Sep 25, 2008

Amalan-amalan Sunnah di 1 Syawal



Editor: Bro_aiman

1. Mandi sebelum keluar menunaikan solat Hari Raya.

Dilakukan pada pagi 1 Syawal sebelum menunaikan solat hari raya Aidilfitri.

Imam Malik r.h. meriwayatkan sebuah hadith di dalam al-Muwatta'

أَنَّ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عُمَرَ كَانَ يَغْتَسِلُ يَوْمَ الْفِطْرِ قَبْلَ أَنْ يَغْدُوَ إِلَى الْمُصَلَّى

Maksudnya : “Bawasanya ‘Abdullah bin ‘Umar seringkali akan mandi pada hari Raya al-Fitri sebelum beliau keluar ke tempat solat Hari Raya di pagi hari raya.”

Al-Imam al-Nawawi menyebut para ulama telah bersepakat atas sunatnya mandi untuk solat hari raya.


2. Memakai bau-bauhan yang wangi

Sunnah ini hanya bagi kaum lelaki.


3. Memakai pakaian yang paling baik

Pakaian tidak semestinya baru tettapi pakaian yang indah dan rapi sudah mencukupi
Daripada Jabir r.a. katanya : “Bagi Nabi saw ada satu jubah yang baginda akan memakainya untuk dua hari raya dan hari Jumaat.” (Sahih Ibn Khuzaimah : 1765)

Demikian juga al-Baihaqi meriwayatkan dengan sanad yang sahih, bahawa Ibn ‘Umar sentiasa memakai pada hari raya seindah-indah pakaiannya.


4. Makan terlebih dahalu sebelum menunaikan solat hari raya ‘Aid al-Fitri

Sunnah memakan tamar dalm bilangan ganjil jika tiada sudah cukup memkan apa-apa juadah sekali pun.

Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari daripada Anas bin Malik katanya :

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لا يَغْدُو يَوْمَ الْفِطْرِ حَتَّى يَأْكُلَ تَمَرَاتٍ .. وَيَأْكُلُهُنَّ وِتْرًا

Maksudnya : “Adalah Rasulullah saw tidak keluar pada pagi hari Raya al-Fitri, sehinggalah baginda makan terlebih dahulu beberapa biji Tamar… dan baginda memakannya dalam jumlah yang ganjil.” (al-Bukhari : 953)

Al-Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani mengomentari hadith ini dengan berkata : “Demikian itu kerana untuk mengelakkan (anggapan) adanya tambahan dalam berpuasa, padanya juga (petunjuk) bersegera mentaati arahan Allah swt (untuk tidak berpuasa pada hari tersebut).” (Fath al-Bari : 2/446)


5. Mengajak seluruh ahli keluarga ke tempat menunaikan Solat Sunat Aidilfitri

Sunnah mengajak seluruh ahli keluarga termasuk kanak-kanak dan perempuan yang dating haid, diasing perempauan yang dating haid daripada perempuan yang boleh solat.

Bagi perempauan yang dating haid sunnah mereka turut serta ke temapat solat supaya mereka dapat menyaksikan upacara solat Hari Raya dan mendengar khutbah solat raya aidilfitri.

Ummu ‘Athiyah radhiallahu’ anha telah berkata:

أُمِرْنَا أَنْ نَخْرُجَ فَنُخْرِجَ الْحُيَّضَ وَالْعَوَاتِقَ وَذَوَاتِ الْخُدُورِ. قَالَ ابْنُ عَوْنٍ: أَوْ الْعَوَاتِقَ ذَوَاتِ الْخُدُورِ, فَأَمَّا الْحُيَّضُ فَيَشْهَدْنَ جَمَاعَةَ الْمُسْلِمِينَ وَدَعْوَتَهُمْ وَيَعْتَزِلْنَ مُصَلَّاهُمْ.

Maksudnya:
Kami telah diperintahkan (oleh Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam) untuk keluar, maka kami memerintahkan wanita-wanita yang sedang haid, para gadis dan wanita-wanita pingitan untuk keluar. Ibnu ‘Aun berkata: “atau wanita-wanita pingitan,” dan wanita-wanita yang haid diperintahkan (Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam) agar menyaksikan jamaah kaum muslimin dan dakwah mereka serta menjauhi tempat solat. - Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-‘Iedaini, no: 981.


6. Keluar dengan berjalan ke tempat solat melalui jalan lain dan balik daripadanya melalui jalan yang lain.

Daripada Jabir bin Abdillah r.’anhuma katanya :

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا كَانَ يَوْمُ عِيدٍ خَالَفَ الطَّرِيقَ

Maksudnya : “Adalah Nabi saw, pada hari raya baginda membezakan jalan (pergi dan balik dari solat hari raya).” (al-Bukhari : 986)

Ibn Majah meriwayatkan daripada Ibn ‘Umar katanya :

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَخْرُجُ إِلَى الْعِيدِ ، مَاشِيًا وَيَرْجِعُ مَاشِيًا

Maksudnya : “Adalah Rasulullah saw keluar ke tempat solat Hari Raya dengan berjalan dan baginda pulang darinya juga dengan berjalan.” (al-Albani menghasankan hadith ini di dalam Sahih Ibn Majah)


Dikatakan terdapat beberapa hikmah dalam perbuatan ini
i. Semoga dua jalan yang berbeza tersebut menjadi saksi di hadapan Allah pada hari kiamat nanti. Ini kerana bumi akan membicarakan pada hari kiamat apa yang dilakukan di atasnya dari perkara-perkara yang baik dan jahat.
ii. Untuk menzahirkan syiar-syiar Islam
iii. Untuk menzahirkan zikir kepada Allah swt
iv. Untuk menyakitkan hati orang-orang Munafikin dan Yahudi dan sebagai menakutkan mereka dengan ramainya umat Islam.
v. Untuk mengambil tahu keperluan orang-orang yang memerlukan sebarang bantuan atau untuk menziarahi sanak saudara dan menghubungkan solatur rahim.


7. Bertakbir pada hari Raya

Takbir hari raya adalah termasuk sunnah yang agung berdasarkan firman Allah swt :

وَلِتُكْمِلُوا العِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللهَ عَلى مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُوْن

Maksudnya : “Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengangungkan Allah atas petunjuknya yang diberikan kepada kamu, supaya kamu bersyukur.” (al-Baqarah : 185)

Sahih juga daripada ‘Abdul Rahman al-Salamiy katanya : “Adalah mereka (sahabat Nabi saw) pada hari Raya al-Fitri lebih bersungguh berbanding hari Raya al-Adha, Waki’ berkata : “Yakni (mereka lebih bersungguh) dalam bertakbir.” (Lihat Irwa’ al-Ghalil : 3/122)

Diangkat suara dalam melafazkan takbir bagi lelaki dan tidak bagi perempuan. Ia dilakukan di merata tempat di masjid, di rumah dan di pasa-pasar.

Waktu bertakbir bagi Hari Raya al-Fitri ialah bermula pada malam raya iaitu setelah tenggelamnya matahari pada hari akhir Ramadhan sehingga masuknya imam ke tempat solat untuk solat hari raya.


8. Ucapan Tahniah Pada Hari Raya

Termasuk daripada adab berhari raya ialah dengan menyampaikan ucap tahniah sesama muslim dengan sebarang ucapan yang baik seperti ucapan :

1. تَقَبَّلَ اللهُ مِنَّا وَمِنْكُمْ - Semoga Allah menerima (amalan) dari kami dan anda semua)
2. عِيْدُ مُبَارَكْ – (Selamat) hari raya yang diberkati.

