dr Asri bertajuk, ‘Itulah Politik Namanya’ dan ‘Salah Menduga.’

Gabungan nama-nama besar dalam industri muzik antaranya Dakmie selaku Penerbit, Xifu Nasir, Eddie Marzuki, Adnan Abu Hasan, Zairi Ariffin, Ujang dan lain-lain menjadikan album ini cukup istimewa dan unik.

Album ini juga adalah terbitan dan edaran Nasyeed.Com.

Dec 1, 2008

Mengerjakan Ibadah Korban Menurut Sunnah Rasulullah SAW



Oleh: Mohd Yaakub Mohd Yunus
Sumber: al-fikrah.net

Ulama ahli sunnah wal jamaah telah menetapkan satu kaedah asas dalam menentukan sama ada amal ibadah kita diterima atau ditolak oleh ALLAH. Adalah penting bagi kita untuk benar-benar memahami kaedah asas ini agar kita tidak melakukan amalan yang sia-sia kerana ia tidak diterima ALLAH.

Kaedah yang dimaksudkan oleh penulis adalah amal ibadah tersebut hendaklah dikerjakan semata-mata ikhlas kerana ALLAH dan mengikuti (ittiba’) sunnah Nabi s.a.w.

Firman ALLAH S.W.T:

"DIAlah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu, siapakah antara kamu yang lebih baik amalnya dan DIA Maha Berkuasa (membalas amal kamu) lagi Maha Pengampun (bagi orang-orang yang bertaubat)." - Surah al-Mulk: 2.

Oleh itu, sewajarnya dalam melaksanakan ibadah korban bersempena dengan perayaan Aidiladha ini, kita berusaha sedaya upaya mencontohi sunnah-sunnah Nabi s.a.w seperti berikut:

1. Waktu perlaksanaan ibadah korban.

Menyembelih binatang korban hanya boleh dilaksanakan setelah selesai solat hari raya Aidiladha dan berlanjutan sehingga akhir hari Tasyriq, iaitu tiga hari selepas solat hari raya Aidiladha. Oleh itu, penyembelihan haiwan korban boleh dilaksanakan pada 10, 11, 12 dan 13 Dzulhijjah.

Imam Syafie r.h berkata:

"Waktu menyembelih haiwan korban adalah ketika imam telah selesai solat Aidiladha…Apabila hari-hari Mina telah berlalu (tarikh 11, 12 dan 13 Dzulhijjah), tidak boleh lagi menyembelih korban." – Rujuk Kitab Mukhtasar Kitab al-Umm fi al-Fiqh karya Imam Syafie, edisi terjemahan bertajuk Ringkasan Kitab al-Umm, Peringkas dan peneliti Hussain Abdul Hamid Abu Nashir Nail, Pustaka Azzam, Jakarta (2004), jil. 1, m.s. 737.

Sabda Rasulullah s.a.w:

إِنَّ أَوَّلَ مَا نَبْدَأُ بِهِ فِي يَوْمِنَا هَذَا نُصَلِّي ثُمَّ نَرْجِعُ فَنَنْحَرُ فَمَنْ فَعَلَ ذَلِكَ فَقَدْ أَصَابَ سُنَّتَنَا وَمَنْ ذَبَحَ فَإِنَّمَا هُوَ لَحْمٌ قَدَّمَهُ لأَّهْلِهِ لَيْسَ مِنْ النُّسُكِ فِي شَيْء

Maksudnya:
"Sesungguhnya perkara pertama yang kita mulakan pada hari ini (Aidiladha) ialah kita solat kemudian menyembelih (bintang korban). Oleh itu, sesiapa yang melakukan sebegitu dia telah menepati sunnah kami. Sesiapa yang menyembelih sebelum solat, sesungguhnya sembelihan itu hanyalah menjadi daging untuk diberikan kepada keluarganya (sedekah) bukan termasuk binatang korban." – Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, hadis no: 1961

Sabda Rasulullah s.a.w:

مَنْ ذَبَحَ قَبْلَ الصَّلاَةِ فَلْيُعِدْ

Maksudnya:
"Sesiapa yang menyembelih sebelum dia solat (Aidiladha), dia hendaklah mengulanginya." – Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, hadis no: 5561.

Sabda Rasulullah s.a.w:


كُلُّ أَيَّامِ التَّشْرِيقِ ذَبْحٌ

Maksudnya:
"Seluruh hari-hari Tasyriq merupakan waktu penyembelihan." – Hadis riwayat Ahmad di dalam Musnad Ahmad, hadis no: 16151.


2. Haiwan korban tersebut tidak memiliki kecacatan.

Kita hendaklah pastikan bahawa haiwan yang hendak kita korbankan tersebut adalah dari jenis baka yang baik serta tidak memiliki kecacatan seperti buta, tempang, kurus, tanduk patah, telinga terkoyak, lemah dan penyakit lain.

Sabda Rasulullah s.a.w:

أَرْبَعٌ لاَ تَجُوزُ فِي الأََضَاحِيِّ فَقَالَ الْعَوْرَاءُ بَيِّنٌ عَوَرُهَا وَالْمَرِيضَةُ بَيِّنٌ مَرَضُهَا وَالْعَرْجَاءُ بَيِّنٌ ظَلْعُهَا وَالْكَسِيرُ الَّتِي لاَ تَنْقَى

Maksudnya:
"Empat jenis binatang yang tidak dibolehkan dalam ibadah korban: Buta sebelah matanya yang jelas butanya, sakit yang jelas sakitnya, tempang yang jelas bengkoknya, tidak berdaya berjalan dan yang tidak mempunyai lemak (kurus)." – Hadis riwayat Abu Daud di dalam Sunan Abu Dawud, 2420.


3. Tidak menggunting rambut dan memotong kuku.

Bagi mereka yang ingin melaksanakan ibadah korban, dia tidak boleh menggunting rambut dan memotong kukunya semenjak tarikh 1 Dzulhijjah sehingga dia melaksanakan ibadah korban tersebut.

Sabda Rasulullah s.a.w:

إِذَا رَأَيْتُمْ هِلاَلَ ذِي الْحِجَّةِ وَأَرَادَ أَحَدُكُمْ أَنْ يُضَحِّيَ فَلْيُمْسِكْ عَنْ شَعْرِهِ وَأَظْفَارِهِ

Maksudnya:
"Jika telah masuk sepuluh hari pertama bulan Dzulhijjah dan salah seorang antara kamu semua ingin menyembelih korban, janganlah memotong rambut dan kukunya walau sedikit." – Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, hadis no: 1977.

Larangan memotong rambut ini termasuk juga mencabut mahupun mencukur atau apa-apa cara yang boleh menghilangkan segala jenis rambut dan bulu di badan.

Menurut Imam al-Nawawi r.h:

"Yang dimaksudkan dengan larangan memotong kuku dan rambut adalah larangan menghilangkan kuku dengan memotong, mencabut atau dengan cara lain (secara sengaja). Termasuk juga larangan menghilangkan rambut baik sama ada mencukur, memendek, mencabut, membakar, menggunakan sesuatu untuk menghilangkan rambut dan apa jua cara sama ada pada bulu ketiak, misai, bulu ari-ari, rambut atu bulu-bulu lain di bahagain anggota badan yang lain." – Rujuk Kitab Syarh Muslim karya Imam al-Nawawi, jil. 13, ms. 138-139. Diukil dari kitab Ahkaam al-‘Iedain fis Sunnah al-Muthaharah karya Syeikh ‘Ali bin Hassan al-Halabi al-Atsari, edisi terjemahan dengan tajuk Meneladani Rasulullah Dalam Berhari Raya, Pustaka Imam asy-Syafie, Jakarta (2005), ms. 98.

Bagi mereka yang sengaja mahupun tidak sengaja memotong kuku ataupun rambut sebelum melaksanakan ibadah korban, memadai dia memohon keampunan kepada ALLAH dengan bersungguh-sungguh. Dia tidak dikenakan fidyah (tebusan atau denda).

Ibn Qudamah r.h berkata:

"Jika perkara itu berlaku, dia hendaklah segera beristighfar (memohon ampun) kepada ALLAH. Menurut ijmak tidak ada fidyah sama sekali, baik dilakukan dengan sengaja atau tidak sengaja." – Rujuk Kitab al-Mughni karya Ibn Qudamah, jil. ms. 96. Dinukil dari kitab Ahkaam al-‘Iedain fis Sunnah al-Muthaharah karya Syeikh ‘Ali bin Hassan al-Halabi al-Atsari, ms. 99


4. Seekor unta atau lembu boleh dibahagikan kepada 7 bahagian.

Jabir r.a berkata:

نَحَرْنَا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَامَ الْحُدَيْبِيَةِ الْبَدَنَةَ عَنْ سَبْعَةٍ وَالْبَقَرَةَ عَنْ سَبْعَةٍ

Maksudnya:
"Kami pernah menyembelih (haiwan korban) bersama Rasulullah s.a.w ketika di Hudaibiyah. Seekor unta untuk 7 orang dan menyembelih lembu untuk 7 orang bersama-bersama Rasulullah s.a.w." – Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, hadis no: 1318.


5. Boleh berkorban untuk diri sendiri serta ahli keluarganya.

Seseorang dibenarkan berkorban serta berkongsi pahalanya bagi dirinya sendiri serta bagi pihak keluarganya sekalipun jumlah yang ramai dan hanya dengan seekor kambing atau sebahagian dari tujuh bahagian itu.

Atha’ bin Yassar pernah bertanya kepada Abu Ayyub al-Ansori tentang cara berkorban pada zaman Rasulullah s.a.w. Lalu Abu Ayyub menjawab:

كَانَ الرَّجُلُ يُضَحِّي بِالشَّاةِ عَنْهُ وَعَنْ أَهْلِ بَيْتِهِ فَيَأْكُلُونَ وَيُطْعِمُونَ

Maksudnya:
"Dulu seseorang berkorban seekor kambing untuk dirinya dan keluarganya lalu mereka memakannya dan membahagikannya kepada orang lain." – Hadis riwayat al-Tirmizi di dalam Sunan al-Tirmizi, hadis no: 1425.


6. Ibadah korban dilaksanakan di musolla.

Menurut sunnah Nabi s.a.w. solat sunat Aidiladha mahupun Aidilfitri dilaksanakan di musolla. tempat terbuka (seperti padang) sehingga khatib dapat melihat semua hadirin Dalil yang menunjukkan disunnahkan untuk mengerjakan solat sunat Hari Raya di musolla adalah sebuah hadis daripada Abu Sa’id al-Khudri r.a, dia berkata:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَخْرُجُ يَوْمَ الْفِطْرِ وَالأَضْحَى إِلَى الْمُصَلَّى. فَأَوَّلُ شَيْءٍ يَبْدَأُ بِهِ الصَّلاَةُ.

Pada hari Aidilfitri dan Aidiladha, Rasulullah s.a.w. keluar menuju musholla. Ketika itu yang pertama baginda lakukan adalah solat Hari Raya. - Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahihnya, no: 956.

Sebagaimana yang telah kita maklum solat di Masjid Nabawi adalah lebih baik daripada solat 1000 kali di masjid lain selain Masjidil Haram. Namun ternyata meskipun dengan keutamaan sebesar ini Rasulullah s.a.w. tetap memerintahkan para sahabat untuk mendirikan solat Hari Raya di musolla. Ibnu Qudamah r.h di dalam al-Mughni (jilid 3, ms. 260) berkata:

“Mengerjakan solat Hari Raya di musholla adalah sunnah, kerana dahulu Nabi s.a.w. keluar ke tanah lapang dan meninggalkan masjidnya (iaitu Masjid Nabawi). Demikian pula para khulafa’ al-Rasyidin. Dan ini merupakan kesepakatan kaum muslimim. Mereka telah sepakat di setiap zaman dan tempat untuk keluar ke tanah lapang ketika solat Hari Raya.”
Oleh itu disunnahkan melaksanakan ibadah korban di tanah lapang yang digunakan untuk mengerjakan solat Aidiladha (musolla) demi memperlihatkan syiar Islam.

Menurut Ibn Umar r.a, Nabi s.a.w telah bersabda:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَذْبَحُ وَيَنْحَرُ بِالْمُصَلَّى

Maksudnya:
"Sudah menjadi kebiasaan baginda menyembelih dan berkorban di musolla." – Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, hadis no: 5552.


7. Sunnah menyembelih sendiri haiwan korban.

Sunnah dan afdal mereka yang ingin melaksanakan ibadah korban tersebut agar menyembelih haiwan korbannya dengan tangannya sendiri.

Anas r.a berkata:

ضَحَّى النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِكَبْشَيْنِ أَمْلَحَيْنِ أَقْرَنَيْنِ ذَبَحَهُمَا بِيَدِهِ

Maksudnya:
"Nabi s.a.w pernah berkorban dengan dua ekor kambing biri-biri yang bagus lagi bertanduk. Baginda menyembelih kedua-duanya dengan tangan baginda sendiri." - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, hadis no: 5565.

Namun, dibolehkan juga bagi mereka yang ingin berkorban mewakilkan penyembelihan kepada orang Islam yang lain.


8. Menyembelih haiwan korban mengikut sunnah.

Hendaklah menyembelih haiwan korban menggunakan objek yang tajam seperti pisau dan dilakukan dengan cepat agar haiwan tersebut mati dengan serta-merta. Sebelum upacara menyembelih diadakan, baringkan haiwan korban tersebut pada sebelah sisi kirinya agar mudah memegang pisau dengan tangan kanan dan memegang atau menahan lehernya dengan tangan kiri. Ketika menyembelih hendaklah membaca (بِسْمَ اللهِ وَاللهُ أَكْبَر).

Anas r.a berkata:

ضَحَّى النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِكَبْشَيْنِ أَمْلَحَيْنِ أَقْرَنَيْنِ ذَبَحَهُمَا بِيَدِهِ وَسَمَّى وَكَبَّرَ وَوَضَعَ رِجْلَهُ عَلَى صِفَاحِهِمَا

Maksudnya:
"Nabi s.a.w pernah berkorban dengan dua ekor kambing biri-biri yang bagus lagi bertanduk. Baginda menyembelih kedua-duanya dengan tangan baginda sendiri dengan menyebut nama ALLAH dan bertakbir seraya meletakkan kaki baginda pada lambung keduanya." - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, hadis no: 5565.

Ketika menyembelih kita hendaklah mengerat salur udara, kerongkong dan saluran darah leher haiwan tersebut tanpa mengerat gentian saraf di dalam tulang belakang. Darah dari anggota badan haiwan korban tersebut hendaklah dialirkan keluar sepenuhnya sebelum melapahnya.


9. Daging korban tersebut boleh dimakan, disedekah dan dihadiahkan.

Sunnah bagi keluarga yang melakukan ibadah korban turut memakan sebahagian daging, menghadiahkan sebahagiannya kepada orang lain dan mensedekahkan sebahagian yang lain. Malah, mereka juga boleh menyimpan daging tersebut.

Sabda Nabi s.a.w:

فَكُلُوا وَادَّخِرُوا وَتَصَدَّقُوا

Maksudnya:
"Makan dan simpanlah serta sedekahkanlah (daging korban itu)." - Hadis riwayat al-Muslim di dalam Sahih al-Muslim, hadis no: 1971.


10. Tidak boleh mengupah tukang sembelih dengan daging korban.

Sudah menjadi lumrah bagi masjid-masjid di Malaysia memberi tukang sembelih daging korban tersebut sebagai upah bagi kerjanya. Perbuatan ini bertentangan dengan syarak dan dilarang keras oleh Rasulullah s.a.w. Upah kepada tukang sembelih hendaklah diberikan menggunakan harta sendiri dan bukannya dari hasil daging binatang korban itu.

Ali r.a berkata:

أَمَرَنِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ أَقُومَ عَلَى بُدْنِهِ وَأَنْ أَتَصَدَّقَ بِلَحْمِهَا وَجُلُودِهَا وَأَجِلَّتِهَا وَأَنْ لاَ أُعْطِيَ الْجَزَّارَ مِنْهَا. قَالَ نَحْنُ نُعْطِيهِ مِنْ عِنْدِنَا

Maksudnya:
"Nabi s.a.w pernah menyuruhku menyempurnakan seekor unta milik baginda kemudian menyedekahkan daging, kulit dan pelindung yang dikenakannya serta aku juga tidak memberi apa pun kepada tukang sembelih tersebut. Dia berkata: Kami memberinya dengan harta kami sendiri.” - Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, hadis no: 1317.

Demikianlah beberapa sunnah Rasulullah s.a.w ketika melaksnakan ibadah korban sempena sambutan Aidiladha. Oleh itu, kita hendaklah bersungguh-sungguh mengamalkan sunnah-sunnah tersebut.

Berbahagialah orang-orang yang diberi taufik oleh ALLAH dalam beribadah kepada-NYA dengan mengikuti sunnah Nabi-NYA dan tidak mencampur-adukkannya dengan amalan bid'ah.

Kuliah Perdana Ustaz Ramadhan Fitri

Hari Terakhir Saya Sebagai Mufti Perlis..




Oleh : SS Dr Muhammad Asri Zainul Abidin
Sumber : http://drmaza.com/

Hari ini adalah hari terakhir saya sebagai Mufti Perlis. Ini bererti, Pena Mufti kali ini adalah Pena yang akhir daripada saya bagi ruangan ini. Menjelang jam 12 malam ini, maka tamatlah tugasan saya sebagai seorang mufti di Negeri Perlis. Insya Allah, pada jam 10.45 pagi esok (isnin) saya akan bertolak ke United Kingdom bagi cuti sabatikal saya. Saya akan menyempurnakan –dengan izin Allah- kajian perbandingan mengenai tafsiran hadis antara fundementalis dengan orientalis.

Dua tahun sebulan saya menjadi mufti. Izinkan saya pada hari ini menceritakan sedikit pengalaman yang ringkas dalam tempoh tersebut. Bukan untuk menunjuk-nunjuk, sekadar berkongsi pengalaman dengan para pembaca yang selalu setia. Jika ada yang baik boleh diambil manfaat, jika ada yang buruk, wajar dijauhi.

Pada hari saya dijemput ke Perlis untuk menjadi mufti saya berfikir panjang apakah yang mampu untuk saya lakukan mengenai perubahan kefahaman dan minda rakyat. Mampukan saya menghadapi corak warna yang sukar diubah yang menguasai suasana. Beberapa hari selepas tawaran itu datang, Ramadan menjelang. Saya yang teramat lemah dan kerdil ini mengambil kesempatan dari dataran Ramadan yang penuh rahmat memohon pertolongan Allah agar diberikan kekuatan dan kemampuan agar saya mampu melakukan sesuatu.

Selepas ramadan itu, saya pun menerima tugas sebagai Mufti Perlis dan cuba melakukan tanggungjawab yang saya percaya saya patut lakukannya. Bermula pada saat itu, saya belum berehat menghadapi berbagai isu yang saya utarakan atau yang muncul dalam masyarakat. Atas slogan: “Kembalikan imej Islam” , “Islam dibina atas dalil dan fakta”, “Islam itu mudah”, “Islam memusuhi kebodohan”, saya berkuliah di sana-sini, berucap dalam berbagai majlis, membentangkan kertas kerja, memberikan pandangan yang berbagai di media, memenuhi berbagai rancangan televisyen, menghadiri berbagai dialog, menulis sekitar seratus lebih artikel yang melahirkan berbagai diskusi sepanjang dua tahun, menghasilkan buku, membuka laman web yang mendapat sambutan yang amat menggalakkan, berunding dan berbincang dengan berbagai pihak, pertubuhan, artis, pelajar dan lain-lain.

Namun saya terus yakin, masih ada ruangan baki tenaga yang barangkali saya belum gunakan sepenuhnya. Ada waktu saya terbuang kerana bersembang dan ceria bersama rakan dan sahabat yang kadang-kala mengambil masa yang lebih daripada yang patut. Ada juga ruang waktu santai yang kadang-kala mungkin boleh untuk dikurangkan.

Pun bagitu dalam tempoh dua tahun itu saya juga beberapa kali demam yang disebabkan lebihan bebanan kerja. Memerah otak lebih penat daripada memerah tenaga. Alhamdulillah, tidak boleh dinafikan juga, sokongan Kerajaan Perlis yang lepas dan Istana Perlis yang memberi ruang serta tidak pernah mengongkong saya adalah antara faktor yang melancar segala usaha.

Merubah bukit dan gunung kadang kala lebih ringan dari merubah minda manusia yang berakar umbi sekian lamanya. Bukit dan gunung jika diubah tidak akan bercakap, tetapi manusia jika kita ingin mengubah mindanya yang patut diubah, jika mereka tidak bersetuju, mereka bukan sahaja menolak, tetapi merencana untuk bertindak dan kita akan menghadapi padahnya. Bukit dan gunung tidak akan akan berdusta dan membuat cerita bohong mengenai kita, tetapi manusia yang tidak bersetuju akan melakukannya. Bukit dan gunung tidak akan hasad dengan kita, tetapi manusia jika dia hasad, segala kejadian dan cerita luar biasa akan tercetus.

Apapun saya rasa perubahan –alhamdulillah- telah berlaku dalam tempoh tersebut. Berbagai lapisan rakyat yang berjumpa saya menyatakan sokongan. Ribuan email sokongan diterima sepanjang tempoh tersebut. Walaupun tidak dinafikan masih ada yang memusuhi, prejudis dan menganggap saya mengganggu periuk nasi dan kerusi empuk mereka yang selesa terutama sebilangan mereka yang berjawatan dalam agama dan politik.

Dua tahun memanglah singkat. Hari ini saya telah menamatkan pusingan dan tugasan tersebut. Kepada Allah saya serahkan; agar diampunkan kelemahan dan diberi pahala jika ada kebaikan. Siapalah insan yang kerdil dan daif seperti saya untuk merasai diri telah menyempurnakan tugas. Bahkan saya yakin, masih ada ruangan yang patut saya sempurnakan, namun saya tidak memenuhinya. Maka apabila saya ditanya oleh wartawan yang berbagai: “Apakah Dr berpuas hati dengan misi yang dilakukan sepanjang dua tahun ini?”. Jawaban saya, tentulah “tidak”. Saya mengharapkan Allah mengampuni kekurangan dan kelemahan saya.

Saya teringat Rasulullah s.a.w yang amat sempurna itu. Dalam khutbah baginda pada Hari Hajjatul Wada’, baginda bertanya lautan para sahabah yang hadir tentang tugasan yang telah dilakukan oleh baginda. Baginda bersabda:

“Kamu akan ditanya (oleh Allah) mengenaiku, apakah yang akan kamu jawab?” Kata mereka: “Kami menyaksikan bahawa engkau telah menyampaikan, telah menunaikan, dan telah menasihati”. Lalu baginda mengangkat jari telunjuk ke langit dan kemudian ke arah orang ramai dan bersabda: “Ya Allah! Saksikanlah” sebanyak tiga kali. (Riwayat Muslim).

Demikian seorang nabi yang penuh amanah menunaikan tanggungjawab, menyampaikan kebenaran dan menasihati umat, pun begitu masih inginkan kepastian dan kepuasan perasaan dengan bertanyakan orangramai tentang tanggungjawab yang telah ditunaikan oleh dirinya yang mulia. Siapalah kita di hadapan semua ini.

Mengubah minda dan pemikiran bukan kerja yang mudah. Ia memerlukan masa dan kesungguhan. Lebih daripada itu, ia memerlukan kesabaran dalam menghadapi ujian dan harga yang perlu dibayar untuk sebuah perjuangan. Kata ‘Abd Allah bin Mas’ud r.a:

“Apa akan terjadi kepada kamu nanti apabila fitnah (penyelewengan) membaluti kamu. Anak kecil membesar dalamnya, yang dewasa pula telah tua bersamanya, lalu fitnah dijadikan sunnah (kebiasaan) sehingga jika ia diubah maka dikatakan “ini tindakan yang munkar”. Ditanya beliau: “Bilakah hal itu akan terjadi?”. Jawabnya: “Apabila kurangnya mereka yang amanah dalam kalangan kamu, tetapi ramainya pemimpin (orang politik) kamu, kurangnya mereka yang faqih (memahami hakikat Islam) dalam kalangan kamu tetapi ramainya pembaca al-Quran, dan dipelajari ilmu bukan kerana agama (Allah) serta dicari dunia dengan amalan akhirat” (Riwayat ‘Abd al-Razzaq- lihat: al-Albani, Sahih al-Targhib wa al-Tarhib, 1/26).

