Jun 20, 2008

Ceramah Perdana



Jun 8, 2008

MALAM INI

KULIAH BULANAN
PEGUAM USTAZ AHMAD JAILANI B ABDUL GHANI

TARIKH :
8 JUN 2008 ( AHAD)

MASA :
SELEPAS SOLAT MAGHRIB

BERTEMPAT DI :

SURAU RAUDHOTUL ULUM, TMN BKT JAMBUL, P.PINANG

........................................

Jun 6, 2008

Mesti Miliki : Aku Terima Nikahnya

Buku "Aku terima Nikahnya" yang sangat menarik dibaca. Alhamdulillah ana telah khatam membaca buku ini.Penulisnya adalah Ustaz Hasrizal Abdul Jalil yang dikenali sebagai Abu Saif di laman mayanya iaitu saifulislam.com

Penulis menggunakan bahasa yang mudah difahami oleh semua lapisan masyarakat.Buku ini sesuai untuk dibaca oleh semua golongan terutamanya golongan-golongan remaja dan mereka-mereka yang diambang walimah (perkahwinan).


"Melihat perkahwinan sebagai untuk MEMBERI, akan menjadikan kita lebih memikirkan soal PERANAN dan bukannya HAKyang tidak berkesudahan."




Jun 4, 2008

Mufti Perlis : Faisal Tehrani kembangkan Syiah dalam novel Ketupat Cinta


Penggiat seni berbelah bagi berhubung kecenderungan campur tangan mufti dalam kegiatan seni budaya, termasuk membantah karya sastera dan melarang penyanyi.Persatuan Penulis Nasional berkata keputusan mufti mengawal ruang seni budaya adalah "wajar" kerana mereka golongan bertanggungjawab dalam bidang agama."Beliau (mufti Perlis) melihat daripada pandangan yang beliau pegang, berpunca daripada fahaman yang beliau pegang. Itulah bidang autoriti beliau, kita mesti terima.

"(Autoritinya) bukan saja dalam bidang agama, (tetapi) termasuk juga politik dan lain-lain. Yang haram tetap haram. Kalau beliau menghukum saya sendiri, saya setuju dan akan kembali ke pangkal jalan," kata setiausaha agungnya SM Zakir kepada Malaysiakini.Beliau mengulas tindakan mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang membantah penerbitan karya penulis terkenal Faisal Tehrani denganhj alasan ia "menggunakan hadis palsu" dan "mengagungkan perayaan Syiah."

April lalu, Dr Mohd Asri menyekat penyanyi Faizal Tahir daripada mengadakan persembahan di konsert Jom Heboh di Perlis anjuran TV3 atas alasan membawa imej negatif.Majlis itu - melalui mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria - mengeluarkan kenyataan bahawa konsert itu haram kerana "melalaikan dan menggalakkan maksiat".Sementara itu pengkritik seni Hasmi Hashim membantah campur tangan mufti dalam kegiatan seni budaya.

"Mana-mana institusi pun tidak patut kawal karyawan," katanya ketika dihubungi berhubung tindakan Dr Mohd Asri menulis surat kepada Harian Metro membantah siri novel Faisal.Bercakap kepada Malaysiakini minggu lepas, mufti itu turut menyifatkan ‘Bubur Ratapan Asyura’ dalam siri novel Ketupat Cinta sebagai "pembohongan" dan mendorongnya membantah penerbitan tersebut Februari lalu.Salinan surat kepada ketua pengarang akhbar itu dikirimkan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Surat tersebut mula beredar di internet mulai awal bulan lepas.Bagaimanapun, tambah Hasmi, jika terdapat tuduhan serius seperti mempromosikan perkauman, seseorang penggiat seni boleh didakwa di mahkahmah." Sekiranya melampaui batas kepentingan sosial secara jelas seperti perkauman, ia harus melalui proses dan lunas undang-undang dan dibawa ke mahkamah.