Atau ucapan yang seumpama dengan di atas yang terdiri dari ungkapan-ungkapan tahniah yang dibenarkan.
Jubair bin Nufair berkata : “Para sahabat Nabi saw apabila mereka bertemu sesama mereka pada hari raya mereka mengucapkan تُقُبَِّلَ مِنَّا وَمِنْكُمْ ,
Ibn Hajar berkata : Isnad (riwayat ini ) Hasan. (Fath al-Bari : 2/446)


9. Solat Hari Raya

Para ulama berbeza pendapat tentang hukum solat hari raya, sebahagian mengatakan hukumnya sunat, sebahagian yang lain mengatakannya fardhu kifayah dan sebahagian yang lain mengatakan hukumnya adalah fardhu ‘ain (wajib), berdosa bagi sesiapa yang meninggalkannya. Inilah pendapat Mazhab Imam Abu Hanifah, pendapat ini dipilih juga oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah dan Ibn al-Qayyim. Al-Syeikh ‘Abdul ‘Aziz Abdillah bin Baz menyebut : “Pendapat ini lebih terserlah pada dalil-dalilnya dan lebih hampir kepada kebenaran.”

- Dilakukan solat raya terlebih dahulu diikuti khutbah

Ini berdasarkan hadith di dalam Musnad Ahmad daripada Ibn ‘Abbas r’anhuma :

أَشْهَدُ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلَّى قَبْلَ الْخُطْبَةِ فِي الْعِيدِ ثُمَّ خَطَبَ

Maksudnya : “Aku menyaksikan Rasulullah saw menunaikan solat hari raya sebelum khutbah, kemudian baginda berkhutbah.”

Lihat artikel “Solat Hari Raya Cara Nabi” tulisan Mohd Yaakub bin Mohd Yunus untuk keterangan lanjut tentang solat hari raya.




Beberapa Kesalahan Yang Dilakukan Pada Hari Raya


1. Anggapan sunat menghidupkan malam hari raya

Sebahagian orang ada yang beranggapan sunat menghidukan malam hari raya dengan melakukan ibadat-ibadat sunat seperti qiyam al-Lail dan seumpamanya. Anggapan ini adalah salah kerana tidak terdapat dari petunjuk Nabi saw. Adapun hadith yang menyebut tentang kelebihan menghidupkan malam hari raya ini adalah dhoief ataupun lemah untuk dinisbahkan kepada perkataan Nabi saw.

Hadith tersebut ialah :

من أحيا ليلة العيد لم يمت قلبه يوم تموت القلوب

Maksudnya : “Siapa yang menghidupkan malam hari raya, tidak akan mati hatinya pada hari matinya hati-hati (manusia lainnya).”

Hadith ini TIDAK SAHIH, ia datang dari 2 jalan periwayatan dimana salah satunya Maudhu’ atau PALSU dan salah satu lagi LEMAH. (Sila lihat Silsilah al-Ahadith al-Dhoiefah wa al-Maudhu’ah, oleh al-Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albani : 520-521)

Maka tidak disyariatkan untuk menghidupkan malam hari raya dengan qiyam al-lail, melainkan bagi mereka yang sememangnya telah menjadi kebiasaannya menghidupkan malam-malam yang lain juga.


2. Menziarahi Kubur pada 2 hari raya

Perbuatan sebahagian orang yang menjadikan awal pagi dua hari raya untuk menziarahi kubur adalah perbuatan yang bertentangan dengan maksud dan syiar hari raya. Yang mana sepatutnya dizahirkan kegembiraan dan keseronokan.

Perbuatan menziarahi kubur pada hari raya ini juga bertentangan dengan petunjuk Nabi saw dan perbuatan generasi awal umat Islam (al-Salaf) yang dididik oleh Baginda. Perbuatan ini dibimbangi termasuk di dalam larangan Nabi saw dari menjadikan tanah perkuburan sebagai sambutan hari raya, dimana jika dimaksudkan (sunat menziarahi kubur) pada waktu-waktu tertentu dan ada pada musim-musim yang tertentu (seperti pada dua hari raya), maka perbuatan ini termasuk larangan menjadikan tanah perkuburan sebagai tempat sambutan hari raya seperti yang disebut oleh para ulama. (Sila lihat Ahkam al-Jana-iz wa Bida’uha oleh al-Albani. m.s. 219 & 258)


Rujukan :

1. http://soaljawab.wordpress.com/
2. Rakaman audio Ceramah Ustaz Ramadhan Fitri tentang Sunnah di 1Syawal.

Sep 23, 2008

Sungguh-sungguh beribadah di 10 hari akhir Ramadhan.

عَنْ عَائِشَةَ - رضى الله عنها - قَالَتْ كَانَ النَّبِىُّ - صلى الله عليه وسلم - إِذَا دَخَلَ الْعَشْرُ شَدَّ مِئْزَرَهُ ، وَأَحْيَا لَيْلَهُ ، وَأَيْقَظَ أَهْلَهُ

Maksudnya: Aisyah berkata: Sesungguhnya Nabi SAW apabila masuknya sepuluh malam akhir Ramadhan, mengikat kainnya, menghidupkan malamnya dan mengejutkan keluarganya.

(Hadith riwayat al-Bukhari – no.2024, Muslim – no.2844)
Huraian:

Hadith ini menunjukkan betapa Rasulullah SAW memberikan penekanan dan tumpuan yang lebih pada malam-malam akhir Ramadhan khusus untuk ibadah. Ini selaras dengan beberapa hadith lain yang memberitahu tentang kelebihan malam-malam akhir Ramadhan termasuklah kelebihan malam Lailatul Qadr.

MENGIKAT KAINNYA

Ibn Hajar dalam huraiannya terhadap Sahih al-Bukhari telah menyatakan bahawa para ulama mempunyai beberapa pendapat terhadap istilah ‘mengikat kainnya’. Di antara pendapat yang paling kuat ialah ia membawa dua maksud iaitu – tidak menghampiri isterinya (melakuka hubungan suami isteri) dan ini digambarkan dengan istilah ‘mengikat kainnya’. Manakala satu lagi maksud ialah bersungguh-sungguh dalam ibadah. Namun begitu kedua-duanya adalah tepat jika dilihat dari perbuatan Nabi SAW apabila tiba malam-malam akhir Ramadhan.

MENGHIDUPKAN MALAMNYA

Perkataan yang digunakan oleh Aisyah iaitu ‘menghidupkan’ amat bermakna. Seolah malam yang tidak digunakan untuk beribadah adalah malam yang mati dan tidak hidup. Rasulullah SAW telah memberikan pedoman terbaik untuk kita agar mengubah malam yang kelihatan ‘mati’ itu dengan ‘menghidupkannya’ dengan ibadah di kala manusia nyenyak tidur.

MENGEJUTKAN KELUARGANYA

Dalam beribadah, Rasulullah SAW tidak melupakan keluarganya. Mungkin seorang suami lebih selesa untuk beribadah tanpa memperdulikan keluarganya kerana cenderung untuk bersendirian tanpa menyusahkan diri mengejutkan anak dan isteri. Tapi Rasulullah SAW telah menunjukkan contoh terbaik dan teladan ikutan kepada seluruh umatnya terutama ketua keluarga agar tidak mengabaikan keluarga walaupun dalam ibadah yang sunat sebegini.

Marilah kita sama-sama mengambil peluang malam-malam akhir Ramadhan ini untuk melakukan sesuatu agar diri kita berjaya di akhirat sebagaimana kita bersungguh untuk berjaya di dunia. Semoga Allah SWT mengampunkan dosa-dosa kita dan menerima taubat daripada hati-hati kita.


Sumber : http://ibnularaby.blogspot.com

Sep 19, 2008

Kemuliaan Malam Lailatulqadar

Oleh: Mohd Yaakub bin Mohd Yunus ( akob73 )



Bulan Ramadan merupakan satu bulan yang penuh keberkatan di mana ALLAH S.W.T. meluaskan rahmat-NYA agar menaungi seluruh hamba-hamba-NYA yang tekun beribadah dan taat kepada-NYA dengan memberi ganjaran pahala yang berlipat kali ganda. Sabda Rasulullah s.a.w :
"Apabila tiba bulan Ramadan maka dibuka pintu-pintu rahmat."

[Riwayat Muslim; no: 1079]

Pada bulan ini juga terdapat satu malam yang lebih mulia berbanding 1000 bulan, iaitu lailatulqadar. Padanyalah diturunkan al-Qur’an yang dijadikan panduan bagi seluruh umat Islam. Firman ALLAH S.W.T:


"Sesungguhnya KAMI telah menurunkan (al-Quran) itu pada malam al-Qadar. Apakah cara yang membolehkan engkau mengetahui kebesaran lailatulqadar itu? Lailatulqadar ialah malam yang paling baik berbanding 1000 bulan. Pada malam itu, para malaikat dan Jibril turun dengan izin TUHAN mereka membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun berikutnya). Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar."

[Surah al-Qadr: 1-5 ]

Oleh itu, sesiapa yang beribadah pada bulan Ramadan dan menepati malam lailatulqadar, ganjaran pahala amalannya itu melebihi ibadah yang dilakukannya selama 1000 bulan.


Apakah itu Lailatulqadar?

Tentang makna al-Qadr, sebahagian ulama berpendapat ia bermaksud pengagungan. Dari sini dapat kita fahami bahawa lailatulqadar bermaksud malam yang memiliki keagungan kerana diturunkan al-Quran pada malam tersebut, turunnya para malaikat, melimpahnya rahmat dan keampunan ALLAH serta ALLAH akan menganugerahkan keagungan (kemuliaan) kepada mereka yang beribadah pada malam itu.

Al-Qadr juga bermaksud penetapan. Oleh itu, lailatulqadar juga bermaksud malam penetapan segala urusan yang bakal berlaku pada tahun berikutnya. Ini jelas bertentangan dengan tanggapan kebanyakan umat Islam di Malaysia yang beranggapan bahawa malam Nisfu Sya’ban merupakan malam di mana ALLAH menetapkan apa yang ditakdirkan untuk kita pada tahun berikutnya. Mereka berhujah dengan Firman ALLAH S.W.T:

"Sesungguhnya KAMI telah menurunkan al-Quran itu pada malam yang berkat; (KAMI berbuat demikian) kerana sesungguhnya KAMI sentiasa memberi peringatan dan amaran (agar hamba-hamba KAMI tidak ditimpa azab). (KAMI menurunkan al-Quran pada malam itu kerana) pada malam yang berkat itu dijelaskan (kepada malaikat) tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmat serta ketetapan yang bakal berlaku."

[Surah al-Dukhan: 3-4]

Menurut tafsiran 'Ikrimah, malam yang diberkati dan ditetapkan segala urusan manusia itu adalah malam Nisfu Sya’ban. Namun, pendapat ini tertolak kerana nas-nas yang sahih telah menjelaskan bahawa al-Quran diturunkan pada bulan Ramadan dan malam yang diberkati itu adalah malam lailatulqadar sebagaimana yang terdapat di dalam surah al-Qadr yang telah penulis paparkan sebelum ini.

Al-Hafiz Ibn Kathir r.h ketika mentafsirkan surah al-Dukhan, ayat 3-4, katanya:

"ALLAH berfirman menjelaskan tentang al-Quran al-Adzim bahawa al-Quran diturunkan pada malam yang penuh berkat, iaitu malam al-Qadr sebagaimana firman ALLAH di dalam surah al-Qadr:
"Sesungguhnya KAMI telah menurunkan (al-Quran) ini pada malam al-Qadr."

[Surah al-Qadr: 1]

Hal itu terjadi pada bulan Ramadan sebagaimana firman ALLAH S.W.T:

"(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa ialah) bulan Ramadan yang diturunkan al-Quran padanya, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dan yang salah. Oleh itu, sesiapa antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), dia hendaklah berpuasa pada bulan itu dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir, (dia bolehlah berbuka kemudian dia wajib berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan itu) ALLAH menghendaki kamu beroleh kemudahan dan DIA tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Malah supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), supaya kamu membesarkan ALLAH kerana mendapat petunjuk-NYA dan supaya kamu bersyukur."

[ Surah al-Baqarah: 185]

Apa yang dapat diambil pengajaran di sini ialah sesiapa yang mengatakan bahawa malam yang dimaksudkan (dalam surah al-Dukhaan itu) adalah malam Nisfu Sya’ban seperti yang diriwayatkan daripada 'Ikrimah, bererti dia telah menjauhkan diri dari pengertian asalnya. Ini kerana, nas al-Quran menegaskan bahawa yang dimaksudkan dengan malam yang penuh berkat itu (lailatulqadar) adalah pada bulan Ramadan." – Rujuk Kitab Tafsir al-Quran al-‘Adzim karya al-Hafiz Ibn Kathir, jil. 4, ms. 137.

Syeikh Muhammad Abdul Salam r.h berkata:

"Keyakinan bahawa malam Nisfu Sya’ban adalah malam al-Qadr adalah keyakinan yang salah. Demikian kesepakatan para ulama hadis sebagaimana dijelaskan oleh Ibn Kathir di dalam tafsirnya. Ketika menjelaskan Sunan al-Tirmizi, Ibn al-'Arabi mengatakan bahawa firman ALLAH di dalam surah al-Dukhan, ayat 3: Sesungguhnya kami menurunkan al-Quran bermaksud diturunkan pada malam Nisfu Sya’ban adalah tidak benar kerana ALLAH tidak pernah menurunkan al-Quran pada bulan Sya’ban.

Tetapi, ayat itu harus difahami secara lengkapnya sesungguhnya kami menurunkan al-Quran pada malam al-Qadr di mana lailatulqadar itu hanya wujud pada bulan Ramadan. Hal ini juga ditegaskan oleh ALLAH di dalam surah al-Baqarah, ayat 185: Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah pada bulan Ramadan yang diturunkan al-Quran padanya. Keyakinan al-Qadr berlaku pada malam Nishfu Sya’ban sangat bertentangan dengan Kitabullah dan sangat jauh terpesong dari isi kadungannya.

Perlu kami ingatkan bahawa ALLAH sendiri telah menegaskan tentang malam itu di dalam surah al-Dukhan, ayat 3: (KAMI menurunkan al-Quran pada malam itu kerana) pada malam yang berkat itu dijelaskan (kepada malaikat) tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmat serta ketetapan bermaksud pada malam al-Qadr dijelaskan segala hal kepada malaikat bukannya pada malam Nisfu Sya’ban." – Rujuk Kitab al-Sunan wa al-Mubtada’at karya Muhammad Abdul Salam Khadr al-Syaqiry, ms. 156.

