Mar 13, 2008

Bersyukur Atas Kemenangan & Jangan Berdendam

Tuan Guru Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat

KOTA BHARU, 11 Mac (Hrkh) - Setelah memperolehi kemenangan besar pada pilihan raya umum ke-12, pimpinan PAS Kelantan akan terus berusaha menjaga kemenangan tersebut dengan sebaiknya. -->-->
Pesuruhjayanya, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata beliau mengharapkan agar semua pihak akan menjaga sebaiknya amanah yang diberikan rakyat kepada PAS untuk terus menerajui negeri serambi mekah itu sejak 18 tahun lalu.
"Kita mesti menjaga sebaik-baiknya anugerah ini dan tidak mudah lalai dan leka dengan nikmat yang dikurniakan Allah," ujarnya pada sidang media sebaik mendapat keputusan pilihan raya ke-12 di Pejabat Badan Perhubungan PAS Kelantan, 8 Mac lalu.
Tegasnya, sejak dilantik menjadi Menteri Besar pada 1990 lalu, beliau sentiasa ingat bahawa kepercayaan yang diberikan rakyat merupakan amanah Allah supaya melaksanakan segala dasar Islam.
"Kerajaan di dunia ini bukan kita yang punya, jangan pandai-pandai buat undang-undang dan peraturan hidup sendiri yang menolak hukum Allah," katanya.
Dalam pada itu, beliau tidak lupa untuk merakamkan ucapan penghargaan kepada rakyat Kelantan khususnya jentera parti yang telah bertungkus lumus bekerja untuk mempertahankan kemenangan Islam di Kelantan.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Kelantan yang telah bekerjasama bagi memastikan Islam terus memerintah, khususnya kepada jentera parti yang telah bekerja keras. Semoga semuanya diterima Allah sebagai amal boleh di sisiNya," katanya lagi.
Mengulas mengenai tohmahan yang selalu diletakkan kepada kerajaan PAS Kelantan, Mursyidul Am PAS itu berkata sebelum ini kerajaan pusat diterajui Umno-BN tetap melaksanakan projek pembangunan di negeri itu meskipun ia berada di bawah kepimpinan kerajaan PAS.
"Ini membuktikan bahawa kita tidak perlu menukar kerajaan bagi membolehkan kerajaan pusat menyalurkan bantuan ke negeri ini," ujarnya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut melahirkan rasa terkejut dengan keputusan pilihan raya kali ini yang baginya di luar dugaan.
"Memang saya terkejut sungguh, ini semua kuasa Allah yang merupakan 'tsunami politik' pada tanah air kita," ujarnya.
Ujarnya, Barisan Alternatif yang terdiri daripada PAS, KeADILan dan DAP menerima kemenangan ini dengan penuh rasa hormat.
"BA terima kemenangan dengan pernuh rasa hormat, serta yakin dengan Allah kerana tidak ada sesuatu pun yang boleh lawan kuasa ALlah walau pelbagai usaha dilakukan.
"Melihat kepada pelbagai usaha untuk menumbangkan kepimpinan Islam di Kelantan, saya berasa agak sukar. Tetapi kuasa Allah mengatasi segalanya dengan memberi kemenangan ini," tegasnya.
Beliau turut berpesan kepada pimpinan dan petugas parti yang diberikan kemenangan agar bersikap khusyuk dan tawadhu' dengan apa yang sedang dikurniakan Allah sebagai tanda kesyukuran.
"Kita yang menang, jangan ada sikap berdendam. Sebaliknya kena khusyuk dan tawadhuk bila berdepan dengan kemenangan ini," katanya mengakhiri sidang tersebut.

No comments: