Sep 1, 2008

Ramadhan :Tahniah kepada semua Muslimin dan muslimat

Saya dengan ini ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan TAHNIAH kepada semua muslimin dan muslimat di seluruh negara kerana dipanjangkan umur dan dilanjutkan usia untuk bertemu dengan Ramadhan 1429 kali ini dengan ucapan RAMADHAN KARIM.Ucapan ini juga ditujukan khusus kepada seluruh muslimin dan muslmat pengunjung blog As-Syafi'e.Com ini.
Saya ingin mengucapkan Selamat Berpuasa kepada semua dan selamat beramal dengan meningkatkan amalan kita pada bulan rahmat ini berdasarkan amalan-amalan sahih yang telah diajarkan oleh Nabi Muhamamad salalallahu 'alaihi wasalam kepada kita.

Semoga kita keluar daripada Ramadhan mendapat markah A+ dan menjadi hamba yang selayaknya untuk menyambut hari kemenanagn iaitu Aidilfitri dengan gembiranya.

Bulan Ramadhan merupakan satu bulan yang dikhabarkan berita-berita gembira kepada kita.Berikut merupakan artikel berkenaan keistimewaan2 di bulan Ramadhan yang dipetik daripada tulisan akhi Mohd Yaakub bin Mohd Yunus (al-fikrah.net).

1. Disyariatkan Ibadah Puasa

Bulan Ramadan merupakan bulan yang penuh dengan keberkatan yang mana pada bulan ini disyariatkan ibadah yang amat mulia di sisi ALLAH, iaitu puasa. Sabda Rasulullah s.a.w:

"Telah tiba kepada kamu bulan Ramadan, iaitu bulan yang penuh keberkatan. ALLAH telah mewajibkan ke atas kamu agar berpuasa pada bulan itu."

Hadis riwayat Imam Ahmad di dalam Musnadnya , hadis no: 9133.

2. Bulan Diturunkan Al-Quran

Kalamullah al-Quran telah diturunkan pada bulan ini. Seluruh umat Islam beriman bahawa al-Quran merupakan kitab yang menjadi petunjuk bagi sekalian hamba ALLAH untuk membezakan di antara kebenaran dan kebatilan. Firman ALLAH S.W.T:

"(Kamu diwajibkan berpuasa) pada bulan Ramadan yang mana diturunkan al-Quran pada bulan itu. (Al-Quran itu) menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan juga membawa keterangan yang menjelaskan petunjuk dan perbezaan antara yang benar dengan yang salah."

Surah al-Baqarah: 185.

3. Pintu Syurga Terbuka Luas

Pada bulan Ramadan yang penuh berkat ini juga dibuka seluas-luasnya pintu syurga bagi mereka yang beriman dan taat kepada perintah ALLAH. Bahkan, di bulan yang mulia ini jugalah ALLAH melimpahkan pelbagai ganjaran pahala kepada hamba-NYA yang menjadi penyebab memudahkan mereka masuk ke syurga. Sabda Rasulullah s.a.w :

"Apabila datang bulan Ramadan, pintu-pintu syurga akan dibuka."

Hadis riwayat al-Bukhari dalam Sahihnya, hadis no: 1898.

4. Pintu Rahmat (Belas Kasihan Terhadap Hamba-NYA) Terbuka Luas


Pada bulan Ramadan pintu-pintu Rahmat dibuka. ALLAH meluaskan rahmat-NYA agar menaungi seluruh hamba-hamba-NYA yang tekun beribadah dan taat kepada-NYA dengan memberi ganjaran pahala yang berlipat kali ganda. Sabda Rasulullah s.a.w :

"Apabila tiba bulan Ramadan maka dibuka pintu-pintu rahmat."

Hadis riwayat Muslim di dalam Sahihnya, hadis no: 1079.

5. Pintu Langit Terbuka Luas

ALLAH membuka pintu langit seluas-luasnya pada bulan Ramadan yang mulia ini untuk menurunkan limpahan rahmat-NYA kepada sekalian hamba-hamba-NYA serta segala amalan-amalan berbentuk ketaatan kepada-NYA akan naik secara terus kepada-NYA. Sabda Rasulullah s.a.w :

"Apabila masuk bulan Ramadan, pintu-pintu langit dibuka."

Hadis riwayat al-Bukhari dalam Sahihnya, hadis no: 1899.

6. Pintu-Pintu Neraka Tertutup Rapat

Pintu-pintu neraka pula ditutup serapat-rapatnya pada bulan Ramadan. Ia menunjukkan bahawa pada bulan Ramadan yang mulia ini hamba-hamba ALLAH yang tekun beribadah dan menurut segala perintah-NYA terlindung daripada dorongan untuk melakukan perbuatan-perbuatan terlarang yang boleh menjadi penyebab untuk mereka dicampakkan ke dalam api neraka. Sabda Rasulullah s.a.w:

"Apabila masuk bulan Ramadan, pintu-pintu langit dibuka dan pintu-pintu neraka jahanam ditutup." -

Hadis riwayat al-Bukhari dalam Sahihnya, hadis no: 1899.

7. Syaitan dan Jin Dirantai

Pada bulan Ramadan syaitan dan jin dirantai untuk menghindari mereka dari mengganggu atau menghasut orang-orang yang beriman. Ada juga ulama mentafsirkan maksud syaitan dibelenggu ialah syaitan tidak dapat merosakkan ibadah manusia pada bulan Ramadan kerana ketekunan manusia melakukan ibadah puasa serta ibadah-ibadah lain. Ini kerana, ibadah puasa itu dapat mengawal nafsu mereka dari terdorong melakukan perkara mungkar.

Sabda Rasulullah s.a.w:

"Apabila tibanya malam pertama bulan Ramadan dibelenggu syaitan-syaitan dan jin yang derhaka." -

Hadis riwayat al-Tirmizi di dalam Sunan al-Tirmizi, Kitab al-Shaum, hadis no: 618.

Namun, persoalan yang timbul di sini bahawa sekiranya syaitan dan jin dibelenggu pada bulan Ramadan mengapa manusia masih melakukan kemungkaran pada bulan ini? Menurut al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani, Imam al-Qurthubi r.h telah berkata:

"Apabila semua syaitan terbelenggu tidak bermakna langsung tidak akan berlaku kejahatan dan kemaksiatan. Ini kerana, punca berlakunya kemaksiatan mungkin berpunca daripada faktor selain (hasutan) syaitan seperti diri manusia itu yang sememangnya berperangai buruk, sentiasa melakukan perbuatan mungkar serta manusia yang nafsunya masih terdorong mengikut hasutan syaitan."
Rujuk Fath al-Baari Syarh Sahih al-Bukhari, Tahqiq oleh Syeikh Abdul Aziz bin Abdullah bin Baz, edisi terjemahan oleh Amiruddin, Pustaka Azzam, Jakarta (1997), jil. 11, ms. 43.
Mungkin ada yang akan tertanya-tanya tentang kebenaran fakta kewujudan syaitan mahupun jin dari jenis manusia. Sebenarnya ALLAH sendiri telah memerintahkan kita agar berwaspada dan memohon perlindungan kepada-NYA dari hasutan kelompok seperti ini.

Firman ALLAH S.W.T:
"Katakanlah (wahai Muhammad): AKU berlindung kepada (ALLAH) Pemelihara sekalian manusia, yang Menguasai sekalian manusia, TUHAN yang berhak disembah oleh sekalian manusia, dari kejahatan pembisik yang timbul tenggelam, yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia, (iaitu pembisik) dari kalangan jin dan manusia."
Surah al-Nas: 1-6.
Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya maksiat dan kemungkaran masih wujud pada bulan Ramadan yang mulia ini. Malah, pada bulan ini kita sebenarnya berkesempatan untuk berkenalan dengan spesis syaitan atau jin dari kalangan kaum manusia. Ya! kita dapat mengenali spesies ini melalui sikap mereka yang enggan mentaati perintah ALLAH. Semoga kita semua terhindar dari tergolong dalam kelompok yang hina ini.


8. Pada Bulan Ini Terdapat Lailatul Qadar

Pada bulan ini juga terdapat satu malam yang lebih mulia berbanding 1000 bulan, iaitu lailatulqadar.

Firman ALLAH S.W.T:

"Sesungguhnya KAMI telah menurunkan (al-Quran) itu pada malam al-Qadar. Apakah cara yang membolehkan engkau mengetahui kebesaran lailatulqadar itu? Lailatulqadar ialah malam yang paling baik berbanding 1000 bulan. Pada malam itu, para malaikat dan Jibril turun dengan izin TUHAN mereka membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun berikutnya). Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar."
Surah al-Qadr: 1-5.
Oleh itu, sesiapa yang beribadah pada bulan Ramadan dan menepati malam lailatulqadar, ganjaran pahala amalannya itu melebihi ibadah yang dilakukannya selama 1000 bulan.

Mengenai lailatul Qadar akan diceritakan panjang lebar dalam artikel yang akan dipublish kemudian

Aug 29, 2008

Ustaz Ramadhan Fitri : Ceramah Kemerdekaan dan Tazkirah Ramadhan


--------------------------------------------------------



Aug 28, 2008

Secara Rasmi : DSAI angkat sumpah sebagai ahli Parlimen.

Ahli Parlimen Permatang Pauh yang baru, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengangkat sumpah sebagai ahli Parlimen di depan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia pada jam 10:03 pagi ini di Parlimen. Foto oleh Reuters.


KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selesai mengangkat sumpah sebagai ahli Parlimen Permatang Pauh pada jam 10:03 minit pagi di depan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.Selepas upacara angkat sumpah tersebut, Anwar menandatagani surat akujanji.

Pandikar kemudiannya mengalu-alukan Anwar sebagai ahli Parlimen yang baru dan mengumumkan kepada ahli Dewan Rakyat mengenai perlantikan Anwar sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen.Setelah Pandikar mengumumkan Anwar sebagai sebagai Ketua Pembangkang, ahli Parlimen Pakatan Rakyat menepuk meja tanda setuju.

Menteri yang hadir hanya Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapha Mohamed bersama-sama dua Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, Datuk Zaid Ibrahim.Manakala yang lain dihadiri oleh ahli Parlimen Pakatan Rakyat.


Kasih isteri....Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menamani suaminya, Anwar ketika tiba di Lobi Parlimen untuk upacara angkat sumpah. Kehadiran beliau turut diiringi oleh Menteri besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.


Terdahulu Anwar tiba di Lobi Parlimen untuk upacara mengangkat sumpah pada jam 9:50 pagi diiringi isterinya, Datuk Seri Dr.Wan Azizah Wan Ismail dan anaknya, Nurul Izzah.

Turut sama mengiringi beliau adalah, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, Naib Presiden PKR, Azmin Ali, Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.Anwar hadir dengan memakai baju Melayu berwarna hitam.

Difahamkan satu sidang media akan diadakan selepas upacara angkat sumpah tersebut.


Sumber : mSTAR Online

Aug 27, 2008

DSAI : Alhamdulillah Kita Menang! ,We Won!


— KENYATAAN MEDIA —-


PERMATANG PAUH, MALAYSIA, 26 OGOS 20008

Alhamdulillah, Allah memberikan kita kejayaan. Kemenangan ini merupakan saat penentu dan bakal menentukan hala tuju negara ini.

Saya berkongsi kegembiraan yang dirasai oleh semua rakyat Malaysia pada hari bersejarah ini. Ianya merupakan kemenangan buat rakyat.

Pada 8 Mac rakyat Malaysia memilih Harapan Baru. Hari ini di saat kita bakal menyambut hari kemerdekaan, rakyat menyahut seruan tersebut. Dengan ini kita merayakan hari kemerdekaan sepertimana pendiri-pendiri negara kita inginkan-sebuah negara dan rakyat yang bersatu.

Berhadapan dengan cabaran yang getir, kita memilih untuk menumpukan perhatian kepada isu yang berkaitan dengan negara ini. Seruan kita agar negara ini bersatu, mulai mengamalkan urus tadbir yang baik dan memperkasakan ekonomi telah menguburkan kempen yang berbaur perkauman, cita-cita individu yang sering mendapat habuan hasil dari penyalahgunaan kuasa dan eksploitasi politik yang berasaskan ketakutan serta penipuan.

Kami telah menjanjikan satu lembaran baru untuk Malaysia dan kami pasti akan melaksanakan janji kami. Kami akan melaksanakan Agenda Ekonomi Malaysia untuk memulihkan keadaan ekonomi kita, membasmi kemiskinan dan membantu sesiapa sahaja yang terpinggir tanpa berasaskan kaum. Kami akan memulihkan intergriti badan kehakiman, memerangi rasuah dan membina sebuah negara yang bersatu.

Dan kami akan menjadi sebuah kerajaan yang komited untuk merealisasikan aspirasi rakyat.

Dengan kejayaan 8 Mac dan juga kemenangan malam ini saya berani untuk menegaskan kita mampu bersama-sama menghadapi segala rintangan di masa hadapan.

Kita tidak akan menang tanpa dokongan kukuh dari rakan-rakan kami dalam Pakatan Rakyat dan juga sokongan ribuan rakyat Malaysia tidak kira samada Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, yang datang ke Permatang Pauh, bekerja keras, memerah keringat serta mengirim doa demi memastikan kemenangan ini. Saya sangat menghargai keberanian, tekad dan kesungguhan anda semua; saya mengucapkan tahniah terhadap komitmen saudara semua terhadap prinsip bersama sebuah kemerdekaan, keadilan dan demokrasi.

Langkah kecil buat Permatang Pauh hari ini akan memastikan perubahan besar buat Malaysia.

ANWAR IBRAHIM

Sumber : http://anwaribrahimblog.com

Aug 26, 2008

Dato Seri Anwar Ibrahim kembali ke parlimen, menang dengan majoriti 15,671



Majoriti lebih besar dari pilihanraya umum 8 Mac lalu

Oleh Wartawan KLpos.com 

PENASIHAT Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan kerusi Parlimen Permatang Pauh yang dimenangi isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dengan majoriti 15,671 undi.



Setelah semua pusat pengundian ditutup pada jam 5.00 petang tadi, Anwar selaku pilihan menerima undian terbanyak.





 



Keputusan rasmi:
PKR:
31,195 undi
BN: 15,524 undi
AKIM: 92 undi
Jumlah keluar mengundi: 47,410
Peratus keluar mengundi: 81.1%
Undi rosak: 599 undi
Majoriti: 15,671 undi.
Penyandang: Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail (PKR)
Undi diperolehi 8 Mac 2008: 30,348
Majoriti: 13,388




 


Anwar menewaskan dua calon lain dari Barisan Nasional (BN) Datuk Arif Shah Omar Shah dan calon Akim Hanafi Mamat.

Calon PKR Anwar Ibrahim mendapat 31,195 undi, Arif Shah mewakili BN mendapat 15,524 undi manakala calon Akim Hanafi Mamat hanya mendapat 92 undi sekaligus hilang wang pertaruhan sebanyak RM15 ribu.

Anwar akan mengangkat sumpah sebagai ahli parlimen di dewan rakyat tidak lama lagi.

Keadaan amat sesak dengan ribuan penyokong PKR berkumpul di pusat penjumlahan undi untuk menunggu proses pengiraan undi sejak petang tadi.

Bagaimanapun keadaan dilapor terkawal dengan pihak keselamatan mengawal ketat sekitar pusat penjumlahan undi tersebut.

Kerusi Parlimen Permatang Pauh dikosongkan oleh presiden PKR Wan Azizah yang memenanginya pada 8 Mac lalu untuk memberi laluan kepada suaminya Anwar Ibrahim untuk kembali ke persada politik tanah air.

Sebelum ini Wan Azizah mewakili PKR menang kerusi parlimen tersebut dengan undi majoriti 13,388 menewaskan calon BN Pirdaus Ismail.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu mengatasi majoriti lebih 13,000 undi yang dicatatkan oleh isterinya Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dalam pilihan raya umum 8 Mac lalu.

Mstar pula melaporkan Anwar yang juga bekas Menteri Kewangan telah dipecat dari Umno dan kerajaan pada September 1998.

Minggu depan genap 10 tahun beliau dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno.

Selepas keputusan rasmi diumumkan, Pusat Operasi Utama PKR didendangkan dengan lagu "We Are The Champion".

Dalam reaksi segera, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengetuai jentera BN sepanjang pilihan raya kecil ini berkata, kemenangan Anwar membuktikan amalan demokrasi masih segar di negara ini.

Kini ADUN Seberang Jaya diwakili Arif Shah manakala Penanti diwakili pemimpin PKR dan Permatang Pasir pula wakil PAS.

Di Seberang Jaya, Anwar memperoleh 11,084 undi, Arif Shah (6,345) dan Hanafi (36) manakala di Penanti menyumbangkan Anwar 8,054 undi, Arif Shah (4,229) dan Hanafi (27).

Di bahagian DUN Permatang Pasir, Anwar mendapat 12,034 undi, Arif Shah (4,381) dan Hanafi (26).

Pengumuman keputusan tersebut disambut dengan sorakan kuat diiringi dengan tembakan bunga api oleh para Anwar yang berhimpun di padang pusat pennjumlahan undi tersebut.

Dianggarkan kira-kira 20,000 ribu penyokong parti pembangkang berhimpun bagi meraikan kejayaan Anwar. Suasana sekitar tempat pengumuman telah mula sejak sejak jam 7 petang


Sumber : Berita Harian Online
Sumber : KLPos.com