Disebabkan oleh kekeliruan ini, mereka telah menciptakan pelbagai ibadah yang khusus seperti membaca surah Yasin sebanyak tiga kali diselang-selikan dengan doa-doa yang tertentu agar tahun yang mendatang bakal lebih baik dari tahun itu. Ternyata amal ibadah tersebut tidak ada contohnya daripada Rasulullah s.a.w mahupun para al-Salafussoleh dan sewajarnya dinilai semula oleh semua pihak. Ini adalah kerana Rasulullah s.a.w telah mencela amalan bid’ah melalui sabdanya:

"Sesungguhnya sebaik-baik ucapan adalah Kitabullah (al-Quran) dan sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad (sunnah) serta seburuk-buruk perkara adalah sesuatu yang diada-adakan dalam agama dan setiap yang diada-adakan termasuk kategori bid’ah dan semua bid'ah itu menyesatkan." -

[Riwayat Muslim; no: 867]

Bilakah Berlakunya Lalitaulqadar?

Sabda Rasulullah s.a.w:
"Carilah lailatulqadar pada malam-malam yang ganjil daripada sepuluh malam terakhir di bulan Ramadan."
[Riwayat al-Bukhari; no : 2017 ]
Sabda Rasulullah s.a.w :
"Carilah (lailatulqadar) pada sepuluh malam terakhir. Jika seseorang kamu lemah atau tidak mampu, janganlah dia kalah (putus asa) mencarinya pada baki tujuh malam terakhir."

[Riwayat Muslim ; no: 1165 ]


Kombinasi dari kedua-dua hadis di atas dapatlah kita simpulkan bahawa kita sepatutnya menggandakan ibadah pada malam yang ganjil bermula sepuluh malam terakhir pada bulan Ramadan terutamanya pada malam ke 23, 25, 27 dan 29. Namun demikian Rasulullah s.a.w. apabila tiba sepuluh hari terakhir pada bulan Ramadan, baginda akan menggandakan ibadah baginda maka amalan sebeginilah yang afdal untuk diamalkan kita semua. Baginda bersungguh-sungguh merebut peluang untuk melakukan ibadah sambil beriktikaf di masjid. Menurut al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani r.h:

"Dari segi bahasa, iktikaf bermaksud membatasi diri pada sesuatu. Sedangkan menurut pengertian syarak, ia bermaskud individu tertentu menetap di dalam masjid dengan cara khusus (menepati sunnah)." - Al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani, Fath al-Bari, jil. 11, ms. 538.

Ketika beriktikaf, umat Islam dianjurkan memperbanyakkan ibadah sunat seperti solat, berdoa, berzikir, membaca al-Quran, berselawat ke atas Nabi s.a.w, mempelajari ilmu-ilmu agama dan lain-lain amalan yang soleh.

Aisyah r.a berkata:
"Rasulullah s.a.w bersungguh-sungguh beribadah pada sepuluh hari terakhir (bulan Ramadan) yang tidak pernah dilakukannya pada waktu yang lain."

[Riwayat Muslim; no: 1174 ]

"Sesungguhnya Nabi s.a.w biasa melakukan iktikaf pada sepuluh yang terakhir di bulan Ramadani sehingga ALLAH mewafatkan baginda."


[Riwayat al-Bukhari ; no: 2026]

Doa yang amat dianjurkan dibaca pada malam lailatulqadar selepas membaca tasyahhud adalah sebagaimana hadis yang telah diriwayatkan oleh Ali bin Abu Talib r.a:

"Sesungguhnya Rasulullah s.a.w membaca pada solat witirnya (selepas tahiyat):

"Ya ALLAH! Sesungguhnya AKU berlindung dengan keredhaan-MU daripada segala kemurkaan-MU. AKU juga berlindung dengan kemaafan-MU daripada segala balasan yang bakal ditimpakan. AKU juga berlindung dengan Zat-MU yang tidak terhitung segala nimat dan belas kasihan yang telah ENGKAU berikan, kami hanya mampu berusaha memuji-MU seperti mana pujian yang layak bagi Zat-MU."

[Hadis sahih riwayat al-Tirmizi, al-Nasaai, Abu Daud, Ahmad dan selainnya]


Selain dari itu, dianjurkan kan juga untuk berdoa sebagaimana dikhabarkan dari ‘Aishah r.a dia berkata:

Ya Rasulullah, apa pendapatmu apabila aku mendapati salah satu malam daripada Lailatul Qadar, apakah yang sepatutnya aku ucapkan. Rasulullah menjawab: Allahumma innaka ‘afuwwun tuhibbul ‘afwa fa’fu’anni (Ya Allah, sesungguhnya Engkau adalah Yang Maha Pengampun Lagi Maha Mengasihi untuk mengampun, maka ampunilah aku. -

[Riwayat Imam Ibnu Majah di dalam Sunannya, no: 3840]

Semoga Ramadan pada tahun ini kita semua dapat mendapat malam lailatuqadar dan kita dapat mengisi sepanjang bulan ini dengan amal-amal ibadah yang sabit daripada Rasulullah s.a.w. serta mengerjakan amal-amal soleh. Lantaran dari itu semoga kita semua dapat menikmati segalan ganjaran pahala seperti yang telah dijanjikan oleh ALLAH S.W.T. kepada hambanya yang taat kepada perintah-NYA. Ada golongan yang menyatakan bahawa puasa bagi golongan yang tinggi makamnya adalah mereka yang berpuasa semata-mata ikhlas kerana ALLAH S.W.T tanpa menginginkan ganjaran pahala tersebut. Ternyata pemikiran sebegini tidak pernah diajar oleh Rasulullah s.a.w. Sememangnya amal ibadah kita perlu dilaksanakan dengan penuh keikhlasan dan pada masa yang sama bukanlah menjadi satu kesalahan untuk mencita-citakan ganjaran pahala serta syurga daripada ALLAH S.W.T.. Buktinya ALLAH sendiri telah berfirman:

Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari TUHAN kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa -

[ ‘Ali Imraan (3) : 133]

Tambahan pula Rasulullah s.a.w. juga menganjurkan kita untuk mengharapkan ganjaran daripada ALLAH S.W.T. sebagaimana sabdanya:

"Sesiapa solat pada malam Ramadan dengan keimanan sebenar dan mengharapkan ganjaran (daripada ALLAH), diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu."
[Riwayat Muslim; no: 759]
Sumber: http://akob73.blogspot.com

Sep 16, 2008

Mufti Perlis: ISA tidak diperlukan untuk bela Islam


Oleh: ZIEMAN

Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin hari ini menegur tindakan kerajaan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dalam isu agama dan mengheret pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin dan Ahli Parlimen DAP Seputeh, Teresa Kok yang masih ditahan di bawah peruntukan akta itu.

Ketika ditemui di Damansara Kim sebentar tadi, Dr Asri berkata, Islam dibina dari hujah dan dasar yang jelas, dan Islam juga tidak memerlukan ISA untuk membela ajarannya.

Jadi tidak ada alasan untuk menahan orang dengan tidak memberi peluang membela diri. Ini adalah satu tindakan yang salah. Sekiranya orang itu mempunyai kesalahan dari segi hukum agama, buktikan dari segi dalil-dalil agama.

Cara kita tangkap orang guna ISA atas kesalahan agama tidak akan menghilangkan salahfaham terhadap Islam. Seharusnya diperjelaskan dulu apa kesalahan itu. Kalau misalnya orang itu menghina Islam atau menyeleweng, buktikan dulu berdasarkan Quran dan hadis.