"Tetapi dengan cara menuduh (seseorang penulis sebagai) Syiah, (tuduhan) itu usaha untuk mengekang seniman. (Tindakan mufti) itu tidak seharusnya berlaku dalam usaha kesedaran masyarakat (sekarang) yang mahukan demokrasi yang lebih baik," katanya.Mengulas tanggapan tindakan mufti Perlis bertentangan dengan ruang demokrasi, Zakir berkata demokrasi mempunyai hadnya dan hal-hal agama tidak boleh dipertikaikan.

"Demokrasi ada hadnya. Seni budaya ada hadnya. Ia (demokrasi dan seni) di bawah agama. Soal perbuatan, amalan (agama) tidak perlu dipertikaikan. Mungkin pendekatannya (mufti Perlis) keras."(Tetapi) hukum syariat tidak boleh anggap antikebebasan. Demokrasi, politik, seni di bawah agama. Agama yang paling atas."Bagaimanapun Hasmi, yang juga ketua bahagian PKR Parit Sulong, pula menyifatkan tindakan mufti itu bertentangan dengan ruang demokrasi.

Beliau sebaliknya mencadangkan langkah berdialog untuk mengatasi ketegangan antara pihak berkuasa agama dengan penggiat seni."Cara terbaik adalah berdiolog dengan seniman yang dianggap 'bermasalah' dengan institusi agama. Kalau Faisal bohong (dalam karyanya), dialog mesti wujud dahulu dan tidak boleh ada usaha menyisih (Faisal) mengguna kekuasaan.

"Hak Faisal untuk menulis mesti dijamin. Soal bohong atau tidak, (tuduhan) mesti dibuktikan," kata bekas pelajar bidang seni halus di Universiti Teknologi Mara (UiTM).Jika berterusan campur tangan institusi agama, tambahnya, ia akan menyebabkan proses "balas dendam" yang tiada kesudahan."Kesan daripada tindakan ini, akan merebak ke dalam institusi-institusi lain. Suatu masa nanti apabila ada pihak lain menguasai institusi itu, ia akan mewujudkan tindakan balas dendam."Yang Syiah akan membalas dendam dengan Sunni. Yang Sunni balas dendam dengan Syiah. Tidak akan selesai masalah sosial," katanya lagi.

Sumber: malaysiakini

Jun 3, 2008

Isu Syiah Sabotaj PAS: Ustaz Nik Abduh Pula Respon

ImageWeb2 IQ, 03 Jun (zain-ys) -Isu Syiah cuba mensabotaj PAS di Kota Bharu, ustaz Nik Mohd Abduh Nik Abdul Aziz, AJK Dewan Pemuda PAS Pusat menyahut seruan Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat Ustaz Nasrudin Hasan .

Menurut beliau; "Saya jadi semacam bila mendengar cerita sekumpulan peminat(penganut mungkin?) mazhab Syiah menggunakan nama PAS untuk mengadakan program yang turut mempromosi Syiah dan ajarannya di Kota Bharu baru - baru ini. Kemudian saya lihat ianya diulas pendek oleh timbalan bos saya, Ustaz Nasrudin Tantawi di dalam blognya yang turut meminta saya jangan tak ambil tahu. Ambil tahu dan bertindak." Beliau akan bertindak tetapi sebelum itu beliau akan menulis dahulu tentang Syiah.

Semua pihak yang menyintai al-Quran dan al-Sunnah sudah tentu gembira dengan tulisan ustaz Nik Mohd Abduh ini. Ia sebagai satu lagi harapan setelah sekian lama berharap. Harapan agar unsur Syiah Imamiyah yang cuba dan telah menyusup masuk ke dalam PAS dibenteras segera.

Tulisan penuh Ustaz Nik Mohd Abduh boleh dibaca di blognya:
http://nikabduh.wordpress.com/2008/05/27/anasir-syiah-dalam-pas-1/

......................................................................................................................................................................