Ini realiti kita sebenarnya. Banyak perkara bukan agama dikatakan agama. Sehingga manusia sukar hendak membeza antara pendapat ustaz dengan nas al-Quran dan al-Sunnah yang sebenar. Lalu pendapat golongan agama, sekalipun tidak menepati nas tetap dimaksumkan. Contohnya seseorang tidak membeza antara perkahwinan yang sah, dengan perkahwinan yang diiktiraf oleh Pejabat Agama. Seperti cerita seorang kadi yang enggan mengesahkan perkahwinan yang diuruskan oleh kadi lain kerana pasangan tersebut menjemput kadi luar kawasan. Padahal rukun nikah sudah dipenuhi; ada pasangan, wali, saksi dan akad. Namun kerana fulus pendaftaran tidak sampai ke tangan kadi kawasan, maka pasangan itu selama beberapa tahun terpaksa merayu sijil nikah mereka. Menderitalah mereka dalam tempoh tersebut, lalu ada yang menganggap perkahwinan mereka tidak sah.

Sama seperti perkahwinan di luar negara, bukan tidak sah tetapi tidak diiktiraf oleh kerenah birokrasi agama di Malaysia. Begitu juga dalam hal-hal lain termasuk ibadah. Berapa banyak perkara adat melayu disangka ajaran Islam sehingga jika kita berbeza kita akan dituduh dengan berbagai perkara. Demikian juga kita kekurangan tokoh yang amanah tetapi ramai pulak yang hendak jadi ahli politik.

Seterusnya betapa ramai para pembaca al-Quran atau penceramah dalam kalangan kita, tetapi sedikit pula yang benar-benar memahami hakikat Islam yang dihantar kepada umat manusia. Akhirnya kita gagal menampilkan imej Islam yang indah seperti yang diperjuangkan oleh baginda Nabi s.a.w.

Dalam rangkap yang akhir dalam riwayat ‘Abd Allah bin Mas’ud ini dicerita pada zaman fitnah tersebut manusia menggunakan amalan agama untuk mendapatkan dunia. Lihatlah, bermula dengan upah sembahyang hadiah untuk jenazah, upah baca al-Quran untuk mayat sehingga perkara-perkara lain yang lebih besar yang lain. Semua itu projek duit atas nama agama. Berbagai khurafat akhirnya muncul, sedangkan umat Islam dilanda bermacam masalah yang getir.

Saya yang maha lemah ini mencuba untuk memberikan pandangan dan pemikiran agar Islam dan umat Islam dalam negara ini dapat terus tampil relevan terutama dalam menghadapi perubahan zaman. Saya bukan tidak menyokong majlis fatwa kebangsaan, tetapi kita perlukan kematangan dalam membimbing umat dan menghadapi zaman. Di samping fatwa yang ada, cubalah kita juga berikan fatwa yang dapat membangkitkan umat seperti fatwakan berdosa umat Islam di negara ini membiarkan ekonomi dikuasai oleh orang lain.

Alhamdulillah, media seluruh negara begitu baik membantu saya. Antara yang paling utama ruangan saya dalam Pena Mufti ini telah dibaca oleh berbagai pihak. Saya mendapat sahabat yang ramai kerana ruangan, termasuklah Tun Mahathir dan berbagai tokoh besar yang lain. Ribuan email dan surat sokongan saya terima daripada rakyat Malaysia dalam dan luar negara, muslim dan bukan muslim. Juga para pembaca daripada Singapura, Brunei dan Indonesia.

Media-media luar juga sering menemuramah saya. Di mana saya pergi alhamdulillah, berbagai lapisan menyatakan sokongan. Walaupun pada peringkat awal banyak yang prejudis, namun anjakan masa dan perubahan hari telah membawa sebahagian besar mereka dapat menerima bahawa idea dan pandangan yang dikemukakan itu di luar dari daerah kepentingan mana-mana individu atau pihak.

Namun saya tahu yang menolak terus menolak. Saya masih ingat, apabila RTM membuat wawancara khas secara langsung dengan saya yang dikendalikan oleh Datuk Johan Jaafar, apabila saya hadir ke mesyuarat Majlis Fatwa Kebangsaan, pengerusinya seakan mengada sidang mahkamah khas mempertikai apa saya kemukakan. Namun kerana masa itu saya masih awal sebagai mufti, saya enggan mengambil langkah bertegang.