Perlu diperdengarkan pertuduhan itu kepada orang yang dituduh itu. Mungkin juga, ia hanya satu salah faham. Yang penting perdengarkan dulu hujahnya,” kata Mufti yang terkenal dengan kelantangannya mengeluarkan idea yang berani dan telus itu.

Kata Dr Asri lagi, “Islam bukan agama yang bacul. Perbuatan ISA kerana kesalahan agama seolah-olah menggambarkan orang Islam tidak mampu berhujah, terus tangkap orang. Mereka akan kata mereka benar kerana kita takut berhujah dengan dia.”

Beliau juga turut mengingatkan betapa bahayanya tindakan ISA.

Sekiranya ada aliran-aliran tertentu dalam kerajaan yang tidak setuju dengan pendapat satu aliran yang lain, adakah ruang ISA juga akan digunakan? Pernah berlaku dalam kerajaan Abbasiyah yang berpegang pada aliran Muktazilah ketika itu. Dia menghukum orang daripada aliran lain termasuk Imam-imam besar seperti Imam Ahmad juga turut dihukum.

Kalau di zaman ini, mereka yang kendalikan agama itu dari aliran lain maka mereka yang dari aliran lain itu akan dihukum tanpa memberi peluang membela diri. Ini juga tidak sejajar dengan konsep keadilan dalam Islam,” kata Dr Asri lagi.

Dari segi politik Islam atau siasah, kata beliau, kerajaan berhak menahan orang dan beri tempoh siasatan (14 hingga 30 hari) bergantung pada keperluan. Tapi kita tidak boleh hukum 2 tahun tanpa diadili. Ini zalim.

Tuhan yang Maha Adil pun buat mahkamah di akhirat untuk setiap orang dibicarakan. Keadilan ditegakkan di dunia dan di akhirat. Tuhan yang Maha Adilpun memberi peluang untuk kita jawab kesalahan sedangkan Tuhan berhak buat apa saja. Jadi macam mana kita boleh tangkap orang tanpa memberi peluang mereka membela diri?,” jelas beliau.

Kata Dr Asri, isu agama turut membabitkan sensitiviti agama lain. Tapi dari segi mempersoalkan identiti Islam seperti laungan azan, itu tidak boleh.

Namun jika ada sungutan tentang bacaan-bacaan yang panjang sehingga menganggu orang awam, ulamak Islam juga tidak benarkan. Bacaan yang kuat tanpa keperluan atau kuliah agama dengan menggunakan pembesar suara sehingga menganggu ketenteraman awam, itu tidak perlu. Itu sudah diputuskan oleh ulamak-ulamak dari dulu lagi.

Agama itu terhad. Azan itu azan. Begitu juga kuliah agama untuk diperdengarkan di pembesar suara, berpada untuk sidang yang mendengar sahaja,” jelasnya.

Dr Asri juga menyentuh tentang peranan Jakim.

Jakim berperanan menjelaskan isu-isu agama dan juga yang menyeleweng dari agama. Bukan sekadar menyokong seseorang dihadapkan tanpa bicara. Badan itu juga hendaklah bebas dari percaturan politik. Perjelaskan ketentuan peruntukan orang yang menghina Islam seperti isu Raja Petra. Itu bersifat politik, biarlah diuruskan oleh orang politik.

Kalau hendak diikutkan yang menghina Islam, ramai lagi yang patut dibuat aduan. Jelaskan dulu apa yang perlu dilakukan?,” soal Dr Asri.

Beliau juga meminta kerajaan memikirkan soal ISA ini sedalam-dalamnya.

Seandainya satu hari nanti kerajaan bertukar rupa dan kalau berlaku pertukaran kuasa. Terlalu ramai nanti yang tidak boleh bersuara dan ISA mungkin diguna seluas-luasnya. Besok, bila kena pada kita, apa kita nak buat?,” kata Dr Asri yang akan menghadiri Tazkirah Tarawih di Stadium Kota Bharu pada hari ini.

Beliau yang juga akan memberi ceramah di Kompleks Islam Lundang esok, sempena pelancaran Tabung Serambi Mekah yang akan dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan, juga mempersoalkan bagaimana pemimpin yang gagal kendalikan parti yang kecil mampu kendalikan negara yang besar.

Takkan nak tunggu ada rusuhan atau kekacauan. Ketika itu sudah tidak boleh dipulihkan lagi. Sekali kekacauan tercetus, susah untuk dipulihkan.

Menurut pengamatan beliau, keadaan ini berlaku kerana pemimpin politik menganggap kedudukan politik itu seperti harta rompakan.

Mereka bermati-matian untuk mendapatkannya sekalipun terpaksa menggunakan belanja yang besar kerana pulangan atau keuntungannya juga besar,” kata beliau.

Jelas beliau, saluran politik digunakan untuk membina kekayaan diri. Inilah hasilnya bila kerakusan ini berlarutan. Tidak ada setiakawan dalam politik, musuh memusuhi, berpuak-puak kerana fikirkan survival politik masing-masing bukan survival rakyat yang dipertanggungjawabkan.

Yang paling ketara sekarang, pemimpin politik bukan sahaja gagal membawa rakyat keluar dari kemelut yang sedang dihadapi malah menjadikan keadaan lebih rumit.

Bukan sahaja mereka gagal menyelesaikan masalah tapi mereka pula yang menimbulkan lebih banyak masalah lain,” kata Dr Asri.

sumber: Mstar Online

Sep 14, 2008

Puasa : Syari'at dan Sains



Oleh: Dr. Mohd Zamrin Dimoni
Pakar Perunding Bedah Jantung dan Paru-paru HUKM
Presiden Kelab Kesihatan HALUAN (KKH)


PUASA adalah menahan diri dari makan dan minum dari terbit fajar ke maghrib. Dari aspek fisiologi dan kesihatan, puasa bermula sekitar 12 hingga 24 jam dari ketika kita tidak makan dan minum.

Puasa belum bermula dari segi kimianya, sehinggalah karbohidrat dalam badan kita digunakan sebagai sumber tenaga. Puasa boleh berterusan sehingga semua karbohidrat dan lemak dalam badan kita dapat digunakan sebagai sumber tenaga.

Apabila badan kehabisan karbohidrat dan lemak, protein pula akan digunakan sebagai sumber tenaga. Pada ketika ini, ia tidak disebut sebagai puasa tetapi kebuluran.

Berdasarkan kepada fakta ini, seseorang manusia yang sihat akan dapat bertahan untuk hidup tanpa makanan selama hampir 40 hari, dengan syarat dia mendapat sumber air yang berterusan, dan tidak terdedah kepada anasir-anasir toksik dan pencemaran seperti penyakit berjangkit.

Manfaat puasa

Makanan adalah sumber tenaga untuk membolehkan tubuh menjalankan fungsi-fungsi fisiologinya. Tanpa kita sedari setiap aktiviti dalam tubuh kita perlukan tenaga.

Jantung yang berdenyut tanpa henti, usus yang bergerak untuk menghadamkan makanan, pernafasan, berfikir, berjalan dan sebagainya semuanya memerlukan tenaga. Sumbernya adalah makanan.

Sekiranya tiada makanan yang dibekalkan, badan akan menggunakan simpanan tenaga dalam badan kita, bermula dari karbohidrat, lemak dan kemudian protein.

Semasa puasa, badan akan menggunakan sumber tenaga dari dalam badan kita sendiri melalui proses yang dinamakan autolisis yang memecahkan simpanan karbohidrat dan lemak dalam badan untuk menjadi sumber tenaga.