Jun 1, 2008

Ibu bapa tidak wajar halang anak bernikah

Oleh : Azlina Roszy Mohamad Ghaffar

FARAH, 24, (bukan nama sebenar) berada pada tahun akhir pengajiannya. Insya-Allah dalam sebulan dua lagi beliau akan menamatkan pengajian ijazahnya dalam bidang pengurusan perniagaan. Beliau lama bercinta dengan Azrul (bukan nama sebenar) yang juga menuntut di universiti yang sama dalam bidang kejuruteraan. Mereka yang tinggal di kampung sama, bercinta sejak di bangku sekolah lagi. Ibu bapa mereka juga mengetahui percintaan mereka dan masing-masing tidak menghalangnya.

Bagaimanapun, Farah dan Azrul hairan mengapa ibu bapa mereka sering menolak hasrat mereka untuk mendirikan rumah tangga. Pelbagai alasan diberikan seperti mereka masih terlalu muda, masih mentah, belum boleh berdikari lagi dan belum mempunyai kewangan tetap.
Oleh kerana mereka tidak mahu terus hanyut dalam dosa kerana sering bertemu dan berdua-duaan tanpa nikah, mereka mengambil keputusan untuk bernikah di selatan Thailand secara rahsia. Mereka walaupun bernikah, masih dalam dilema. Ini kerana selepas tamat pengajian mereka masih tinggal dengan ibu bapa masing-masing dan tidak dapat menjalani kehidupan seperti suami isteri. Ibu bapa juga mendesak agar mereka menunggu beberapa tahun lagi untuk berkahwin.

Alasannya bekerja dulu untuk mengumpul wang bagi menyara kehidupan. Farah tertekan dengan keadaan ini dan pernah bercadang untuk melarikan diri, tetapi dibantah oleh Azrul yang menasihatkannya agar bersabar. Mereka juga risau apabila memikirkan sekiranya mereka akan dinikahkan buat kali kedua. Pada masa yang sama mereka juga tidak berani untuk berterus terang kerana khuatir akan dipinggirkan oleh keluarga masing-masing.

Raudhatus Sakinah menerima banyak pertanyaan daripada remaja, terutama remaja di institusi pengajian tinggi mengenai hasrat masing-masing untuk bernikah bagi mengelakkan maksiat. Malah, ada yang pernah terlanjur beberapa kali akibat pergaulan bebas atau cinta yang terhalang. Adalah malang sekiranya remaja ini terus hanyut dalam arus percintaan berlandaskan hawa nafsu tanpa mendapat bimbingan daripada ibu bapa mereka. Lebih malang lagi sekiranya niat suci mereka untuk bernikah dihalang oleh ibu bapa dengan pelbagai alasan yang remeh.

Ibu bapa seharusnya boleh mengenali sekiranya si anak tadi bersungguh-sungguh atau tidak dalam permintaannya. Dan permintaan untuk bernikah bukanlah suatu permintaan yang boleh dianggap main-main atau gurauan. Tetapi ia melambangkan ketulusan hati dan kematangan fikiran. Tahap kematangan anak berbeza-beza, tetapi tidak sedikit mereka yang mempunyai kematangan fikiran dan mampu memikul tanggungjawab yang berat lantaran perkahwinan. Kehidupan zaman internet yang memberikan pelbagai kemudahan maklumat dan ilmu pengetahuan kepada manusia menjadikan seseorang itu terdedah kepada lebih banyak maklumat yang menambah tahap kematangan dan kebolehannya membuat keputusan.
Kadang-kadang ibu bapa kurang pasti terhadap kesungguhan anak yang dianggap mentah kerana masih pada peringkat awal pengajiannya. Oleh itu, perkara ini perlu dibawa berbincang dari hati ke hati dan bukannya menolak mentah-mentah permintaan anak. Pastikan anak mempunyai persediaan untuk mengharungi alam rumah tangga iaitu persediaan mental, emosi dan spiritual, di samping persediaan fizikal seperti keadaan kesihatan dan kewangan. Ibu bapa yang prihatin dengan kesejahteraan hidup anak, pasti akan memberikan bantuan terbaik agar mereka dapat mengharungi kehidupan ini dengan sebaiknya.

Bantuan yang diberi bukan setakat memastikan makanan, pakaian dan pelajarannya terjaga. Malah, dalam bentuk perkongsian pengalaman dan kesediaan untuk memahami jiwa anak-anak yang meningkat dewasa serta menunjukkan kematangan untuk memikul tanggungjawab. Sebagai ibu bapa bestari, berilah nasihat dan bimbingan berguna kepada anak agar berwaspada dalam pergaulannya dan menjauhi seks luar nikah. Ibu bapa mesti mempunyai rasa cemburu dan curiga seandainya anak terlalu bebas dalam percintaannya hingga boleh menyebabkan mereka terlanjur.

Jangan terlalu memberat-beratkan urusan yang tidak wajib hingga menyebabkan anak melihat perkahwinan itu terlalu sukar, tetapi berzina pula lebih mudah. Islam memandang mulia institusi perkahwinan kerana ia adalah tunjang kekuatan sesebuah masyarakat. Anjuran berkahwin boleh dilihat melalui firman-Nya bermaksud:

Dan kahwinkanlah orang yang sendirian di antara kamu, dan orang yang layak berkahwin dari hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan hamba-hamba sahayamu yang perempuan. Sekiranya mereka miskin, Allah akan memampukan mereka dengan kurnia-Nya. Dan Allah Maha Luas (pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui. (Surah an-Nur : 32)
Rasulullah pernah bersabda maksudnya:
Wahai kumpulan anak-anak muda! Barang siapa antara kamu yang mampu berkahwin, maka hendaklah dia berkahwin! Kerana sesungguhnya perkahwinan itu menutup pemandangan dan memelihara kemaluan. Tetapi barang siapa yang tidak mampu, maka hendaklah dia berpuasa, sebab yang demikian itu akan menahan nafsu. (Hadis riwayat Jamaah)

Dr Abdullah Nasih Ulwan dalam karangannya yang masyhur iaitu Tarbiyyatul Aulad Fil Islam (Pendidikan Anak-anak Di dalam Islam) mengungkapkan bahawa perkahwinan itu adalah fitrah kemanusiaan, pemelihara maslahat kemasyarakatan dan penyucian hubungan antara manusia. Beliau menggariskan hikmah perkahwinan seperti berikut :

- Pemeliharaan terhadap benih manusia.
- Pemeliharaan terhadap keturunan dan nasab.
- Keselamatan masyarakat daripada penyakit sosial dan moral.
- Keselamatan masyarakat daripada penyakit yang menular akibat zina.
- Ketenteraman jiwa, naluri dan akal fikiran.
- Membangunkan kerjasama suami isteri dalam pembangunan keluarga dan pendidikan anak-anak.
- Menyuburkan perasaan belas kasihan ibu bapa.
Bagi pasangan muda yang dilamun cinta, perkahwinan berupaya mententeramkan jiwa yang bergelora dan memberikan ketenangan dalam menuntut ilmu. Tidak keterlaluan kalau dikatakan ramai yang berjaya dalam pengajian masing-masing meskipun berkahwin pada usia muda. Ini adalah janji Allah bagi mereka yang mematuhi syariat-Nya seperti dalam firman-Nya bermaksud:
Dan antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar ada tanda-tanda bagi kaum yang berfikir. (Surah ar-Rum :21)
Sabda Rasulullah bermaksud:
Apabila datang (melamar) kepadamu orang yang kamu sukai akhlak dan agamanya maka kahwinilah dia. Kalau tidak engkau perbuat demikian, akan terjadi fitnah di bumi dan kerosakan yang luas. (Riwayat Tarmizi, Ibnu Majah dan Hakim)
Hadis ini jelas mengingatkan ibu bapa terhadap tanggungjawab untuk mengahwinkan anak mereka sama ada lelaki atau perempuan apabila sampai masanya. Ini untuk mengelakkan bencana maksiat zina yang lebih dahsyat lagi.

PENULIS adalah pelajar sarjana dalam bidang psikologi mengalu-alukan e-mel remaja bermasalah. Sila hubungi raudhatus_sakinah@yahoo.com

Sumber : http://wadahwanita.blogspot.com