Bukan sedikit selepas itu berbagai fitnah datang daripada mereka yang memegang ‘jenama agama’. Ada yang tuduh saya tumbuk imam di Perlis, ada yang kata Amerika bantu. Ada yang ‘sepangkat’ dengan saya dalam ceramahnya menceritakan bahawa saya pergi ke New Zealand keluar bas tidak pakai songkok dan naik bas terlewat. Itu memang benar, namun saya pasti apakah itu perlu dimasukkan ke dalam isi ucapan.

Sehingga pada saat-saat ini pun apabila saya memberikan sedikit alternatif tentang isu yoga, ada pihak yang mendakwa Ph.D saya bukan dalam bidang agama dan saya tidak layak memberikan pandangan di hadapan golongan agama yang sudah lama berjawatan. Padahal Ph.D yang ditulis dalam Bahasa Arab itu telah dicetak oleh UIAM, dan cetakan kedua diterbitkan oleh pencetak buku ternama di Beirut, Lebanon. Saya malas hendak melayan itu semua dalam kesibukan mengejar waktu.

Bahkan rakan-rakan sejawatan beberapa negeri menghalang saya berceramah dalam negeri mereka. Selangor umpamanya membenar semua mufti berceramah, kecuali Mufti Perlis. Pihak JAKIM pula tidak akan melantik saya dalam sebarang panel fatwanya, walaupun mufti negeri-negeri lain dilantik. Saya menerima bahawa itulah realiti perjuangan dengan penuh senyuman dan tidak berkecil hati. Mereka yang lebih daripada saya, bahkan tidak dapat dibanding seperti para nabi dan ulamak terdahulu menghadapi lebih berat daripada itu.

Saya teringatkan kata-kata Za’ba dalam bukunya “Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri” yang Prof DiRaja Ungku Aziz kirimkan kepada saya agar saya baca. Antara katanya yang pernah saya petik dahulu:

“Malangnya jika ada siapa-siapa yang mencuba berbuat seperti pakar-pakar Islam dahulu kala itu - iaitu melepaskan diri daripada kongkong taklid dan balik kepada Quran dan Hadis dengan kehendak-kehendak zaman dan hal-hal keadaan yang telah berubah sekarang - maka terus dilempar mereka akan dia dengan kata-kata yang tidak selayaknya seperti “sesat dan menyesatkan, memandai-mandai, membawa bidaah, mengubah-ngubah daripada jalan yang telah diatur oleh pakar-pakar dahulu kala itu (nenek moyang), tidak ada rupa hendak melebih daripada orang dahulu-dahulu” dan berbagai-bagai lagi. Yang betulnya duduklah juga membeku di tempat yang ada itu!! Mungkin juga kerana mereka sendiri tiada upaya membuatnya maka mereka tiada suka kalau ada orang lain pula dapat berbuat. (m.s 33, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka 2005).

Saya telah mencuba dalam masa dua tahun yang lepas. Terserah kepada rakyat untuk menilainya. Jika ia tidak berjaya pun, saya mengharapkan Allah memberikan kepada saya pahala. Ya! Ratusan email saya terima membantah keputusan saya tidak mempertahankan jawatan mufti ini. Sehingga ada yang menulis “Selama ini saya amat menyanjungi kebijaksanaan tuan mufti, tetapi saya yakin tindakan tuan berhenti adalah merupakan keputusan yang silap, atau tuan mungkin tidak lagi memikirkan kepentingan umat Islam dan rakyat negara ini lagi. Maafkan saya!”.

Saya ingin katakan, saya akan terus berfikir untuk itu, bahkan saya akan cuba mewakafkan hidup untuk perjuangan yang panjang ini. Saya bukan lari meninggalkan medan perjuangan, tetapi saya insyaAllah akan pulang dengan kekuatan yang baru. Rakyat Perlis bersalam dengan saya pada Jumaat lepas dengan kesedihan dan tangisan. Saya bersyukur saya meninggal jawatan dengan penuh penuh senyuman dan persahabatan. Sekurang-kurang mereka tahu saya telah cuba melakukan sesuatu untuk Perlis dan Malaysia.