Proses ini berlaku dalam hati di mana lemak akan ditukar kepada satu bahan kimia yang dinamakan keton tubuh, yang kemudiannya disebarkan ke seluruh badan melalui aliran darah.

Lebih lama badan tidak mendapat makanan, lebih banyak proses ini berlaku dan lebih banyak keton yang dihasilkan.

Beberapa manfaat puasa:


Detoksifikasi

Proses detoksifikasi adalah proses normal dalam badan untuk membuang, menyingkirkan atau meneutralkan bahan-bahan toksik melalui usus besar, hati, buah pinggang, paru-paru, saluran limpa dan juga kulit.

Proses ini dipercepatkan semasa puasa kerana tiada makanan yang masuk dalam badan dan badan beralih kepada sumber tenaga daripada simpanan lemak badan.

Lemak dalam badan manusia dapat menyumbangkan sebanyak 9,000 kalori setiap kilogram. Untuk badan berfungsi secara normal, kita memerlukan sebanyak 2,000 kalori sehingga 2,800 kalori bergantung pada tahap aktiviti.

Bermakna setiap kilogram lemak berupaya menyumbang tenaga cukup untuk 3 – 4 hari. Perlu difahamkan, simpanan tenaga dalam bentuk lemak ini berlaku bila terdapat lebihan dalam makanan yang kita ambil setiap hari.

Bayangkan kalau dalam setahun, selama 11 bulan, berapa kilogram lemak yang telah disimpan oleh tubuh kita?

Bila lemak badan digunakan sebagai sumber tenaga, proses autolisis menyebabkan berlakunya pelepasan bahan kimia toksik yang turut tersimpan ke dalam saluran darah dan seterusnya disingkirkan melalui kaedah yang disebut di atas.

Ada bahan kimia toksik yang turut tersimpan bersama lemak, yang didapati melalui udara yang disedut, juga akan tersingkir dalam proses autolisis ini. Contohnya DDT, yang dinyahkan melalui air kencing, peluh dan najis.


Proses penyembuhan

Semasa berpuasa, penggunaan tenaga dalam badan dialihkan dari saluran pemakanan, usus untuk mencerna makanan (disebabkan kurang penggunaannya) kepada sistem yang lebih penting seperti sistem imun dan metabolisme.

Bila kita sedang sakit, perkara yang biasa berlaku ialah kita tidak ada selera makan. Ini adalah satu refleks fisiologi, kerana badan tidak mahu membuang banyak tenaga di usus, bahkan mahu tumpukan pada proses penyembuhan melalui metabolisme dan meningkatkan kemampuan sistem imuniti badan kita.

Dalam berpuasa, perkara ini berlaku secara terancang. Proses sintesis protein dapat berlaku dengan lebih efisien jadi kurangnya berlaku kesilapan dalam sintesis DNA dan genetik.

Puasa membolehkan sistem pemakanan berehat dan membolehkan tenaga digunakan untuk memperbaiki sistem tubuh lain terutama sistem imun.

Tambahan pula semasa puasa, berlaku penurunan suhu teras badan kita disebabkan metabolisme badan yang rendah dan tahap aktiviti yang menurun. Hormon tumbesaran juga dibebaskan semasa puasa dan ini membantu proses penyembuhan lebih efektif.


Proses rejuvenasi/mempermuda

Proses metabolisme yang rendah, penghasilan protein yang lebih efektif, sistem imun yang lebih berkesan dan pertambahan penghasilan hormon dalam badan semasa berpuasa menyebabkan proses rejuvenasi ini seterusnya menyebabkan jangka hayat yang lebih baik.

Selain dari produksi hormon tumbesaran yang lebih banyak, hormon antipenuaan (hormon remaja) juga bertambah penghasilannya semasa puasa.


Meningkatkan ketajaman mental

Bila badan kita bebas daripada bahan-bahan toksik yang mengalir dalam aliran darah, kemampuan berfikir akan menjadi lebih tinggi. Apabila kita makan, banyak sumber tenaga dalam darah dan saraf dihantar ke usus untuk proses penghadaman.

Sekiranya tenaga ini tidak diperlukan di usus, ia akan dihantar ke otak untuk proses berfikir. Perkara ini tidak berlaku dalam hari pertama sehingga tiga hari puasa.

Pada awalnya kita akan berasa pening, sugul dan sakit badan. Ini ialah kerana tiga hari pertama tenaga masih digunakan untuk menyahkan toksin yang ada selain dari membersihkan sisa-sisa kotoran dalam saluran makanan.

Selepas dari fasa ini, darah yang mengalir ke otak lebih bersih dari toksik dan menjadikan kemampuan berfikir lebih tinggi. Kita menjadi lebih cergas dan bersikap terbuka, emosi yang lebih stabil dan tajam fikiran.

Faktor lain yang menyebabkan perkara ini berlaku ialah semasa berpuasa kita kurang bergantung kepada makanan secara emosinya, kurang terdedah pada makanan atau bahan yang merangsang seperti kafein, gula dan rokok.

Kesan ini selalunya dirasai dalam minggu ketiga puasa, selepas 20 Ramadan.

Sumber : http://haluan.org.my
Di 'Published'
: al-fikrah.net dan al-ahkam.net

Sep 7, 2008

Kurma : Hadith dan Sains

MENURUT Anas bin Malik r.a., Rasulullah SAW berbuka puasa dengan beberapa biji kurma yang segar sebelum menunaikan solat (Maghrib). Sekiranya tidak ada kurma yang segar, baginda akan berbuka dengan kurma kering. Jika tidak ada juga kurma kering, Baginda mengambil beberapa cedok air.
(Riwayat Abu Daud dan Tirmizi).

Abu Daud dan Tirmizi meriwayatkan daripada Sulaiman bin Amir bahawa Rasulullah SAW bersabda: Apabila seorang di antara kamu berbuka, hendaklah ia berbuka dengan kurma. Sekiranya tidak ada kurma, hendaklah ia berbuka dengan air kerana air itu bersih lagi membersihkan.

Diriwayatkan dari Anas bin Malik yang berkata: “Adalah Nabi (SAW), tidak berangkat menuju musolla kecuali baginda memakan beberapa biji kurma, dan baginda memakannya dalam jumlah bilangan ganjil.”

(Riwayat: Al-Bukhari dan Muslim).

Amalan berbuka Rasulullah SAW menggambarkan kurma itu banyak khasiatnya, terutama untuk badan yang keletihan selepas sehari berpuasa.

Kajian sains terkini turut memperakui kelebihan buah kurma yang mengandungi kebanyakan nutrien penting yang diperlukan badan. Sesetengah pihak turut mendakwa buah kurma mampu mencegah dan merawat beberapa jenis penyakit.

Pada asasnya, kurma mengandungi gula yang mudah diserap badan, memberikan tenaga segera dan berpanjangan untuk menjalankan aktiviti harian atau sembahyang tarawih pada malam hari sepanjang Ramadan. Kandungan serat yang tinggi di dalamnya pula melambatkan rasa lapar ketika berpuasa, dan mempercepatkan rasa kenyang ketika berbuka supaya kita tidak makan secara berlebihan. Kelebihan ini menjadikannya buah yang amat sesuai dimakan ketika bersahur atau berpuasa.

Kajian saintifik seluruh dunia mendapati kurma bukan sahaja mengandungi jumlah karbohidrat (gula) yang tinggi malahan turut mengandungi pelbagai vitamin penting seperti vitamin A, tiamin, riboflavin, niasin, zat besi, vitamin B, asam nikotinat (yang baik untuk usus) dan bermacam-macam lagi. Kurma juga didapati mengandungi banyak garam galian lain seperti magnesium, potasium dan kalsium. Buah ini turut mengandungi kalium yang khusus untuk kebaikan jantung dan pembuluh darah.

Setiap 100 gram kurma kering mengandungi 50 IU vitamin A, 0.09 miligram (mg) tiamin, 0.10 mg riboflavin, 2.20 mg niasin, serta 666 mg kalium. Kesemua nutrien penting ini berfungsi membantu membebaskan tenaga yang cukup, menjaga kesihatan kulit dan saraf serta membantu fungsi jantung. Diet yang ditambah buah kurma dikatakan dapat membakar kalori berlebihan badan dengan setiap biji kurma mampu mengurangkan sebanyak 3,470 kalori.

Mencegah

Kurma dan produk berasaskan kurma sering dikaitkan dengan pencegahan, malahan rawatan sesetengah penyakit kronik badan. Ini berikutan jenis dan jumlah nutrien di dalam setiap buah kurma memainkan peranan di dalam membantu fungsi badan berjalan lancar.

Sebagai contoh, serat di dalam kurma bukan sahaja melambatkan rasa lapar dan mempercepatkan rasa kenyang. Kandungan serat yang tinggi turut membantu melancar dan mengaktifkan fungsi usus, seterusnya membantu proses perkumuhan dan penyingkiran toksin dari badan.

Kurma juga dikaitkan dengan peranan membantu meningkatkan fungsi sistem badan, sekaligus mencegah penyakit melalui:

l Pengurangan tekanan darah tinggi, seterusnya mengurangkan risiko angin ahmar dan risiko sakit jantung.

l Kalium di dalam kurma dapat membantu membetulkan denyutan jantung, mengaktifkan pengecutan otot-otot dan mengatur tekanan darah.

l Kandungan kalium yang tinggi juga mampu merendahkan risiko serangan angin ahmar.

l Mengelakkan sembelit, radang usus, anemia dan sebagainya.

l Mencegah pelbagai penyakit kronik seperti kencing manis di samping menyihatkan sel darah merah.

l Mencegah lemah otot, lesu, barah usus besar dan sengal-sengal badan.

Melihatkan kandungan nutrien dalam setiap biji buah kurma dan khasiatnya untuk kesihatan, diet yang ditambah buah kurma amat disarankan, bukan hanya pada bulan Ramadan, malahan bila-bila masa sahaja. Kelebihan buah ini juga bukan hanya untuk dinikmati umat Islam tetapi semua bangsa di Malaysia, tidak mengira agama atau usia patut mencubanya.

Beberapa pihak juga dilihat telah mula mengambil langkah mempelbagaikan cara hidangan kurma sama ada dalam masakan atau sebagai jus buah. Ini diharapkan dapat meningkatkan diet buah kurma di negara ini supaya khasiat dan kelebihannya dapat dinikmati ramai dan bukan hanya dinikmati pada masa tertentu sahaja. Kurma banyak kelebihannya dan bukan hanya untuk Ramadan semata-mata.

Sumber : Utusan Online

Sep 1, 2008

Senarai semak amalan-amalan sunnah di sepanjang Bulan Ramadhan

Editor : Bro_aiman

1) Berniat dalam hati untuk berpuasa di malam hari.

2) Mengtakhirkan Besahur di akhir malam .

Nabi SAW bersabda :" Perbezaan di antara puasa kami (umat Islam) dan puasa ahli kitab adalah makan sahur"

Hadis Riawayat Muslim, 2/770
Nabi juga bersabda : "Bersahurlah kamu, kerana pada sahur itu ada barakahnya"

Hadis Riwayat al-Bukhari, 4/1923 ; Muslim
Waktu yang terbaik untuk makan sahur : adalah lebih kurang sama dengan kadar waktu seseorang membaca 50 ayat al-Quran iaitu kira-kira 10 hingga 20 minit sebelum azan solat subuh dikumandangkan.

Menurut Anas r.a, Zaid bin Thabit r.a berkata:

"Kami makan sahur bersama Nabi s.a.w , kemudian baginda berdiri untuk solat. Aku berkata: Berapa lama antara azan dan sahur?” Beliau menjawab: “Kira-kira (membaca) lima puluh ayat." -

Hadis riwayat al-Bukhari no: 1921.
Peringatan !! : Adalah amat tidak digalakkan bagi seseorang yang bersahur dengan hanya makan di sekitar jam 12 malam sebelum tidur. Kebanyakan individu yang melakukan amalan ini sebenarnya amat merasa berat dan malas untuk bangun di tengah malam. Ia pada hakikatnya adalah tidak menepati sunnah yang diajarkan oleh Baginda SAW

3) Mendirikan solat sunat tahajjud, witr dan beristifghar dan lain-lain amalan sebelum menunaikan solat subuh berjemaah (bagi lelaki).

4) Memperbanyakkan bacaan Al-Quran dengan tenang dan tidak tergesa-gesa.

Disunnahkan kepada seluruh umat Islam agar bertadarus (membaca dan mempelajari) al-Quran. Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bertadarus al-Quran bersama Jibril a.s pada setiap malam di bulan Ramadan. Ibn Abbas r.a berkata:


"Jibril a.s menemuinya (Nabi s.a.w ) pada setiap malam di bulan Ramadan hingga bulan itu berlalu. Nabi s.a.w memperdengarkan bacaan al-Quran kepadanya."

Hadis riwayat Imam al-Bukhari, no: 1902.
Terdapat ramai ulama silam menyebut tentang kepentingan mendahulukan membaca al-quran di atas amalan sunat seperti menelaah kitab, membaca hadith dan lain-lain. Ia adalah salah satu amalan yang paling diambil berat oleh Nabi SAW ketika baginda membacanya bersama Malaikat Jibrail as.

4) Mengerjakan solat fardu secara berjemaah (bagi lelaki) dan solat sunat sunnah yang diajar nabi.

Anata solat sunat sunnah : solat sunat rawatib 12 rakaaat (qabliah dan ba'diah),solat sunat wudhuk, solat sunat dhuha

5) Memperbanyakkan doa semasa berpuasa.

Sepanjang waktu kita sedang menjalani ibadah puasa, ia adalah sentiasa merupakan waktu yang sesuai dan maqbul untuk kita berdoa, sebagaiaman di tegaskan oleh Nabi S.a.w :-

ثلاثة حق على الله أن لا يرد لهم دعوة : الصائم حتى يفطر والمظلوم حتى ينتصر والمسافر حتى يرجع

Ertinya : Tiga yang menjadi hak Allah untuk tidak menolak doa mereka, orang berpuasa sehingga bebruka, orang yang dizalimi sehingga dibantu, dan orang bermusafir sehinggalah ia pulang"

Riwayat Al-Bazaar

Sebuah hadis lain yang hampir sama maksudnya menyebutkan :-

ثلاثة لا ترد دعوتهم : الصائم حتى يفطر والإمام العادل ودعوة المظلوم

Ertinya : Tiga yang tidak ditolak doa mereka, orang berpuasa sehingga berbuka, pemerintah yang adil dan doa orang yang dizalimi"

( Riwayat At-Tirmizi, Ibn Majah, Ibn Hibban dan Ibn Khuzaimah ; Hadis Hasan menurut Imam At-Tirmidzi dan Ibn Hajar, sohih menurut Syeikh Ahmad Syakir)

6) Memperbanyakan doa ketika hampir berbuka

Ini kerana tahap maqbul tatkala itu semakin hebat berdasarkan hadith Nabi s.a.w :

إن للصائم عند فطره لدعوة ما ترد

Ertinya : Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu tatkala wkatu berbukanya,adalah waktu doa yang tidak ditolak

(Riwayat Ibn Majah ; Sohih

7) Menyegerakan berbuka puasa selepas kepastian masuk waktu maghrib.

Berdasarkan hadith Nabi SAW :

لا يزال الناس بخير ما عجلوا الفطر

Ertinya : "Sentiasalah umatku berada dalam kebaikan sepannjang kamu menyegerakan berbuka"

Riwayat Al-Bukhari, 4/1957.

Berbuka juga perlu didahulukan sebelum menunaikan solat maghrib, malah jika pada hari tersebut tahap kelaparan kita agak luar biasa, lebih baik kita berbuka dan makan sekadar kelaparan tidak mengganggu solat Magrhib kita.

Disebutkan bahawa tidaklah Nabi SAW menunaikan solat Maghrib kecuali setelah berbuka walaupun hanya dengan segelas air. (Abu Ya'la dan al-Bazzar : hadith Hasan).

8) Sunnah berbuka dengan beberapa biji rutab ( kurma basah) atau tamar (kurma kering) dan jika tiada keduanya mulakan dengan meneguk air.

كان رسول الله ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏يفطر على رطبات قبل أن يصلي فإن لم تكن رطبات فعلى تمرات فإن لم تكن ‏ ‏حسا ‏ ‏حسوات ‏ ‏من ماء

Ertinya : Rasulullah s.a.w berbuka dengan kurma basah (rutab) sebelum solat dan sekiranya tiada rotab, maka tamar dan jika tiada, baginda meminum beberapa teguk air"

Riwayat Abu Daud, Ahmad & At-Tirmidzi

(Riwayat Abu Daud, 2/2356 : Hadith Hasan).

Sambil memboca doa berbuka yang sohih dari nabi iaitu

ذهب الظمأ وابتلت العروق وثبت الأجر إن شاء الله

" Zahaba az-Zama u wabtallatil ‘uruq wathabatal ajru InsyaAllah"

Ertinya : "Telah hilanglah dahaga, telah basah ular leher dan telah tetap mendapat pahalanya InshaAllah "

Riwayat Abu Daud, 2/2357 : Hadith Hasan menurut Albani

10) Amat disunatkan untuk menyedeqahkan harta terutamanya bagi mempersiapkan juadah berbuka untuk orang ramai terutamanya orang miskin.

Umat Islam sepatutnya menggunakan kesempatan di bulan Ramadan yang penuh berkat ini dengan menggandakan amal kebajikan seperti bersedekah. Rasulullah s.a.w yang sememangnya terkenal dengan sifat dermawan sentiasa memperbanyakkan sedekah pada bulan Ramadan berbanding bulan-bulan yang lain.

Ibn Abbas r.a berkata:


Nabi s.a.w adalah manusia paling dermawan dalam hal kebaikan dan kemuncak sifat dermawanan baginda itu ditunjukkan pada bulan Ramadan."

Hadis riwayat al-Bukhari, no: 1902.
Nabi SAW bersabda :

من فطر صائما كان له مثل أجره غير أنه لا ينقص من أجر الصائم شيئا

Ertinya : Barangsiapa yang memberikan juadah berbuka buat orang yang berpuasa maka baginya pahala seperti orang yang berpuasa itu tanpa kurang sedikit pun"

Riwayat At-Tirmidzi, 3/807; Hadith Hasan menurut Imam At-Tirmidzi

.

Disebut dalam sebuah hadis lain

ومن أشبع صائما سقاه الله من حوضي شربة لا يظمأ حتى يدخل الجنة

Ertinya : Barangsiapa yang mengenyangkan seorang yang berpuasa ( berbuka), Allah akan memberinya minum dari telagaku ini dengan satu minuman yang tidak akan haus sehinggalah ia memasuki syurga "


Riwayat Al-Baihaqi ; Ibn Khuzaymah dalam Sohihnya : rujuk juga Tuhaftul Ahwazi


11) Menunaikan solat sunat terawih pada malam hari secara berjemaah buat lelaki dan wanita atau boleh juga dilakukan secara bersendirian. Ia berdasarkan hadith riwayat An-Nasaie yang sohih.

Boleh juga untuk menunaikannya separuh di masjid dan separuh lagi di rumah, terutamanya bagi sesiapa yang ingin melengkapkan kepada 20 rakaat.

12) Memperbanyakkan bersiwak .

Ia juga sohih dari Nabi SAW dari riwayat al-Bukhari.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Perkara-perkara yang perlu dielakkan semasa berpuasa :


1.Meninggalakan perkara2 mazmumah

Berpuasa bukan sekadar meninggalkan makanan dan minuman. Tetapi, untuk memperolehi kesempurnaan di dalam berpuasa seseorang seharusnya juga meninggalkan perkataan-perkataan yang keji serta perbuatan-perbuatan orang jahil. Rasulullah s.a.w bersabda:


"Puasa adalah perisai. Oleh itu, janganlah seseorang mengerjakan rafath (perkataan yang keji) atau berbuat sesuatu perkara yang jahil (menyalahi hukum)."
Hadis riwayat al-Bukhari, no: 1894
2. Meninggalakan perbuatan yang lagha (sia-sia)

Justeru, disunnahkan bagi orang yang berpuasa meninggalkan perbualan yang lagha (tidak berfaedah), mengumpat, bercakap kotor, mencerca orang lain dan sebagainya. Puasa juga mendidik seseorang untuk menjadi penyabar. Oleh itu, seseorang yang berpuasa disunnahkan bersabar apabila dicerca mahupun diperangi oleh pihak lain dengan mengucapkan “sesungguhnya aku sedang berpuasa” sebagaimana sabda rasulullah s.a.w:


"Puasa adalah perisai. Oleh itu, janganlah seseorang mengerjakan rafath (perkataan yang keji) dan berbuat sesuatu perkara yang jahil (menyalahi hukum). Jika seseorang itu diperangi atau dicaci, dia hendaklah berkata: Sesungguhnya aku sedang berpuasa (Nabi menyebutnya dua kali). ”

Hadis riwayat Imam al-Bukhari, no: 1894.


3. Meninggalkan perbuatan mencerca dan memerangi termasuk percakapan bohong.

Semoga melalui ucapan itu dapat mencegah pihak lain dari mencerca atau memeranginya. Berbohong boleh mencacatkan kesempurnaan puasa. Oleh itu, syariat melarang seseorang bercakap bohong ketika berpuasa dan Allah melarang keras perbuatan dengan ancaman tidak akan menerima ibadah puasanya. Rasulullah s.a.w bersabda:

"Sesiapa yang tidak meninggalkan perkataan dusta dan melakukan perbuatan it uterus menerus, Allah langsung tidak berhajat (memandang) perbuatannya yang meninggalkan makan dan minum (puasa)."

Hadis riwayat al-Bukhari, no: 1903.

Rujukan :

1. Bonus Belanjawaan Vs Bonus Ramadhan oleh Ust. Zaharuddin Abdul Rahman (zaharuddin.net)

2. Amalan-Amalan Sunnah Pada Bulan Ramadan oleh Akhi Mohd Yaakub bin Mohd Yunus (al-fikrah.net)

3. Bersahur dan berbuka puasa cara Rasulullah Akhi Mohd Yaakub bin Mohd Yunus (al-fikrah.net)